Monday, December 21, 2009

Alam memberi ilham


Bumi adalah tempat kita dilahirkan dan tempat kita akan disemadikan nanti. Bumi dipanggil ibu kita (mother earth) kerana kita diciptakan dari tanah, dan di bumi kita menjalani kehidupan yang sementara ini. Allah SWT menyebut lebih 400 kali perkataan bumi dalam al-Quran, menyentuh tentang perbagai konteks. Demikianlah pentingnya bumi kepada kehidupan manusia.

Sebagai anak kampung, kami dibesarkan dalam lingkungan alam yang begitu rapat dengan kehidupan. Alam kampung masih segar menghijau di mana kampung kami dilingkungi bukit bukau dan gunung ganang. Waktu kecil kami terpaksa memanjat bukit bukau membantu orang tua mencari rezeki, di samping ke sawah padi. Lingkungan alam membesarkan kami dalam kesedaran terhadap kewujudannya. Puncak Gunung Bubu misalnya sentiasa menjadi inspirasi saya sejak kecil, kerana puncaknya yang tinggi sering dapat dipandang dari lingkungan kampung. Anak sungai dan anak air atau parit kecil menjadi tempat bermain, tempat memancing dan menangkap anak seluang dan siput sungai. Sejak kecil kami mengenali mergastua di persekitaran, kenal mana suara burung, mana suara kera, ungka dan siamang, mana suara enggang, mana suara pipit di sawah. Ia adalah satu kehidupan alami yang sukar dinikmati oleh anak-anak zaman ini lebih-lebih lagi anak-anak yang membesar di bandar.

Waktu bersekolah, alam sering menjadi objek dominan lukisan kami. Alam sekeliling, pohon-pohon, rerumputan, gunung ganang, sungai, matahari, bulan dan awan adalah bahagian alam yang sering dilakar dan dilukis. Kesannya sehingga kini, saya masih sangat menyintai lukisan-lukisan beraliran realisme dan nature, terutama lukisan cat air dan dakwat Cina. Burung dan ikan masih menjadi dua jenis mergastua yang sangat diminati, kerana kedua-duanya mempunyai nilai intrinsik dan mempunyai elemen terapi yang alami.

Ketika bersekolah menengah alam kampung sudah ditinggalkan. Kesibukan belajar dan persekitaran bandar telah memisahkan saya dari kehidupan waktu kecil yang dikelilingi alam hijau. Ketika belajar di Maktab Perguruan di Pulau Pinang, saya begitu teruja dengan keindahan laut di persekitaran Pulau Pinang. Waktu cuti hujung minggu saya sering menunggang motosikal keliling pulau melihat keindahan laut lepas di samping menikmati keindahan alam sekitar di sana. Keindahan pantai Padang Kota, Tanjung Bunga, Batu Feringgi, Teluk Bahang ketika itu begitu mempesonakan dan masih segar terbayang di ingatan. Malangnya kini air di kawasan tersebut sudah tidak sebersih dahulu akibat pencemaran yang melampau. Setelah bekerja, ketika cuti sekolah saya menunggang mooswikal menziarahi rakan-rakan maktab yang bertugas di pantai timur. Di sana saya sangat tertarik dengan keindahan pantai tanahair sperti pantai Teluk Cempedak, Sungai Karang di Pahang; Kijal, Kemasik, Rantau Abang, Batu Buruk di Trengganu; Pantai Cahaya Bulan, Bacok di Kelantan.

Ketika berkhidmat di Berita Harian, awal tahun 1979, saya berkesempatan mendekati aktivis-aktivis pencinta alam di mana mereka memperjuangkan beberapa isu alam sekitar waktu itu, antaranya penebangan hutan tropika, pengondolan bukit bukau sekitar bandaraya Kuala Lumpur dan petaka alam yang terjadi. Sejak itu hati saya begitu terpikat pada isu alam sekitar. Saya mula menulis rencana mengenai pelbagai aspek alam sekitar. Pada tahun 1982 saya menerbitkan buku GEJALA, sebuah koleksi rencana-rencana mengenai alam sekitar.

Ketika bertugas di Bahagian Perhubungan Awam UPM, saya berkesempatan mengikuti perkembangan aktiviti penyelidikan yang dijalankan oleh staf Universiti. Saya turut menulis tentang projek ternakan lebah madu di Johor yang sangat menarik minat saya. Tiga siri rencana tentangnya pernah disiarkan di Berita Harian waktu itu selain disiarkan dalam Unipertama, suratberita rasmi UPM, yang saya sendiri kendalikan. Saya juga pernah mengikuti aktiviti penyelidikan perikanan dan sains samudra ke Pulau Redang. Akhirnya saya mula didedahkan kepada pengetahuan tentang alam marin yang kaya dengan hidupannya.

Setelah bersara awal dan memulakan perniagaan sendiri pada tahun 1994, saya terdedah pula pada alam herba, satu bidang baru yang terpaksa saya dalami kerana ia menjadi perniagaan kami. Perniagaan ini membawa saya pergi jauh ke dunia herba, belajar memahami tentang tumbuh-tumbuhan herba yang menjadi sumber ubatan. Oleh kerana sebelum ini saya pernah belajar asas Homeopathy, maka ia membantu memudahkan saya memasuki bidang perubatan alternatif baru ini - terapi herba. Saya banyak berkongsi ilmu dengan isteri yang merupakan pengamal perubatan moden. Saya mendalami aspek perubatan moden daripadanya dan berkongsi pengalaman klinikalnya ketika menggunakan terapi herba.

Minat mendalami pengetahuan tentang herba, tentang rempah ratus yang menjadi asas jamu, membawa saya ke Indonesia di mana saya dapati di sana banyak sumber maklumat. Banyak buku-buku tentang herba, tanaman herba dan perawatan herba dibeli dan menjadi himpunan penting untuk rujukan. Di samping itu turut mengikuti kursus VCO di Malang dan belajar tentang pertanian organik di Bali. Saya juga turut menyertai Yayasan Padmajaya sebagai pelajar Reiki Tumo. Pelbagai kursus dari peringkat asas hingga ke Master diikuti di pelbagai kota seperti Jakarta, Bandung, dan Surabaya.


Minat untuk lebih memahami alam terus berkembang seiring perkembangan kerjaya baru, sebagai pengusaha produk kesihatan. Di sinilah saya mengenali Lingzhi, herba asal negeri China yang cukup berpotensi. Juga mengenali pelbagai jenis herba tradisional China dan India, memahami aspek ethnobotany, memahmi teknologi pemprosesan dan urusan pendaftaran produk dengan pihak berkuasa. Ketika mengkudu atau Noni begitu popular dulu, saya turut bereksperimen merumus formula minuman kesihatan berasaskan mengkudu, kemudian menanam dan memproses Roselle pula.

Sebagai penulis, kehidupan yang rapat dengan alam memberikan inspirasi segar tentang bahan-bahan yang banyak untuk ditulis bagi dikongsikan dengan pembaca. Tentulah tulisan tentang herba dan manfaat kesihatannya sangat-sangat diperlukan oleh pembaca terutama mereka yang mahukan kesihatan. Oleh itu menulis tentang aspek ini seolah-olah menjadi satu tuntutan pula. Buku-buku Kelebihan dan Manfaat VCO, Terapi VCO, Bicara Kesihatan bersama Dr Julidar, Lingzhi: herba ajaib, Dari Haid Ke Menopaus adalah beberapa buah buku yang terhasil dari penelitian tentang herba dan terapi herba.

Wednesday, December 16, 2009

Tentang Hijrah dan menulis.


Saat ini saya sedang mengumpul bahan untuk menulis buku tentang Hijrah. Tajuknya belum disempurnakan lagi, biarpun rangkanya sudah ada. Lagipun tajuk buku akan disempurnakan setelah semuanya siap nanti. Yang penting kerangka isi dan bahan-bahan telah ada. Begitu juga dengan konsep isinya.

Akhir-akhir ini kelancaran proses menulis tersekat-sekat sedikit. Lihatlah blog ini pun sudah beberapa bulan tidak dikemaskinikan dengan bahan baru. Sungguhpun begitu tahun ini sudah tiga buah manuskrip buku baru disiapkan, kebanyakannya berkaitan bidang kesihatan, iaitu Bicara Kesihatan oleh Dr Julidar, Lingzhi: herba ajaib, Haid dan Menopaus. Sementara itu buku tentang teknologi EM sudah menjangkau 80 halaman.

Saya sendiri sedar antara faktor yang memperlahankan proses menulis adalah kesan daripada lambakan manuskkrip yang belum dapat diterbitkan lagi. Belasan manuskrip menanti untuk diterbitkan. Kadangkala memilih penerbit juga menjadi masalah. Perlu dipilih penerbit yang sesuai dan yang mahu menerbitkannya. Mengajukan manuskrip kepada penerbit yang tidak mahu menerbitkannya tiada guna juga. Begitu juga menyerahkan kepada penerbit yang tidak sesuai juga tidak bagus.

Akhir-aklhir ini saya merasakan tarikan kepada industri perbukuan semakin kuat. Terasa mahu kembali ke industri dan fokus kepadanya. Namun begitu ada kalanya terfikir pula upaya yang semakin menurun. Keupayaan tentulah dalam banyak hal. Kalau ingin menubuhkan penerbitan sendiri, modal, pengurusan, pasaran perlu diselesaikan dahulu. Apabila terlibat dengan industri, pastilah banyak masa sudah diagihkan kepadanya, mungkin waktu untuk menulis akan berkurangan.

Waktu ini waktu untuk membuat penilaian. Sebagai penulis, menghasilkan beberapa buah buku bukanlah suatu yang boleh dibanggakan. Di usia ini kepuasan diri bukan lagi aspek yang menggerakkan keupayaan menulis. Menulis kini sudah menjadi sasaran besar, sasaran perjuangan. Menulis kini bukan lagi sekadar untuk jadi penulis, tetapi lebih dari itu.


AlhamdulilLah, dalam kesibukan menguruskan perniagaan keluarga, menulis tetap terus dilakukan, boleh dilakukan. Malahan urusan perniagaan dan projek-projek yang sedang berjalan, seoalah-olah begitu kompromi dengan aktiviti menulis. Seoalah-olah wujud sinergi antara keduanya. Bila ada projek baru, contohnya projek untuk melestarikan alam, telah menyediakan ruang menulis tentang hal-hal alami dan persekitaran. Projek biotek dan pertanian alami misalnya, telah memberikan ruang untuk menulis tentang biotek dan agrotek. Ini terjadi secara alami, satu keserasian dan sinergi yang sangat bagus.

Hal ini menjadikan saya tidak risau tentang kesibukan berniaga dan menjalankan projek, kerana ia sentiasa menyuburkan ilmu dan pengalaman, dan memperbanyakkan sumber bahan untuk ditulis. Sebelum ini misalnya, buku Membina Impian dilahirkan ketika awal-awal berniaga. Bahan buku ini adalah fakta yang saya sendiri manfaatkan untuk membina impian saya sendiri. AlhamdulilLah apa yang ditulis itulah yang digunapakai untuk meraih kejayaan sekarang ini. Demikian juga dengan buku-buku mengenai kesihatan yang bakal terbit itu. Semuanya ada kaitan dengan perbiagaan produk kesihatan yang kami usahakan. Buku VCO adalah hasil kajian dan penyelidikan literatur dan lapangan ketika memasarkan produk VCO di pasaran. Berguru dan mencari sumber di Indonesia beberapa tahun dulu, sebelum buku ini dihasilkan. Susulannya sebuah lagi buku berkaitanya iaitu Terapi VCO masih belum dapat diterbitkan.

Sebelum ini sebuah buku tentang Reiki iaitu salah satu rawatan alternatif telah lama disiapkan. Ia ditulis setelah saya melengkapkan pelbagai kursus sehingga ke peringkat Master Praktisioner di Indonesia. Oleh kerana Reiki belum begitu dikenali dan diamalkan di sini, saya menyimpan manuskrip ini untuk suatu ketika yang sesuai diterbitkan.


Menjelang ketibaan awal Muharram tahun Hijrah 1431 beberapa hari lagi, saya berkira-kira untuk merumuskan keazaman dan gagasan baru tentang penulisan ini. Saya perlu memastikan tahun-tahun mendatang ini akan diisi dengan aktiviti menulis yang lebih rancak dan lebih produktif. Ini kerana usia sudah semakin banyak yang hilang biarpun ilmu dan pengalaman semakin bertambah. Pertambahan pengalaman sentiasa mengingatkan diri untuk dikongsikan bersama dengan orang lain agar ia lebih bermanfaat. Dan caranya tiada lain melainkan menulis dan menulis.

Ketika ini anak-anak sudah menyelesaikan pengajian mereka di bidang masing-masing. Semuanya, kecuali si Munir yang masih belajar. Kemahuan saya begitu kuat untuk mendorong anak-anak mewarisi bidang penulisan ini. AlhamdulilLah si Munir sudah mula mengikut jejak ini setelah didorong dan dibimbing. Beliau rajin menulis melalui dua blognya Cahaya Yang Menerangi dan Cahaya Ilmu. Saya kini mengharapkan Muzaffar yang baru menamatkan pengajiannya di bidang kesihatan gigi, akan mula mengikut jejak kami. Saya mendorongnya untuk menulis tentang hal-hal kesihatan gigi yang masih sangat kurang diusahakan. Masyarakat dahagakan ilmu dan pengetahuan. Oleh itu menulis adalah salah satu cara kita berkongsi ilmu dengan orang ramai.

(Teratai lambang Reiki, dan mikrob adalah lambang biotek. Dua bidang yang sedang diteliti kini).

Monday, September 14, 2009

Mesej al-Qadr


Kini waktunya kita sedang melewati detik-detik terpenting dalam kehidupan seorang Mukmin, iaitu detik Lailatul Qadr (malam Qadr). Kita sedang berusaha sedaya upaya untuk bersengkang mata di waktu malam terutama malam-malam sepuluh terakhir Ramadhan, demi mencari Lailatul Qadr. Tanpa mencarinya, tanpa menantinya, tanpa peduli kepadanya, Lailatul Qadr pasti datang, kerana ia adalah satu hukum, satu ketetapan, satu takdir Tuhan. Ia tetap datang biarpun kita tidak tahu bila waktunya. Pastilah ada hikmahnya apabila Nabi SAW terlupa hari Lalilatul Qadr itu. Allah SWT telah mentakdirkan sedemikian.

Mengapa Lailatul Qadr adalah detik-detik terpenting dalam kehidupan (khususnya kehidupan Mukmin)? Hal ini dijelaskan sendiri oleh ayat tentang Lailatul Qadr, di mana disebut bahawa malam Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan. Seribu bulan adalah bersamaan 83 tahun lebih. Bermakna detik Lailatul Qadr adalah jauh melebihi waktu 83 tahun. Kelebihan sebenar hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya. Apa yang pasti kita dijanjikan bahawa Lailatul Qadr adalah melebihi seribu bulan.

Dari perkiraan matematik kita boleh menghitung nilai usia kita. Tidak ramai orang yang diberi kesempatan untuk hidup melebihi 83 tahun. Maknanya anugerah Lailatul Qadr adalah satu anugerah yang tiada nilai taranya. Katakanlah kita hanya berpeluang memperolehi kebajikan lailatul Qadr selama lima kali seumur hidup, maka bermakna kita sudah memperolehi kebajikan melebihi 415 tahun tahun umur kehidupan kita. MasyaAllah, betapa lumayannya kebajikan yang dianugerahkan, betapa Pengasihnya Tuhan, betapa luasnya Rahmat Tuhan, betapa Pemurahnya Dia.

Detik Lailatul Qadr hanya datang bagi satu tempoh singkat iaitu satu malam sahaja dalam setahun. Ia datang dan pergi. Namun di sebaliknya Lailatul Qadr meninggalkan kepada kita suatu yang sangat berharga kiranya kita tahu menghargainya. Apabila Tuhan berfirman (maksudnya): Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam Qadr, maknanya Allah telah menetapkan bahawa al-Quran itu sebagai satu anugerah yang sangat mahal, sangat bernilai, sangat agung kepada kita. Ia diturunkan di dalam lingkungan detik terpenting (Lailatul Qadr) dalam kehidupan. Mengiringi turunnya kitab suci itu adalah para malaikat dan Ruh (Jibril) yang turun ke bumi menjalankan perintah Tuhan (mengatur segala urusan).

Biarpun Lalilatul Qadr datang dan pergi, namun di sepanjang detik-detik lain kehidupan kita, keberkatan Lailatul Qadr tetap bersemadi di hati selama kita sedar bahawa al-Quran sentiasa ada di sisi kita. Al-Quran ditakdirkan sebagai ssesuatu yang terpenting kepada kehidupan kita, ia adalah ruh kehidupan kita, ia adalah jembatan yang menghubungi kita kepada Tuhan Rabbul Jalil. Kita memahami bahawa Ramadhan adalah bulan paling mulia, dan di dalam bulan mulia itu Lailatul Qadr adalah detik-detik paling mulia, manakala kemuliaan detik Lailatul Qadr itu terletak pada al-Quran.


Syukurlah kerana kita masih memiliki al-Quran sebagai petunjuk (S. al-Baqarah: 2 dan 185), dipenuhi penjelasan-penjelaan tentang petunjuk itu (S. al-Baqarah 185), maka nilai al-Quran kepada kita terletak pada keupayaan kita mendapatkan sebanyak-banyak petunjuk daripadanya. Petunjuk atau hidayah biasanya dianggap satu anugerah Allah SWT. Sungguhpun begitu kita disarankan supaya berusaha mencarinya, memintanya kepada Tuhan, sebagaimana kita minta dalam tiap rakaat setiap kali solat (tunjuki kami ke jalan lurus). Oleh kerana sudah dinyatakan dengan jelas bahawa al-Quran itu adalah Petunjuk, maka dapatkannya pada al-Quran.

Apabila kita diperintahkan membaca (Iqra') maka marilah kita membaca al-Quran itu. Membaca adalah jendela ilmu, dengan membaca kita sedang membuka jendela tempat masuknya ilmu. Inilah mesej awal yang dibawa oleh al-Quran. Maknanya inilah Petunjuk penting kepada kita.

Malangnya petunjuk tentang membaca ini kita remehkan. Kita tidak membaca, kita malas membaca, kita letakkan membaca sebagai perkara-perkara kedua, ketiga dan bukan perkara prima (utama). Inilah silapnya kita, inilah kesilapan yang masih kita lakukan sehingga kita menjadi umat yang ketinggalan di dunia ini. Inilah juga faktor yang menyebabkan kita terhina dan dihinakan oleh orang lain. Inilah juga yang menyebabkan kita mundur, miskin, terjajah dan tidak menjadi 'umat pilihan'.

Apabila kita tidak meletakkan membaca sebagai keutamaan, maka kita tidak akan berilmu, tidak akan berpengetahuan, tidak akan bermaklumat, tidak akan menjadi masyarakat madani, masyarakat K (knowledge) seperti kata orang sekarang. Pada tahap membaca secara zahirpun kita tidak lakukan, apa lagi untuk membaca pada tahap tinggi (berfikir, mengkaji, menyelidik, menafsir secara akademis). Sedangkan membaca adalah prasyarat untuk maju di dunia ini. Tidakkah kita sedar bahawa negara-negara yang maju dibina oleh rakyatnya yang rajin membaca, yang gila membaca, yang meletakkan buku/kitab/internet sebagai sarana ilmu yang dihargai.

Marilah kita berhijrah, berhijrah secara minda, berhijrah secara amali. Marilah kita berhijrah kepada tabiat membina, iaitu tabiat membaca. Membaca masih belum menjadi tabiat kita selagi kita tidak bermula dengan kesedaran tentang pentingnya membaca. Sebagai orang beriman, kita sudahpun faham bahawa kita diperintahkan (diwajibkan) membaca. Itulah saripati penting al-Quran yang terangkum dalam perkataan Iqra'. Kita sepatutnya sudah sedia sedar hakikat ini kerana setiap hari kita membaca al-Quran.


(fenomena alam yang kita kurang baca)

Marilah kita ubah sikap dengan berubah pada tahap minda terlebih dahulu. Latihkan minda kita dengan membiasakan diri mendekati aktiviti ilmu, misalnya menghadiri majlis ilmu, mendampingi buku/kitab (hari ini internet). Dampingi orang-orang berilmu, wujudkan suasana keilmuan di rumah dengan membelikan buku sebagai hadiah dan pemberian kepada anak-anak, sediakan sudut bacaan atau perpustakaan mini di sudut rumah, sediakan sedikit peruntukan kewangan untuk bahan bacaan, berbincang dan berkomunikasi dengan ahli keluarga melalui perbincangan keilmuan, dan banyak lagi cara yang kita boleh lakukan untuk merangsang sikap minda positif.

Buatkan indeks pencapaian membaca (KPI) peribadi. Pengukuran boleh diasaskan kepada berapa halaman buku/majalah dibaca dalam sehari, seminggu atau sebulan. Berapa buah buku dibaca dalam seminggu, sebulan atau setahun. Berapa jam kita melayari halaman-halaman ilmu di internet. Apakah jenis buku/mjalah yang dibaca, adakah ianya berbahan ilmu atau sekadar bahan hiburan. Apakah maklumat terbaru yang kita dapat setiap hari, setiap minggiu atau setiap bulan.

Sunday, September 13, 2009

Bacalah, akhirnya kita akan percaya.


Ketika melintasi Surah Aj-Jathiah, kita akan ketemu dengan beberapa ayat yang menjelaskan tentang kebesaran Tuhan yang terdapat pada alam yang diciptakan ini. Tanda-tanda sebagai bukti kekuasaan Tuhan ini disebut oleh al-Quran sebagai ayat (dalam bahsa asalnya). Apabila al-Quran mnyebut perkataan ayat, ia akan merujuk kepada keterangan atau ayat-ayat al-Quran itu sendiri; manakala dalam konteks lain, ia merujuk kepada tanda-tanda kekuasaan Tuhan yang terdapat pada alam.

Banyak ayat-ayat yang menyentuh tentang alam yang digandingkan dengan perkataan ayat. Ini membawa pengertian bahawa alam ini adalah ayat-ayat Tuhan yang perlu dibaca juga. Oleh kerana ayat-ayat ini (ayat kauniah) sangat besar, maka membacanya tentulah memerlukan pendekatan yang lebih luas. Membacanya memerlukan alat-alatan bantu seperti makmal, teleskop, mikroskop dan lain-lain. Maknanya ia perlukan kajian, penyelidikan, penerokaan lapangan dan sebagainya.

Marilah kita ikuti maksud ayat-ayat yang dipaparkan dalam Surah Al-Jathiah itu:

Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) untuk orang-orang yang beriman. Dan pada penciptaan kamu dan pada binatang yang melata yang bertebaran di muka bumi terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) untuk kaum yang meyakini. Dan pada pergantian malam dan siang dan hujan yang diturunkan Allah dari langit lalu dihidupkannya dengan air hujan itu bumi sesudah matinya, dan pada perkisaran angin terdapat pula tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berakal. Itulah ayat-ayat Allah yang Kami bacakan kepadamu dengan sebenarnya. Maka dengan perkataan manakah lagi mereka akan beriman sesudah (kalam) ALlah dan keterangan-keterangan-Nya. (maksud al-Quran 45:3-6).


(Air menampilkan dirinya dalam wajah kristal yang cantik)

Langit, bumi, manusia, binatang, malam, siang, hujan dan angin serta fenomenanya disebut sebagai ayat-ayat yang menggambarkan keagungan Tuhan Maha Pencipta. Apakah kita yang setiap hari melihatnya, merasakan kewujudannya, mendapatkan manfaat daripadanya, tidak sedar, tidak insaf akan hakikat ini? Apakah manusia masih mahu mengingkarinya, masih menafikannya, atau masih mahu berhujjah lagi? Itulah bukti kewujudan Tuhan, kebesaran Tuhan dan keagungan-Nya. Hanya dengan beriman, hanya dengan berfikir secara saintifik, hanya dengan mengkaji dan menyelidiki secara saintifik, barulah manusia menemui kebenaran ayat-ayat ini.

Tanpa membaca, mengkaji, menyelidiki manusia tidak akan bertemu tentang fakta, ilmu atau maklumat tentang langit. Mata kasar kita hanya mampu melihat kerdipan bintang-bintang di malam hari. Itupun ketika langit tiada mendung. Namun begitu, seorang saintis (astronomi) akan dapat melihat lebih jelas lagi planet-planet di jagatraya ini, kerana mereka mempunyai maklumat dan mempunyai peralatan teleskopik yang kuasa kantanya berganda-ganda. Mereka inilah yang akan menyaksikan betapa agungnya ciptaan bintang-bintang atau planet di angkasa (langit). Keajaiban langit menjadi rahsia kepada kita yang jahil (tiada ilmu tentangnya), tetapi keajaiban itu membuka pelbagai ilmu kepada para saintis yang mengkajinya.

Begitu juga dengan bumi. Kita melihat bumi sebagai hamparan kerana kita melihat bumi pada posisi kita di bumi. Gambaran bumi adalah bulat (tidak mendatar) apabila ia dilihat dari luar angkasa. Di bumi kita melihat matahari bergerak dari timur ke barat. Di luar angkasa, bukan matahari yang beredar tetapi bumi yang berputar mengelilingi matahari. Keajaiban alam cakrawala hanya dapat dinikmati oleh mereka yang mengkajinya. Syukurlah berkat kajian pakar-pakar sains astronomi, kita sudah menyingkap banyak rahsia cakrawala.


Diri manusia sendiri adalah ayat Tuhan yang sangat hebat ciptaannya. Kita hanya melihat diri fizikal sahaja tetapi tidak dapat melihat diri di dalam yang tediri daripada pelbagai organ yang berfungsi secara sinergi menggerakkan kehidupan kita. Di dalam tubuh ada jantung, hati, paru-paru, otak, saraf, hempedu, pankreas, buah pinggang, usus dan lain-lain. Kita tidak pernah melihatnya kerana ia berada di dalam tubuh yang dibalut oleh daging, yang dibalut pula oleh kulit.

Keajaiaban ciptaan manusia hanya disaksikan oleh orang yang mempunyai ilmu tentangnya seperti ahli biologi, doktor dan saintis yang mengkaji tentang diri manusia. Merekalah orang yang benar-benar membaca ayat Tuhan ini. Sebab itu merekalah orang yang dapat merasakan kebesaran dan keagungan Tuhan kerana setiap hari mereka melihat bagaimana organ-organ ini bekerja dan berfungsi dengan penuh keajaiban. Jantung misalnya, saiznya sederhana kecil, tetapi mempunyai keuatan luar biasa, bekerja terus menerus tanpa henti walaupun tuannya sedang tidur. Jaringan saraf yang berjuta-juta mewujudkan jaringan komunikasi baik secara fisiologi mahupun secara anatomi, berfungsi dengan sangat rapi dan efektif.

Sungguhpun jurutera dan pakar elektronik mampu mencipta gajet canggih seperti komputer, namun mereka tidak mampu menghasilkan satu sistem seumpama sistem anatomi dan fisiologi otak manusia itu. Di sinilah baru kita dapat menemui titik kesedaran bahawa ciptaan Tuhan sangat hebat, sangat agung, penuh dengan kebijaksanaan, penuh dengan kekuatan luar biasa. Sebahagiannya tidak terfikir oleh akal, maka kita hanya perlu beriman, perlu percaya dan yakin sahaja.

Saturday, September 5, 2009

Kita perlukan tafsiran saintifik.

<
Terakhir ini kita melihat satu perkembangan dinamik di kalangan umat Islam untuk menghayati al-Quran. Penghayatan al-Quran tidaklah terbatas kepada aktiviti ngaji, membaca, bertarannum sahaja. Lebih dari itu al-Quran perlu ditadabbur, dibaca dengan memahami maknanya. Lebih afdhal lagi sekiranya dapat membaca tafsir, asbabun nuzul, dan ilmu-ilmu berkaitannya, apa lagi menghafalnya.

Kini pusat-pusat pengajian al-Quran termasuk pusat tahfiz al-Quran tumbuh subur di pelbagai daerah dan lokasi. Dari masa ke semasa ada sahaja pihak yang menubuhkan pusat-pusat sedemikian untuk mengembangkan ilmu al-Quran dan hafazan. Ini satu perkembangan yang sungguh mengagumkan. Kita sedang berdepan dengan satu kesedaran baru menghayati al-Quran di kalangan umat Islam di Malaysia.

Apabila banyak pusat-pusat pengajian al-Quran dan tahfiz didirikan, kita akan menikmati keberkahannya di mana ramai para hafiz akan berada dalam masyarakat. Waktu inipun sudah ramai para hafiz yang menjadi imam masjid dan surau. Solat tarawikh kini diimami oleh para hafiz yang boleh membaca semua surah-surah al-Quran, tidak lagi seperti dahulu. Imam-imam ini pula adalah anak-anak muda lulusan pusat tahfiz di dalam dan luar negara.

Semakin ramai para hafiz akan mempercepatkan lagi pertumbuhan pusat-pusat tahfiz baru kerana mereka ini sebahagiannya akan berusaha mengembangkan aktiviti pendidikan tahfiz di kalangan masyarakat. Selain itu terlihat ada kecenderungan masyarakat Islam untuk menyokong aktiviti sedemikian dengan memberikan sokongan kewangan dan juga sokongan moral. Di samping itu trend menghantar anak-anak ke pusat tahfiz sejak usia muda kelihatan begitu marak kini.

Perkembangan ini meyakinkan kita untuk melihat satu perubahan kepada pemikiran, sikap dan amal umat di masa depan. Perkembangan ini akan melahirkan ulama holisitik sebagaimana zaman kegemilangan Islam dahulu. Kita mengharapkan lebih ramai lahir profesional seperti doktor, peguam, jurutera, arkitek, ahli sains yang juga hafiz. Mereka akan menjadi pewaris Ulul-albab yang akan menampilkan wajah ilmuan Islam yang holistik. Sekiranya mereka ini menjadi pendakwah, mereka akan mengupas pelbagai bidang ilmu melalui pendekatan Quranik.


Waktu itulah kita menjangkakan lahirnya golongan Ulul-albab yang terus mengkaji dan menyelidikan segala sesuatu di alam dan di jagat raya ini, bagi melihat lebih dekat kebesaran Allah SWT padanya. Mereka inilah yang akan menepati maksud al-Quran: Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi dan peralihan malam dan siang itu terdapat tanda-tanda (ayat) kepada Ulil-albab.(Ali Imran: 190).

Hari ini kajian-kajian sains telah menemukan lebih banyak fakta baru tentang pelbagai bidang. Antaranya ialah bidang biotek. Bidang ini adalah sub-bidang biologi yang sangat dekat dengan hal-hal berkaitan alami (Sunnatullah). Kita mengharapkan lebih ramai saintis Muslim menerokai bidang-bidang ini kerana al-Quran sentiasa menyarankan kita memerhati, mengkaji dan memanfaat sumber alam ini secara baik.

Kita juga mengharapkan akan tiba masanya al-Quran akan ditafsirkan melalui pendekatan sains kerana terlalu banyak fakta-fakta sains yang akhirnya menyokong kebenaran fakta al-Quran. Apabila kita memiliki ulama al-Quran yang juga pakar sains, kita yakin mereka mampu menafsirkan ayat-ayat al-Quran berkaitan sains secara lebih komprehensif lagi. Sudah tentulah tafsiran-trafsiran baru ini akan menambah sempurnakan (komplementari) kitab-kitab tafsir sedia ada. Waktu itu kita akan menemui terjemahan perkataan zarrah dalam surah Al-Zalzalah tidak lagi diterjemahkan sebagai biji sawi, tetapi sebagai atom, nuklear atau nano (merujuk kepada wujud paling kecil).


(Air disebut oleh al-Quran sebagai asal segala sesuatu yang hidup termasuk manusia. 70% tubuh manusia adalah air, malahan tulang juga mengandungi air.)

Kenapa kitab tafsir kita kekurangan tafsiran mendalam tentang ayat-ayat yang menyebut tentang kejadian manusia misalnya. Oleh kerana ahli-ahli tafsir tidak mendalami bidang-bidang sains biologi, mereka tidak dapat menghuraikan dengan mendalam perkembangan proses kejadian manusia yang disebut dari tanah, kemudian dari mani, menjadi segumpal darah, menjadi pula segumpal daging dan tulang. Tulang belulang itu kemudiannya dibungkus dengan daging.

Apakah kita belum terfikir untuk menghasilkan sebuah tafsir saintifik yang boleh diusahakan oleh kelompok ulama yang mahir tentang ulumul Quran, bergabung dengan saintis-saintis kita, untuk mengupas secara mendalam ayat-ayat sains yang begitu banyak dalam al-Quran itu. Kebesaran al-Quan itu tentulah akan lebih terserlah kiranya kita dapat berbuat sesuatu bagi membolehkan orang melihat al-Quran sangat dekat dengan kemajuan ilmu semasa. Apa lagi jika diambil kira al-Quran sebagai mukjizat agung yang sentiasa akan segar dan serasi dengan perubahan dan perkembangan ilmu manusia.

Thursday, September 3, 2009

Apabila al-Quran diturunkan .....


Beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut Nuzul Al-Quran iaitu satu peristiwaa penting dalam sejarah Islam dan sejarah umat manusia juga. Detik penurunan al-Quran sangat besar ertinya kepada kita umat Islam dan umat manusia seluruhnya, kerana turunnya al-Quran telah merobah dunia. AL-Quran telah meningkatkan taraf hidup manusia kepada satu dimensi sempurna sesuai dengan fitrah kejadian manusia.

"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Mencipta manusia daripada segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmu Yang paling Pemurah. Yang mengajar (manusia)dengan perantaraan qalam. Dia mengajarkan manusia apa-apa yang tidak diketahuinya." maksud al-Quran, S. Al-'Alaq ayat 1-5.

Itulah ayat terawal diturunkan Tuhan kepada Nabi Muhammad SAW. Ayat yang sangat besar maknanya kehidupan manusia kerana ia menyentuh hal-hal ilmu, hal-hal ketuhanan dan hal-hal manusia.

Perintah membaca bukanlah satu urusan kecil, sebaliknya membaca adalah satu urusan besar, urusan penting. Membaca pastilah satu amal atau aktiviti penting dalam kehidupan ini, maka Tuhan memerintahkan kita membaca. Membaca adalah satu aktiviti keilmuan dan ianya adalah aktiviti yang sangat relevan dengan penciptaan manusia itu sendiri.

Uniknya manusia ialah pada ciri-cirinya sebagai makhluk ilmu. Sewaktu Adam AS diciptakan, dia diajarkan Tuhan dengan ilmu yang menjadikan dia makhluk istimewa untuk nanti memajukan ilmu. Makhluk lain tidak diberi keistimewaan tersebut. Adam AS diturunkan ke bumi untuk menjadi khalifah atau wakil Tuhan menguruskan alam ini. Tuhan mengajarkan Adam AS ilmu tentang alam untuk membolehkan dia berfungsi sebagai khalifah di sini. Kemudian Tuhan menurunkan pula mashaf dan kitab-kitab kepada para rasul-Nya sebagai satu cara Tuhan mengajar manusia tentang ilmu-ilmu terutama ilmu mengenai perkara ketuhanan dan perkara ghaib.


(Planet adalah ayat-ayat (tanda-tanda) besar yang perlu dibaca)

Bimbingan Tuhan melalui wahyu yang diturunkan itu adalah untuk memastikan manusia dapat menjalani hidup di bumi dengan sejahtera, selamat, aman dan bahagia. Kenapa agama terakhir, Islam itu diberi nama sedemikian, adalah selari dengan matlamat salam iaitu kesejahteraan, keselamatan, keamanan dan kebahagiaan di atas. Al-Quran adalah kitab terakhir diturunkan, dan ia adalah kitab yang sempurna dan lengkap.

Untuk urusan kehidupan dunia al-Quran memberikan bimbingannya. Di samping itu manusia disaran menggunakan seluruh indra ilmu yang ada pada diri mereka untuk mengembangkan maklumat atau pengetahuan tentang pelbagai hal kehidupan ini. Lima pancaindra dan akal serta hati merupakan indra ilmu. Manusia bolehlah memajukan keupayaan indra ilmu tersebut agar ilmu manusia semakin bertambah setiap hari.

Apabila Tuhan memerintahkan kita membaca, bermakna Tuhan memerintahkan kita menggunakan sepenuhnya potensi indra-indra ilmu itu untuk menambahkan pengetahuan yang sedia ada. Apabila diperintah membaca dengan menyebut nama Tuhan, maknanya kita diperintah mencari ilmu dengan cara sentiasa menyebut nama Tuhan, meminta atau berdoa kepada-Nya, mencari ilmu-ilmu yang bermanfaat dan diridhai-Nya, berjihad di bidang ilmu kerana-Nya dan menjadikan perjuangan menuntut, mengamal dan mengajar ilmu adalah berasaskan keredhaan-Nya.

Membaca dalam pengertian yang luas dan holistik pastilah merujuk kepada aktiviti mencari ilmu menggunakan kaedah membaca (membaca teks), mengkaji, menyelidik, mengujikaji (membaca alam iaitu ayat yang tiada dalam teks).


(matahari, bulan, fajar, malam adalah ayat-ayat Tuhan yang perlu difikirkan)

Bersempena dengan sambutan Nuzul al-Quran ini marilah kita bertafakkur, berfikir dan bermuhasabah: apakah kita sudah benar-benar melaksanakan perintah membaca sebagaimana yang dikehendaki oleh semangat Iqra' itu. Apakah kita sudah benar-benar membaca al-Quran mengikut pengertian tadabbur, iaitu memahami dan mengerti makna ayat-ayat al-Quran yang dibaca. Sesudah itu apakah kita telah mengamalkan seluruh isi al-Quran, dan sudahkah kita berusaha menyampaikan apa yang kita fahami itu, untuk dikongsikan dengan orang lain. Dalam konteks ilmu, terdapat tiga proses, iaitu mencari ilmu, mengamalkan ilmu tersebut, dan menyampaikan (mengajar) ilmu tersebut kepada orang lain. Inilah proses ilmu yang dianjurkan oleh Islam.

Marilah kita bertanyakan diri masing-masing: apakah kita suka membaca? berapa buah buku/kitab dibaca dalam sebulan? berapa halaman ilmu yang kita tambah setiap hari? berapa majlis ilmu kita hadiri dalam sebulan? Berapa buah buku yang kita beli? Berapa anggaran perbelanjaan untuk bahan bacaan di rumah? Apakah ada perpustakaan mini di rumah?

Jawaban kepada soalan-soalan di atas akan memberikan kita tanda aras sikap kita terhadap amalan membaca. Nilailah sendiri. Kiranya tanda aras itu rendah maka itulah hakikatnya diri kita, masih belum memenuhi tuntutan al-Quran supaya kita membaca.

Seandainya kita menilai pencapaian umat Islam di bidang sains hari ini, kita akan dapati kita berada jauh di belakang. Saintis bukan Islam nampaknya benar-benar mengamalkan perintah membaca kerana mereka begitu tekun dan serius menjalankan penyelidikan tentang pelbagai bidang sains. Mereka yang rajin mengkaji alam dan fenomenanya, sedangkan umat Islam tidak mahu melakukannya. Padahal ayat-ayat Mutasyabihat di dalam al-Quran merangsang kita berbuat demikian.

Monday, August 31, 2009

Gejala: bukti tentang cintai alam.


Alam sekitar telah menjadi subjek yang begitu penting kepada saya. Segalanya bermula daripada kesedaran bahawa alam adalah bahagian daripada kehidupan kita. Tuhan menciptakan alam untuk kita, untuk dinikmati, dimanfaatkan dan mengambil apa sahaja yang boleh dimanfaatkan daripadanya. Secara serius saya berusaha memahami permasalahan alam sekitar adalah pada penghujung tahun 70an, kira-kiara 30 tahun silam.

Saya agak sensitif melihat perubahan-perubahan yang terjadi kepada kehidupan ini terutama apabila mengingat kembali indahnya hidup di kampung waktu kecil-kecil dahulu. Kenangan penuh nostalgia mengimbau suasana kampung tradisi Melayu dengan alamnya yang masih lestari. Kehijauan kampung refleksi daripada kesuburan tumbuhan-tumbuhan semulajadi pada hutan rimba yang memagari kampung, sawah ladang dan persekitaran menghijau, membangkitkan kesegaran.

Walaupun kehijauan masih terus wujud, namun senario kampung sudah jauh berubah. Anak-anak sungai hampir kekeringan, sawah pun tiada lagi, kini jadi kawasan kebun atau terbiar begitu sahaja. Orang kampung pun sudah tidak lagi bergantung rezeki kepada alam dengan bertani sebaliknya mencari rezeki di luar. Mereka bekerja di luar kampung, sementara kampung cuma menjadi tempat tinggal.

Sebagai penulis, saya masih ingat lagi betapa besarnya pengaruh alam kepada diri saya. Alam menjadi sumber ilham untuk menulis, baik puisi atau prosanya. Usaha menulis tentang alam rupanya berterusan tanpa henti, cuma fokus penulisan tidak lagi pada keindahan alam, sebaliknya lebih kepada permasalahan yang dihadapi oleh alam sekitar. Di awal tahun 80an, saya menulis pelbagai rencana untuk siaran akhbar tempatan menyentuh tentang masalah alam sekitar termasuk pencemaran, pemusnahan hutan dan lain-lain.

Koleksi rencana-rencana berkaitan saya kumpulkan dan diterbitkan dalam bentuk sebuah buku yang berjudul GEJALA. Buku ini tidak dapat diedar dengan meluas kerana masalah pengedaran yang tidak berkesan. Dengan segala kekurangan buku itu diterbitkan sendiri. Ia pernah diulas oleh sebuah akhbar tempatan, Utusan Malaysia dalam ruangan ulasan bukunya.

Buku GEJALA yang diterbitkan pada tahun 1982 adalah perihal alam sekitar. Ia mendedahkan fakta-fakta kerosakan alam, pencemaran alam dan bagaimana nasib alam yang tidak diraikan dengan sempurna. Dikupas juga sikap manusia, satu-satunya makhluk yang mengancam alam. Beberapa rencana mengupas tentang salah tanggap manusia terhadap alam, menyebabkan punca mengapa alam diabaikan.


Kini masanya saya rasa saya tidak lagi hanya menulis atau sekadar bercakap. Saya merasa terpanggil untuk masuk gelanggang. Terakhir ini secara tidak langsung saya semakin akrab dengan alam apabila menceburi perniagaan yang ada kaitan dengan alam, iaitu herba. Ia membawa saya lebih dekat dengan alam nabat (tumbuh-tumbuhan) untuk mengenali fungsi dan peranannya sebagai pemakanan kesihatan. Di situlah saya terpukau dengan segala rahsia kelebihan tumbuhan-tumbuhan herba yang mempunyai pelbagai khasiat atau bahan aktif yang boleh digunakan untuk merawat penyakit di samping menghindari penyakit.

Waktu kecil di kampung dulu, orang-orang tua menggunakan sepenuhnya bahan-bahan herba ini sebagai penawar kepada sesetengah penyakit. Pelbagai jenis daunan digunakan. Namun mereka tidaklah mempunyai kemahiran teknikal untuk mengklasifikasikan bahan-bahan ini, sehinggakan sukar untuk mengenali jenis, nama dan manfaatnya secara sistematis. Akhirnya apabila orang-orang tua telah tiada, hilanglah satu kemahiran menggunakan herba dalam rawatan. Generasi kmuda tidak lagi memiliki warisan tersebut. Salah satu faktor ialah perkembangan perubatan moden yang semakin meluas, sehingga kemudahan itu ada di kampung-kampung. Akhirnya orang beralih kepada ubatan moden, dan menyisihkan kekayaan herba.

Kini dalam era kesedaran untuk kembali ke alami, barulah orang mula teringatkan sumber-sumber alam di sekeliling kita. Kini setelah melalui proses belajar, mengkjaji dan menyelidiki, barulah kita sedar betapa rapatnya masyarakat tradisional dengan alam. Contohnya kelapa digunakan sepenuhnya sebagai bahan merawat penyakit, terutama air kelapa muda. Saya mulai sedar mengapa mereka begitu banyak menggunakan kelapa dalam rawatan apabila membuat penelitian tentang VCO atau minyak kelapa dara. Penelitian itulah yang saya tampilkan dalam buku Kelebihan Dan Manfaat VCO.


Saya juga hampir menyiapkan sebuah lagi buku tentang herba, khususnya tentang Lingzhi atau Ganoderma Lucidum. Buku ini adalah hasil penelitian berpuluh tahun terhadap khasiat dan manfaatnya dalam merawat pelbagai penyakit. Saya begitu dekat dengan herba berasal dari Cina ini kerana ia adalah antara herba yang kami pasarkan di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia. Pengalaman menggunakannya sebagai penawar atau ubatan dan juga sebagai pemakanan kesihatan sungguh meyakinkan. Kekuatan immunomodulating padanya membolehkan ia membina daya tahan tubuh untuk menghindari gejala penyakit.

Wednesday, August 26, 2009

Bila kita lupa membaca.


Apabila al-Quran menekankan soal iqra' atau membaca, maknanya Allah SWT memerintahkan umat Islam khususnya untuk memberi keutamaan kepada aktiviti membaca. Membaca secara harfiahnya apa lagi membaca secara maknawinya, adalah satu proses penting untuk menjana pengetahuan. Membaca dikatakan jendela ilmu, kerana melaluinya kita dapat melihat keluar ke dunia ilmu.

Apabila disebutkan membaca dan usaha mencari ilmu suatu kewajiban, maka tiada alasan lagi untuk kita beranggapan bahawa ianya adalah satu aktiviti yang perlu dilakukan oleh golongan tertentu sahaja. Bermulanya turun ayat al-Quran dengan perintah Iqra' bermakna betapa pentingnya membaca di sisi Tuhan. Berdasarkan logik ini aktiviti memabaca untuk mencari ilmu adalah satu tuntutan besar kerana tanpa ilmu manusia tidak akan kenal dirinya, tidak akan kenal Tuhan penciptanya dan tidak akan kenal semua yang ada di alam ini.

Sungguhpun Nabi Muhammad SAW ketika menerima wahyu pertama dengan jujur mengatakan "aku tidak tahu membaca" ketika malaikat Jibril menyuruhnya membaca, namun Jibril mengajar baginda SAW membaca. Ini adalah proses belajar yang betul, di mana Jibril mengajar Nabi SAW membaca, kerana sebelum ini Nabi SAW seorang yang buta huruf (ummi). Peristiwa yang terjadi di Gua Hira' ini adalah suatu peristiwa yang sangat signifikan dengan perkembangan ilmu. Turunnya wahyu pertama ini menandakan permulaan turunnya ilmu atau maklumat-maklumat risalah ketuhanan dari langit ke bumi.

Akhirnya setelah 23 tahun sempurnalah penurunan ayat-ayat al-Quran. Ia telah menjadi mushaf yang kita baca waktu ini, di mana ianya kekal dipelihara Tuhan tanpa pernah diubah atau dippinda sebagaimana kitab-kitab lain seumpana injil dan taurat. Tuhan memberi jaminan yang Dia sendiri akan memelihara al-Quran. Inilah mukjizat besar al-Quran di mana tiada siapa tergerak hati atau berani mengubah atau memindanya. Ia kekal sebagai al-Quran yang diturunkan 1400 tahun lalu, untuk terus dibaca, dibaca dan dibaca. Proses pemeliharan al-Quran Tuhan takdirkan berlaku secara rapi di mana di peringkat awal ia dihafal, kemudian disalin ke lembaran, ditashihkan, kemudian disalin menjadi beberapa salinan. Demikian juga proses percetakan al-Quran hari ini dikawal rapi oleh pihak-pihak berautoriti. Ia ditashihkan, disemak dan dipastikan betul sebagaimana naskah asal, barulahlah diberi kebenaran untuk mencetaknya. Proses memelihara al-Quran secara hafalan masih diteruskan. Malahan hari ini aktiviti menghafal al-Quran kelihatan begitu pesat berkembang. Al hamdulillah perkembangan ini begitu besar manfaat kebajikannya apabila bertambah ramai orang yang hafiz (penghafal al-Quran).


(Kristal air yang cantik, kini lahir sebagai informasi baru)

Perkembangan dan kemajuan prasarana ilmu seperti industri percetakan, disokong pula oleh kehadiran gajet-gajet eletronik canggih, telah membantu al-Quran tersebar meluas secara lebih efektif. Adanya gajet-gajet tersebut al-Quran dapat didengar di mana sahaja, sambil memandu atau sambil bekerja. Ketika kesuntukan waktu untuk membaca al-Quran, ia boleh didengar melalui radio, kaset, cd, MP3, dan internet. Perkembangan ini adalah suatu kelebihan yang memanfaatkan kita. Mudahnya kita membca dan mendengar al-Quran. Di samping itu kemurahan laman-laman web di internet menyediakan terjemahan al-Quran dalam pelbagai bahasa untuk kita. Semuanya dapat diaskses dan dilayari dengan pantas dan berkesan, kerana ia menampilkan visual dan audio serentak.

(otak manusia perlu dipertajamkan dengan membaca).

Teknnologi telah membantu kita mendapatkan ilmu dengan mudah dan pantas. Beberapa klik di papan kekunci pada komputer akan menghantar kita ke majlis ilmu. Sepantas itu halaman-halaman buku akan terpapar diskrin komputer untuk dibaca. Oleh itu proses membaca tidak lagi sulit sebagaimana waktu lalu. Ketika itu kita memerlukan buku untuk membaca, terpaksa ke perpustakaan untuk mendaptkan buku atau bahan bacaan, terpaksa ke kedai membeli akhbar atau majalah untuk dibaca. Kini zaman siber telah merobah segala-galanya. Aktiviti mencari ilmu menjadi sangat mudah dan juga murah. Sebahagian maklumat disediakan percuma di internet. Kita boleh menerokai lembaran-lembaran maklumat dengan pantas melalui internet.

Perintah Iqra' telah benar-benar membina tamaddun yang disebut hadari itu. Di zaman kegemilangan Islam dahulu umatnya benar-benar serius menangani ilmu. Mereka belajar, beramal dan mengembangkan ilmu tanpa mengenal erti lelah dan penat. Mereka melakukan semua aktiviti itu atas kesedaran beribadah dan berjihad di jalan Allah SWT. Keikhlasan itu akhirnya menzahirkan satu tamaddun gilang gemilang di bidang keilmuan. Mereka lahir sebagai ilmuan yang alim yang faqih dalam ehwal hukum-hukum agama, ahli dalam bidang-bidang falsafah dan sains. Islam akhirnya melahirkan ramai saintis dan pakar dalam pelbagai bidang ilmu. Ketika itu umat Islam melihat ilmu dalam perspektif yang luas dan holistik. Semua ilmu dianggap fardhu kerana apabila ilmu itu memberi manfaat kepada manusia, manusia menuntutnya menjadi satu kewajiban, sekurang-kurangnya fardhu kifayah. Ketika itu munculnya ulama atau ahli ilmu yang menepati konsep Ulul-albab sebagimana yang disebutkan dalam al-Quran. Mereka adalah alim tentang hukum-hukum agama dan juga alim dalam biddang-bidang tertentu seperti kedoktoran, fizik, kimia, matematik, geografi, falak dan sebagainya. Mereka menghayati erti holistik dalam soal ilmu. Ketika itu konsep Iqra' yang diperintahkan al-Quran benar-benar difahami dan dihayati sepenuh jiwa, hingga kahirnya tamaddun dunia berkembang maju di tangan umat Islam.

Islam melahirkan ramai tokoh di bidang astronomi dan astrofizik. Antaranya Al-Khawarizmi, Ibn Sina, Al-Farabi, Ibn Bajah, Ibn Tufail, Ibn Rusd, Al Jazari, al-Khazini dan lain-lain. Di bidang kimia pula ialah Ibn Sina, Jabir Hayyan, Al-Kindi, Ibn Miskawaih, Al-Khazini, Ibn Khaldu, Al-Khararizmi dan lain-lain. Ramai lagi tokoh-tokoh ilmuan Islam di pelbagai bidang dan disiplin ilmu untuk disebutkan.

Malangnya nasib kita umat Islam sekarang, kita sudah jauh tertinggal. Apabila tamaddun ilmu yang dibina oleh Islam itu dibawa ke Eropah, bangsa-bangsa Barat memajukannya sebagai bidang ilmu yang akhirnya seolah-olah menjadi milik mereka. Banyak fakta sejarah ilmu-ilmu itu cuba disembunyi dan dilenyapkan, supaya orang tidak tahu sejarah kegemilangan Islam yang mendahului mereka. Kita semakin jauh ditinggalkan oleh tamaddun dunia sungguhpun kitalah juaranya di peringkat awal.

Mengapa terjadi demikian? Lihatlah pada diri kita sendiri, nilailah sikap kita terhadap ilmu. Kita meremehkan ajaran al-Quran. Kitab tidak membaca al-Quran, tidak menghayati perintah Iqra' yang disebut oleh al-Quran. Umat kita menjadi umat pengikut kerana kita tiada kekuatan ilmu. Kita tidak mampu memimpin umat manusia kerana kita tiada kekuatan ilmu, sains dan teknologi. Sebaliknya kita menjadi mangsa penindasan dan penjajahan baru oleh umat lain yang lebih kuat daripada kita.

Marilah kita bina semula keuatan umat dengan kembali kepada al-Quran. Marilah kita membaca al-Quran, dan membaca apa juga bahan ilmu agar penetahuan kita meluas dan mendalam. Marilah kita membaca ayat-ayat Tuhan yang tidak tertulis supaya pengetahuan sains kita semakin luas.

Iqra' bermakna Bacalah ....


Kini kita berada di bulan Ramadhan, iaitu bulan di mana al-Quran diturunkan. Ayat pertama al-Quran adalah kalimah Iqra' yang bermakna 'bacalah'. Ayat ini adalah ayat perintah, ayat suruhan atau ayat Amar. Maknanya dari awal lagi Tuhan perintah kita membaca.

Sejak kecil kita dikenalkan dengan al-Quran. Kita menghafal surah-surah pendek di penghujung al-Quran. Waktu itu aktiviti belajar membaca al-Quran dikenali sebagai 'mengaji' atau biasa disebut 'ngaji'. Naskah al-Quran yang dibaca itu bukanlah al-Quran penuh tetapi kitab yang dipanggil Muqaddam, iaitu buku yang disusun untuk belajar mengenali huruf-huruf jawi iaitu asas kepada al-Quran, kemudian belajar membunyikan baris-baris dan mengenal tanda-tanda bacaan. Sesudah menamatkan kitab Muqaddam (permulaan) itu barulah bermula membaca surah-surah dalam al-Quran.

Di tahap awal belajar membaca al-Quran bermula di rumah berguru pada ayah dan emak. Kemudian dihantar pula berguru dengan ustaz di kampung. Proses belajar membaca al-Quran selesai apabila khatam (tamat) 30 juzuk al-Quran. Bagi anak-anak, khatam al-Quran adalah antara detik bersejarah yang mengembirakan. Biasanya anak-anak akan sering membanding-bandingkan siapa yang khatam al-Quran lebih dahulu. Kejayaan ini tentulah ada kaitan dengan kepandaian, kerajinan dan kesungguhan mengaji.

Ketika di sekolah al-Quran membawa murid-murid kepada aktiviti pertandingan membaca al-Quran. Pertandingan ini kini dipanggil musabaqah, iaitu ujian kebolehan membawa lagu-lagu al-Quran atau tarannum. Di kampung sahulu ramai rakan-rakan yang belajar tarannum dengan guru al-Quran yang juga seorang gari atau pembaca yang bagus. Malangnya saya sendiri tidak berkesempatan belajar tarannum, kerana almarhum ayah sering menekankan supaya saya dapat belajar dengan betul hukum dan tajwidnya, bukan tarannumnya. Oleh kerana tidak begitu pandai bertarannum, saya jarang mengikuti pertandingan membaca al-Quran. Seingat saya hanya sekali mewakili sekolah ke peringkat daerah, tetapi tidak berjaya. Saya lebih cenderung untuk berpidato kerana kebolehan itu mendorong saya sering menang dalam pertandingan. Kejayaan terakhir ialah menjadi juara pertandingan tafsir al-Quran peringkat Universiti dan Kolej Universiti tahun 1976.

Demikianlah bagaimana kita mula belajar membaca ayat-ayat suci al-Quran. Membaca di tahap itu hanya sekadar membaca dengan sebutan yang betul sesuai dengan bahasa Arab. Di tahap berikutnya barulah kita mula beajar memahami makna-makna al-Quran melalui subjek tafsir al-Quran. Di peringkat awal dahulu tidak banyak kitb tafsir yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Kini sudah terdapat beberapa kitab tafsir yang masyhur diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu seperti tafsir Ibn Kasir, Fi ZIlalil Quran, di samping banyak terjemahan al-Quran disediakan. Sementara itu terdapat juga tafsir asal bahasa Indonesia seperti Tafsir al-Azhar karya Pak Hamka.

Kemudahan yang ada pada hari ini membolehkan kita membaca terjemahan al-Quran dalam bahasa Malaysia. Begitu juga dengan tafsirannya. Oleh itu tiada sebab lagi kenapa kita tidak boleh memahmi isi al-Quran, sekiranya kita telah melakukan tanggungjawab membaca al-Quran dengan penuh kesungguhan.

Membaca al-Quran mengikut kehendak al-Quran sendiri adalah satu proses yang lebih luas daripada pengertian umum yang kita tanggapi. Kebanyakan kita hanya membaca lafaz-lafaz harfiah al-Quran, manakala maknanya tidak kita fahami. Sementara itu mereka yang menguasai bahasa Arab atau mereka yang sering membaca terjemahan, akan membaca al-Quran dengan memahami maknanya. Sudah pastilah di tahap kedua ini, membaca al-Quran memberikan kesan yang lebih besar lagi kerana dia memahami apa yang dibaca.

Al-Quran adalah sebuah Kitab yang sempurna, lengkap dengan segala maklumat asas meliputi hukum, perintah, larangan, nasihat, panduan, pedoman, petunjuk, kisah-kisah silam, kisah-kisah akan datang. Walaupn al-Quran bukanlah sebuah buku sains tetapi ia ada menjelaskan fakta-fakta sains yang hanya kini baru ditemui, sedangkan al-Quran menyebutnya lebih seribu tahun silam. Inilah mukjizat al-Quran.

(Perubahan siang dan malam adalah ayat atau tanda-tanda yang perlu dibaca)

Proses membaca yang disarankan al-Quran melebihi daripada aktiviti membaca ayat-ayat yang tersurat di dalamnya. Allah SWT menyuruh kita membaca banyak lagi ayat-ayat Tuhan yang tidak tersurat tetapi ayat-ayat yang tersirat. Alam dan kehidupan ini adalah ayat-ayat Tuhan yang perlu kita baca. Dalam Surah Ali Imran, ayat 190, disebut ayat yang maksudnya: Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda (ayat) bagi orang-orang yang berakal.

Kenapa langit bumi dan perubahan siang dan malam itu disebut sebagai ayat Tuhan? Maknanya dengan membaca ayat-ayat tersebut membolehkan kita melihat dan menyaksikan kebesaran Tuhan pada ciptaan-Nya. Diri manusia dan alam di sekitar kita adalah antara tanda-tanda atau ayat Tuhan yang perlu dibaca. Bagaimana membacanya? Membaca di tahap ini mmerlukan lebih usaha lagi iaitu dengan mengkaji, menyelidik, mengujikaji mungkin perlu menggunakan makmal dan peralatan seperti mikroskop dan lain-lain. Untuk membaca bulan dan bintang di langit misalnya, memerlukan teropong canggih yang berganda-ganda kuasanya. Beigut juga untuk melihat makhluk seni seperti mikroorganism memerlukan mikroskop canggih.

Tuhan sentaiasa merangsang manusia membaca dan membaca kerana dengan cara itulah mereka akan menemui banyak kebenaran yang mendekatkan lagi manusia kepada Tuhan. Penemuan-penemuan terbaru di bidang sains misalnya telah mendekatkan orang kepada kebenaran Tuhan. Inilah matlamat mengapa kita disuruh membaca, memngkaji dan berfikir.

(Air adalah antara subjek yang banyak disebut dalam al-Quran)

Aktiviti membaca al-Quran secara harfiah mungkin boleh dilakukan dalam waktu singkat. Dalam bulan Ramadhan ada aorang menamatkan bacaannya berkali-kali. Namun membaca perintah-perintah al-Quran terutama perintah Iqra' itu memerlukan proses panjang dan berterusan kerana ia adalah teras kepada proses pencarian ilmu.

Saturday, August 22, 2009

Buku tentang Air


Dua tiga tahun lalu saya sudahpun menyiapkan sebuah buku tentang air yang saya namakan Air Dalam Kehidupan. Saya melihat masih ramai orang yang tidak tahu dan tidak faham tentang air, apa lagi yang mengerti dan sedar tentangnya. Sungguhpun setiap hari, setiap masa kita perlukan air dalam kehidupan kita, namun kebanyakan kita ambil mudah dengan kehadirannya.

Oleh itu saya berusaha mengumpul data dan menulis sebuah buku lebih 100 muka surat tentang pelbagai aspek air. Antaranya air dalam agama, air dalam sistem tubuh, air dalam perawatan, air sebagai terapi stres dan sikap buruk manusia melayani air. Ternyata air adalah makhluk mulia yang tidak dihargai manusia, tidak dimuliakan padahal 70% daripada bahagian diri manusia sendiri adalah air.

Sedangkan Tuhan memuliakan air. Lihat betapa banyak kali perkataan air disebut dalam al-Quran, temasuk dalam sebutan sungai dan laut. Apabila digambarkan syurga, Tuhan menyebut tentang sungai-sungai yang mengalir di bawahnya. Malangnya manusia amat jahil tentang air. Kejahilan itu menyebabkan ramai orang tidak menghargai air dengan membazirkan sumber berharga ini, mengotorinya, mencemarinya dan menjadikan aliran air tempat nmereka membuang sisa-sisa cecair dan juga pepejal.

Sumber air bersih semakin kurang. Semakin hari semakin banyak sungai yang tercemar teruk. Tempat tadahan air semakin hilang akibat kerakusan kerja pembalakan dan pemusnahan hutan. Air yang dibekalkan terutama di bandar dan kota besar tidak bersih, walaupun terpaksa membayar harga yang semakin tinggi.

Menyedari hal ini saya terpanggil untk membuat sesuatu untuk menyumbangkan sesuatu untuk mengangkat kembali darjat air di mata masyarakat. Itu antara sebab mengapa buku ini ditulis. Malangnya setelah dibawa kepada dua penerbit buku (yang ada nama), buku ini dipersoal dan dikembalikan. Sedihnya hati Tuhan sahaja yang tahu. Sebuah buku yang melihat air dari aspek lain, tidak dapat diterima penerbit. Ada Editor yang mengesyorkan saya membuat siri: air, api, tanah (seumpama siri sains). Saya katakan kepadanya, bukan itu matlamat buku ini. Buku ini untuk bacaaan umum, untuk membuka minda pembaca supaya dapat melihat air dari sisi yang berbeza. Nampaknya Editor muda ini masih belum terbuka fikirannya, atau dia tidak membaca dengan betul bagi menilainya.

Sampai sekarang buku tersebut masih belum daat diterbitkan lagi untuk dibaca orang ramai. Saya berazam untuk menerbitkan sendiri, insyaAllah. Pengalaman kecewa itu membuat saya sering prejudis kepada penerbit kita. Dalam pasaran kita sukar sekali mendapat buku-buku tentang air. Kebanyakan buku tentang air dalam koleksi peribadi saya dibeli dari luar negara, dari USA dari dari Indonesia. Indonesia agak maju kerana mereka telahpun menerbitkan beberapa siri buku tentang air, terutama tentang penemuan baru oleh Masaru Emoto. Buku-buku demikian begitu laris di pasaran Indonesia. Dalam tempoh singkat habis stoknya di kedai-kedai buku. Malangnya di Malaysia nampaknya orang masih tidak mahu membuka minda terhadap air. Malang juga apabila penerbit di Malaysia masih belum nampak potensi buku seumpama ini.

Selain menulis buku saya juga sedang merangka satu program memuliakan air. InsyaAllah apabila segala perancangan dapat direalisasikan, ianya akan dikongsi dengan masyarakat. Saya mula terpanggil untuk membela nasib air, apabila merasakan ia diremehkan sedemikian rupa. Melihat jauh ke hadapan, apabila kita terpaksa berdepan dengan situasi pencemaran yang amat parah, kita akan menangisi sikap uruk kita selama ini terhadap air.

(Atas: buku yang menggemparkan dunia perubatan. Bawah: antara buku-buku tentang air)

Thursday, August 20, 2009

Buku-buku tentang mistri alam yang mesti dibaca.


Beberapa buah buku yang kebetulan ditulis oleh saintis Jepun akhir-akhir ini begitu relevan untuk dibaca terutama mereka yang benar-benar berminat untuk mengetahui pelbagai mistri alam. Tetapi ingat, mistri yang diselongkar penulis-penulis ini bukanlah mistri tahyul sebagaimana yang terdapat di pasaran Malaysia. Sebaliknya buku-buku ini mengupas mistri alam yang bersifat saintifik dan fakta. Kepada peminat mistri tahyul atau cerita-cerita seram, khurafat, buku ini tidaklah disasarkan kepada anda semua. Namun begitu anda semua harus mula berubah, menganjak minda untuk membaca buku-buku bermanfaat begini, dan tinggalkanlah mistri khurafat dan tahyul itu.


Profesor Dr Teruo Higa telah menulis beberapa buah buku. Antaranya ialah An Earth Saving Revolution: a mean to resolve our world’s problems through Effective Microorganisme (EM) (1996) dan An Earth Saving Revolution II: EM – Amazing application to agriculture, environment, and medical problems (1998). Kedua buku tersebut adalah terjemahan daripada naskah bahasa asal – bahasa Jepun. Ia diterbitkan di Jepun oleh Sunmark Inc., Tokyo. Terbaru beliau menghasilkan buku Our Future Reborn: EM Technology Changes the World (2006) oleh penerbit yang sama.

Melalui dua siri buku pertamanya, Profesor Higa mendedahkan penemuan daripada hasil penyelidikannya ke atas keupayaan makhluk seni mikroorganisme yang didapati sangat bermanfaat kepada manusia dan kepada alam seluruhnya. Makhluk-makhluk seni ini bersifat baik dan berguna, tidak sebagaimana mikroorganiseme jahat yang kita ketahui sebagai bakteria, virus dan fungi itu. Mikroorganisme baik dikenali sebagai Effective Microorganisms (EM). Profesor Higa berjaya mengelompokkan kelompok-kelompok mikroorganisme berguna ini, dan ia dimanfaatkan dalam aktiviti pertanian, perikanan, peternakan, mengatasi pencemaran alam sekitar dan juga untuk kesihatan.


Sekitar 20 tahun sejak penemuan oleh Profesor Higa di Okinawa, Jepun, aplikasi teknologi EM telah dikembangkan ke seluruh dunia di mana lebih 140 buah negara sudah menggunapakai teknologi ini. Teknologi EM ini ternyata sangat berkesan memajukan industri pertanian, peternakan, perikanan, alam sekitar dan juga kesihatan. Namun begitu ia begitu menonjol di bidang pertanian. Teknologi EM telah menyebatikan dirinya dengan konsep Kyusei Nature Farming atau pertanian alami yang diasaskan oleh Mikichi Okada, juga seorang tokoh Jepun pada tahun 1935. Teknologi EM kini dipilih sebagai alternatif kepada pertanian konvensional yang berasaskan kimia dan racun.

Dr Higa menyebut tentang masa depan dunia lahir kembali, apabila beliau melihat bagaimana teknologi sederhana yang selamat dan jimat (safe and save) adalah teknologi sederhana yang mampu diaplikasikan oleh siapa sahaja. Lebih dari itu Profesor Higa sendiri begitu ikhlas untuk berkongsi teknologi ini dengan siapa sahaja yang berminat. Saya melihat keikhlasan Profesor Higa memperkenalkan teknologi EM ini tanpa mengira keuntungan material bagi dirinya, telah menyebar luaskan penemuannya ke seluruh dunia. Sungguhpun di peringkat awal, sekitar awal tahun 90an dahulu, ada juga orang dan pihak-pihak tertentu yang ditemui Higa bersikap ragu-ragu dan curiga dengan penemuannya itu; namun kini semua pihak ternyata sukar mnafikan keberkesanan teknologi sederhana tajaan Higa ini. Malahan seluruh pengamal dan aktivis teknologi EM (termasuk saya secara peribadi) sangat-sangat berterima kasih dan menghargai jasa besar Higa ini.

Impian Higa dan impian kita semua untuk melihat bumi kembali subur dan persekitaran kembali pulih setelah berabad-abad lamanya menderita pencemaran, kini semakin menjelma. Di Jepun dan Thailand antara negara awal yang menggunapakai teknologi ini sudah mula menunjukkan bukti keajaiban EM. Di Jepun beberapa perairan sudah dapat dirawat kesan pencemaran air di sungai dan di laut. Akhirnya perairan tersebut kembali bersih seperti sebelumnya. Tanpa instrumen dan peralatan canggih, tanpa kos yang tinggi, tanpa kejuruteraan terkini, pencemaran alam dapat dirawat dan diatasi. Dengan imej alami (natural), teknologi EM menjanjikan harapan besar untuk merawat alam yang sedang menderita akibat kemusnahan dan pencemaran oleh manusia.

Profesor Higa mempunyai laman webnya sendiri Living A Dream di mana beliau menulis tentang perkembangan dan kemajuan teknologi yang dipeloporinya itu. Higa adalah seorang saintis yang berjiwa besar dan sedar tentang misi dirinya sebagai seorang ahli akademik, seorang saintis dan seorang penyelidik, yang perlu berkhidmat kepada masayarakat, untuk memperbaiki mutu hidup. Secara holistik apa yang diusahaka oleh Profesor Higa bukan sekadar satu aktiviti untuk menyelamatkan manusia, tetapi juga turut menyelamatkan bumi, makhluk lain (haiwan, tumbuhan, serangga) dan alam seluruhnya.

Dalam hati saya teringat kepada maksud ayat al-Quran, surah Yasiin, ayat 36 yang selalu dibaca umat Islam (masyarakat Melayu membacanya setiap malam Jumaat). Ayat tersebut bermaksud: Maha suci Tuhan yang mencipta dalam bentuk pasangan pada apa yang tumbuh dari bumi, pada diri mereka dan pada apa-apa yang mereka tidak ketahui. Kita hanya membacanya, tetapi saintis seperti Higa mengkaji hingga menemui pasangan makhluk seni bernama mikroorganisme itu. Selama berabad-abad kita hanya mengenali mikrob jahat tanpa mengenali pasangannya yang baik. Penemuan EM membuktikan kebenaran ayat di atas di samping membuktikan secara saintifik kebesaran Allah.


(buku terbaru: masa depan lahir kembali)

AlhamdulilLah, melalui Higa, Tuhan membuka sebuah jendela baru untuk kita melihat keagungan ciptaan-Nya. Tuhan juga membuka hati kita menerusi usaha ikhlas Higa untuk kembali insaf dan sedar betapa selama ini kita sudah jauh meninggalkan alami. Maka kini kini sedang menapak ke hadapan untuk kembali ke alami (back to nature).

Ramai saintis dan ilmuan yang menemui pelbagai informasi bermanfaat, baik di negara kita mahupun di seluruh pelosok dunia. Malangnya tidak ramai saintis yang berwatak seperti Higa, yang begitu rendah hati, ikhlas untuk berkongsi, tanpa rasa rugi di segi materialnya, tidak mementingkan diri, sebaliknya dengan sedar melakukan suatu amal mulia menyebarkan ilmunya secara percuma untuk dipelajari, diamalkan dan dimanfaatkan oleh seluruh penduduk dunia sehingga ke level petani miskin.

Saya menilai, Higa tidak bermimpi untuk mejadi kaya raya (walaupun dia mampu meraihnya); sebaliknya dia mimpikan sebuah dunia yang makmur, damai, indah dan bumi pula merupakan syurga di mana manusia, haiwan, tumbuhan menjalin hubungan bio dalam kepelbagaiannya (bio diversity)secara harmoni. Dunia bertuah kerana dikurniakan Tuhan seorang saintis yang mengamalkan prinsip ilmu (sebagaimana diajarkan agama) iaitu mencari ilmu, mengamalkannya serta menyebarluas ilmu itu untuk dikongsi dengan orang lain.

Falafah dan pemikiran Higa begitu sederhana, sebagaimana dirakamkan dalam buku-bukunya. Dapatkanlah buku-buku Higa untuk dibaca, bagi membuka mata dan minda kita. Malangnya buku-buku ini saya dapatkan dari USA, dan yang terbaru dibeli di Bangkok. Saya tidak pasti buku-buku yang bagus begini adakah atau tiada di pasaran kita. Cubalah berusaha mencarinya.

(Gambar atas: penulis bersama Profesor Higa, kanan)

Wednesday, August 12, 2009

Membina dan merealisasikan IMPIAN


Di tahun-tahun 90an, hati saya sudah tidak begitu kuat lagi terpaut kepada kerjaya tetap di UPM. Bukan kerana tiada masa depan kerana sebagai seorang yang optimis, saya tahu bagaimana membentuk masa depan yang lebih baik. Walaupun tiada peruntukan jawatan yang lebih baik bagi saya, namun dengan usaha dan ikhtiar saya dapat juga meningkat ke Jawatan Penyunting Kanan, satu peningkatan kerjaya.

Apa yang mendorong untuk mencari sesuatu yang lain ialah minat lama yang sedia terpendam, iaitu untuk hidup berdikari. Sejak keluar Universiti dulu lagi, impian untuk berdikari sudah terbetik di hati. Namaun terpaksa akur kepada keadaan kerana tanggungjawab keluarga yang perlu ditunaikan. Ketika itu saya perlukann jaminan p-endapatan kerana perlu menanggung isteri, anak, ibu, adik-adik. Ahhirnya impian itu tidak terlaksana. Hanya ada usaha sampingan membuat apa sahaja perniagaan yang tidak mengganggu kerjaya tetap. Pernah buat pemasaran produk pengguna secara trading dengan bantuan adik, namun masalah pengurusan dan keidakcekapan membantut usaha. Diajak terlibat dengan beberapa aktiviti jualan langsung, namun tiada satu pun yang diusahakan dengan bersungguh. Pernah terbit buku, kononnya nak jadi penerbit; tetapi ia bukanlah kerja mudah. Pernah membantu arwah abang Nan buat production, tapi tak ke mana-mana. Sedikit sebanyak, banyak juga wang yang dilabur hilang. Itu tak termasuk ditipu kawan lagi. Itulah asam garam berniaga.

Menghampiri usia 40 tahun, impian itu kembali membara. Rasa sudah tidak betah lagi bekerja. Akhirnya berusaha membuat sesuatu yang lebih jelas. Ambil cuti tanpa gaji dua tiga bulan, nak bukn kedai jual kereta, kononnya. Rupanya projek dengan seorang rakan tak kemana-mana. Terkena lagi. Akhirnya kembali bertugas semula. Kegagalan projek tersebut, membuka peluang baru kepada kami. Berulang alik ke Genting Highland petang-petang selepas waktu pejabat, membuat pemeriksaan kesihatan pekerja asing di sana, memberi sedikit pendapatan tambahan. Pada awal tahun 1993, kami membeli sebuah klinik di Taman Melewar, KL daripada tuanpunyanya seorang doktor Burma. Kami beroperasi dari jam 5.30 hingga 10 malam. Sehabis waktu kerja, kami bergegas ke sana setiap petang untuk menguruskan klinik baru. Di peringkat awal, tanpa pekerja pembantu, kami suami isteri mengendalikan klinik, bermula dari kerja mengemas, membersih dan menyediakan stok ubat. Beberapa bulan di Klinik Julia Taman Melewar, kami mula beusaha membuka Pusat Perubatan Julia di Kajang. Ketika ini sudah tiada pilihan melainkan isteri saya terpaksa melepaskan jawatannya sebagai doktor di UPM dan menumpu sepenuh masa di Klinik. Beliau berhenti setelah cukup berkhidmat 10 tahun dengan Kerajaan (kontrak dsempurnakan).

Tahin 1994 saya menamatkan kerjaya di UPM selama 16 tahun lebih untuk bersara pilihan. Permohonan saya diluluskan dan akhirnya saya memulakan hidup baru berdikari. Perniagaan baru saya adalah perniagaan yang biasa iaitu jualan langsung. Menyertai sebuah syarikat jualan langsung Ines Marketing, menjual hiasan emas sadur. Menjadi stokis kemudiannya dengan pelaburan besar juga. Di sini pendedahan kepada perniagaan MLM bermula secara serius, penuh masa. Menjadi pengedar dan menjadi Stokis, belajar menjual, menaja dan mengurus perniagaan. Kemudian menyertai syarikat kedua, Actaforce, menjual produk kesihatan dan produk pengguna lain. Juga menjadi Stokis.

Tidak lama bersama syarikat-syarikat ini apabila hati tergerak untuk pergi lebih jaun, melahirkan syarikat sendiri. Bermulalah usaha membangunkan syarikat sendiri Hikmah Bistari (M) Sdn. Bhd. Ia sebuah syarikat sedia wujud yang dibeli daripada Setiausaha Syarikat. Namanya kurang komersil untuk pemsaran. Akhirnya saya mencipta jenama H-Bee sebagai jenama untuk produk kami. Jenama ini ada tuahnya juga.

Sejak mula berdikari, berniaga sendiri mulai tahun 1994 hingga 1997 berulah nampak kejayaan usaha kami. Syukur usaha keras berbuah juga akhirnya setelah melalui pahit maung berniaga dan cabarannya.

Di waktu inilah saya menghasilkan buku Membina Impian, sebuah buku motivasi atau pembangunan diri yang diterbitkan oleh PTS Milenia. Syukur sudah dua kali cetak, maknanya ia mendapat sambutan pembaca. Ia adalah buku keempat saya daripada lima buah yang diterbitkan.

Buku ini mengupas teori pembangunan minda dan juga memuatkan rakaman pengalaman sendiri membina impian, daripada makan gaji menjadi usahawan. Ia bukan sekadar teori malahan juga memuatkan strategi yang dilaksanakan, oleh saya sendiri. Saya menaruh harapan besar agar Membina Impian dapat menjadi panduan dan pedoman kepada generasi pembaca muda, untuk merobah pemikiran dan sikap mereka menjadi lebih positif lagi.

(gambar buku Membina Impian cetakan kedua, wajah kulit baru)

Sunday, August 9, 2009

Sumbangan di bidang penerbitan


Sepanjang berkhidmat di UPM saya telah memberikan yang terbaik segala ilmu, pengalaman dan kalau ada kepakaran di bidang penulisan dan penerbitan kepada komuniti di sana. Semasa menjadi Presiden Persatuan Pentadbir UPM, saya telah menerbitkan Jurnal Pentadbir, sebuah penerbitan yang memuatkan tulisan para Pentadbir UPM. Seingat saya dua kali Jurnal Tadbir dapat diterbitkan (1992 dan 1993). Kami berusaha mendapatkan sokongan pembiayaan untuk kos percetakan.

Di antara rakan-rakan yang turut menyumbangkan tulisan mereka ialah Hj Yusof Ahmad, Rahmat Ismail (kedua-dua sudah al-marhum), Abdul Rashid Abdullah dari Hal Ehwal Pelajar (kini Pensyarah di Fakulti Ekonomi), Ghazali Hassan, Mohd Kamel Idris dan lain-lain. Turut menyumbang rencana ialah Dr Fadzilah Kamsah dan Abdul Muati @ Zamri Ahmad (kedua-dua dari PPPL).


Ketika menzahirkan hasrat untuk menerbitkan Jurnal ini, saya menekankan kepada rakan-rakan lain dalam Persatuan bahawa kita perlukan sebuah penerbitan untuk menampung hasil pemikiran dan karya para pentadbir UPM. Di samping itu Jurnal itu akan menampilkan kewibawaan kita sebagai Pentadbir yang merupakan sokongan kuat kepada pentadbiran Universitri.

Sepanjang saya berada di UPM saya merasa kecewa dengan sikap sebahagian Pentadbir atasan yang lebih senior. Mereka tidak begitu mengambil berat dan membela Pentadbir sendiri. Nampaknya masing-masing hanya mahu menjaga kerusi masing-masing. Terdapat juga semacam ketakutan di kalangan mereka (yang menjadi bos kami para Pentadbir). Sebagai Pentadbir muda saya merasakan perlu berbuat sesuatu untuk membela nasib dan wibawa kami, maka saya akhirnya bergiat aktif dalam Persatuan Pentadbir. Bermula sebagai Timbalan Presiden dan akhirnya dilantik sebagai Presiden Pentadbir (1992). Ketika Pentadbir-pentadbir Universiti menubuhkan Persatuan Pentadbir Universiti-universiti Malaysia, saya turut dilantik sebagai Timbalan Presiden penaja. Mesyuarat tersebut daiadakan di UKM (tarikhnya sudah lupa). Selepas itu saya tidak lagi mendengar khabar apakah persatuan yang ditaja itu didaftarkan atau tidak, kerana pada tahun 1994 saya telah meninggalkan UPM.

Melalui Persatuan Pentadbir, saya berusaha membawa imej dan wibawa Pentadbir agar dapat berdiri sama tinggi dengan kalangan akademis. Sungguhpun kita mempunyai peranan berbeza tetapi status Pentadbir perlu berada pada posisi yang dihormati. Kita memperjuangkan status dan jawatan, membela nasib sesama ahli. Saya kira perjuangan ini akan menjadi mudah sekiranya bos Pentadbir di atas mengambil berat dan menyokong. Malangnya kita merasakan sebahagian mereka menikam dari belakang.
Walaupun jawatan hakiki saya tidaklah sebagai Pentadbir, namun saya turut menyumbang tenaga menjadi penceramah dan pembimbing kursus untuk kakiktangan am dan juga menulis soalan-soalan peperiksaan jabatan.

Selain itu minat terhadap kepimpinan membawa saya menyertai pelbagai aktiviti pelajar. Membantu HEP mengendalikan beberapa program pelajar. Antaranya menjadi Penolong Pesuruhjaya Pengakap, menjadi Pegawai PALAPES (Pasukan Latihan Pegawai Simpanan – Askar Wataniah selama lebih 10 tahun), menjadi Penasihat Kelab Akhbar.
Sepanjang berkhidmat dengan PALAPES, saya telah menerbitkan beberapa penerbitan seperti Majalah PALAPES (Gempur) yang merakamkan aktiviti tahunan pasukan. Ketika berkursus di Pusat Latihan Askar Wataniah di Tambun, Perak, saya turut menyumbang bahan untuk Majalah Wataniah.


Apa yang sangat berkesan di hati saya ialah sumbangan saya dalam Kelab Akhbar Mahasiswa. Idea penubuhan Kelab ini saya sarankan kepada HEP (Hal Ehwal Pelajar) melalui sahabat saya, Rashid Abdullah yag bertugas di situ. Kelab ini akhirnya diwujudkan sebagai sebahagian daripada projek ko-kurikulum pelajar. Saya sebagai Penasihat. Kami berjaya mendapatkan peruntukan untuk menerbitkan akhbar tabloid sebagai penerbitan yang menampung karya ahli-ahli Kelab.

Kami jadikan Kelab akhbar sebagai wadah untuk mendedahkan para siswa kepada dunia kewartawanan. Saya menjadi pembimbing mereka. Bermula dari penulisan berita, mereka turut diajar kaedah penerbitan yang lain. Saya sering memberikan motivasi dan semangat kepada mereka ini. Para pelajar yang menyertai Kelab ini terdiri daripada pelbagai bidang pengajian. Oleh kerana bidang kewartawan tidak diajar sebagai subjek akademik di UPM ketika itu, maka aktiviti Kelab ini saya sasarkan untuk menjadi gelanggang menlahirkan bakal wartawan di masa depan. Saya sering menekankan bahawa wartawan di masa depan adalah wartawan dari pelbagai disiplin ilmu.

Kami berjaya menerbitkan beberapa kali Akhbar Siswa. Ia diedarkan di kampus. Ia memuatkan berita semasa di kampus, dan juga rencana tulisan ahli-ahli Kelab. Saya percaya kejayaan menerbitkan akhbar ini menjadi kebanggaan HEP kerana projek ini ternyata tidak sekadar aktiviti ko-kurikulum, tetapi juga ia merupakan aktiviti akademik (atau semi-akademik) di bidang kewartawanan.

AlhamdulilLah, impian saya untuk melahirkan wartawan melalui Kelab ini dimakbulkan Tuhan. Beberapa orang ahli Kelab di peringkat awal rupa-rupanya telah menyertai syarikat akhbar sebagai wartawan. Ketika saya sudah bersara dari UPM, saya melihat beberapa nama tersiar dalam akhbar. Mereka bekerja di akhbar Berita Harian dan Utusan Malaysia sebagai wartawan. Tiga nama yang saya pasti ialah Zain Arief, Bokhari Arif dan Laupa Junus. Zain akhirnya berhenti dari wartawan kerana menjadi Setiausaha Akhbar Menteri, Dato’ Syed Hamid Albar. Begitu juga dengan Bokhari, menjadi Setiausaha Akhbar kepada bekas Menteri Pelajaran waktu itu. Tinggallah Laupa yangmasih bertugas di Utusan Malaysia. Laupa kini menjadi wartawan sains (kerana beliau dulunya seorang siswa fakulti sains).

Kejayaan mereka ini adalah satu kejayaan saya dan Rashid kerana kami pernah membayangkan suatu hari nanti Kelab Akhbar akan melahirkan wartawan tanahair. Impian ini menjadi kenyataan. Saya begitu puas kerana turut menjadi perintis dan pendorong awal , mendedahkan mereka kepada dunia kewartawanan. Khidmat saya sebagai Penasihat kelab adalah kerja sukarela belaka, namun begitu kepuasan memberi dan menyumbang, benar-benar membahagiakan. Itulah yang dirasai hari ini.

Thursday, August 6, 2009

16 tahun di UPM


Setelah merasa tidak lagi betah untuk kekal di Berita Harian, akhirnya saya membuat keputusan muktamad untuk berhijrah ke tempat lain. Kebetulan ada tawaran jawatan sebagai Penyunting di Universiti Pertanian Malaysia, Serdang. Saya berkira-kira inilah jawatan yang sesuai memandangkan ia adalah berkaitan dengan bidang kewartawanan dan penulisan, iaitu bidang saya.

Ketika menghadiri temuduga, ramai pemohon yang sebahagiannya berpengalaman dalam bidang berkaitan, seperti juga saya. Dengan penuh keyakinan diri saya berusaha meyakinkan lembaga temuduga bahawa saya patut diberi jawatan tersebut. Dengan izin Tuhan, saya berjaya, dan bermulalah satu kerjaya baru di UPM.

Saya diempatkan di Bahagian Perhubungan Awam, Jabatan Canselori UPM. Ketua Bahagian ketika iu bercuti belajar di USA. Hj Yusof Ahmad (almarhum) adalah bekas wartawan Bernama, sedang membuat Master di USA. Ketika diberi tugas sebagai Penyunting, saya perlu menghasilkan beberapa penerbitan. Satu daripadanya adalah Berita Kampus UPM, iaitu surat berita terbit seminggu sekali. Halamannya sekitar 2- 6 muka surat, kertas A4 biasa, dicetak secara offset. Formatnya ringkas tanpa gambar, memuatkan berita-berita semasa di kampus dan iklan-iklan kecil. Selain itu saya juga bertanggungjawab menerbitkan Buletin UNIPERTAMA, iaitu surat berita bulanan yang dicetak. Ia memuatkan bahan berita, rencana, kolum, gambar aktiviti UPM keseluruhannya. Selain dua surat berita tersebut, saya juga menghasilkan Laporan Tahunan UPM. Penerbitan ini dikeluarkan setahun sekali sahaja.

Memandangkan saya ditempatkan di Bahagian Perhubungan Awam, saya turut terlibat dengan kerja-kerja PR (Public Relation). Antaranya mengikuti perkembangan media, menyediakan siaran akhbar, juga turut membantu mengendalikan aktiviti Universiti seperti acara-cara rasmi. Akhirnya saya tidak lagi khusus mengendalikan penerbitan tetapi turut menjalankan tugasan PR yang lain. Saya merasa sungguh selesa bertugas di sini kerana saya sudah terdedah dengan kerja-kerja penerbitan mahupun kerja-kerja PR. Inilah waktunya saya mempraktikkan teori PR yang dipelajari semasa di universiti dulu.

Untuk penerbitan Suratberita Unipertama, kami mempunyai Lembaga Pengarang yang diketuai oleh seorang ahli akdemik kanan dari PPPL (Pusat Pengembangan Dan Pendidikan lanjutan). Prof Dato' Dr Sulaiman Yassin (mantan VC Universiti Malaysia Trengganu) dan Dato' Dr Fadzilah Kamsah (tokoh motivasi) adalah dua orang yang pernah menjadi Pengerusi Lembaga Pengarang. Saya pula sebagai Setiausaha merangkap Pengarang.

Wujudnya sebuah Lembaga untuk menerbitkan sebuah surat berita begini, bagi saya lebih menyusahkan dan tidak praktikal, kerana terpaksa mengikut protokal dan redtape. Saya melalui satu pengalaman merimaskan kerana terpaksa memanggil mesyuarat sekurang-kurang sebulan sekali. Untuk mendapatkan satu tarikh di mana semua ahli dapat hadir bukanlah senang. Biasanya mesyuarat akan berjalan tanpa kehadiran penuh. Mesyuarat hanya membuat keputusan, sedangkan akhirnya semua tugasan, saya sendiri yang perlu laksanakan. Oleh kerana Buletin ini adalah keluaran bulanan, biasa terjadi ia lewat diterbitkan kerana sukar mendapat tarikh mesyuarat yang sesuai. Akhirnya lewat. Bagi aktiviti penerbitan, lewat adalah satu perkara yang tidak boleh diterima sama sekali. Lama kelamaan saya mengambil tindakan berani dengan tidak lagi memanggil mesyuarat kerana saya memrasakan fungsi lembaga tidak berkesan, hanya sekadar mesyuarat dan mesyuarat. Saya tidak tahu apakan langkah saya ini disenangi atau tidak oleh rakan-rakan dalam lembaga. Yang penting pada sya, dengan bekerja sendirian saya dapat menjamin terbitanya menepati waktu. Dan yang penting pada setiap keluaran nama semua ahli Lembaga Pengarang terpampang, dan saya pasti semua orang gembira kerana setiap bulan Buletin ini keluar dan dapat dibaca.

Saya mengolah Buletin ini menjadi sebuah akhbar kampus. Muka depan diisi dengan berita penting termasuk ucapan oleh pegawai atasan Univesiti. Saya menulis rencana pengarang dan juga sebuah kolum tetap iaitu 'di luar jendela'. Gambar hitam putih disediakan oleh jurugambar PPPL. Mendapatkan gambar juga agak rumit kerana jrugambar bertugas di jabatan lain. Akhirnya kami di Bahagian Perhubungan Awam berjaya mendapatkan jawatan jurugambar khusus yang bertugas di sini.

Saya menggunakan pendekatan akhbar sepenuhnya untuk menjadikan Buletin ini seabagai suara rasmi yang sederhana dan bersifat komunikatif. Oleh kerana saiznya yang kecil (A4) maka kerja menghiasinya (make-up) dibuat secara sederhana sahaja. Di peringkat awal saya terpaksa belajar grafik dan belajar menggunakan perkakasan grafik kerana terpaksa melakukan kerja-kerja lay-out sendiri. Saya tidak menghadapi masalah kerana sudah mempunyai asas dan pengalaman sebelumnya. Akhirnya kerja yang rumit jadi senang kerana adanya minat, ilmu dan pengalaman. Sungguhpun membuat kerja secara 'one man show', produk tetap keluar ikut masa.

Saya membuat kebanyakan keputusan tentang penerbitan ini. Dari jumlah yang kecil sekitar 1000 naskah, saya membesarkan edarannya menjadi 10 000 naskah tanpa meningkatkan kos. Oleh kerana mempunyai pengalaman dalam bidang percetakan, saya mempunyai banyak maklumat tentangnya. Saya beerusaha mendapatkan kos percetakan yang tidak melebih bajet, tetapi dapat menigkatkan jumlah naskah. Apa yang saya lakukan ialah dengan mengorbankan kualiti kertas kerana apa yang lebih penting ialah bahan. Dengan menggunakan kertas simili, akhirnya Buletin Unipertama dapat dicetak 10 000 naskah, berbanding dengan 1000 naskah sahaja sebelumnya.

Keputusan itu dapat diterima kerana justifikasi saya mudah, fungsi surat berita ialah untuk menyampaikan mesej kepada publik. Lebih ramai orang dapat membacanya lebih luaslah penyebaran mesej kita. Akhirnya lebih ramai pegawai dan kakitangan di UPM dapat memiliki dan membaca Unipertama. Saya tahu ramai juga kalangan Pensyarah yang menyenangi Buletin ini. Ada yang rajin mengirimkan hasil tulisan mereka untuk disiarkan di dalamnya. Di samping itu terdapat juga Pensyarah yang mahukan publisiti kepada akiviti atau projek penyelidikan mereka. Saya pernah mengikuti projek-projek yang menarik dan membuat liputan luas. Ini tentulah mengembirakan mereka. Ada juga projek-projek yang saya trulis di akhbar-akhbar tempatan. Contohnya beberapa siri rencana tentang pemeliharan lebah di Johor diberi liputan besar oleh akhbar.

Sebagai pengamal media dan pengamal PR, saya faham tugas utama saya ialah membantu organisasi meningkatkan imejnya di mata masyarakat terutama kalangan publiknya. Secara peribadi saya juga mempunyai hubungan dengan rakan-rakan di akhbar. Dengan wujudnya hubungan tersebut banyak membantu untuk mendapatkan publisiti bagi organisasi kita. Selain itu anrara kerja-kerja yang saya turut lakukan ialah keluar memberikan penerangan terutama tentang prospek kerjaya dan pengajian di kalangan murid-murid sekolah menengah d seluruh negaqra.

Selama 16 tahun berkhidmat di UPM, saya merasa puas kerana dapat menghayati cita-cita untuk terus menulis. Selain menulis dalam penerbitan organisasi, saya terus menyumbangkan rencana kepada akhbar-akhbar dan majalah. Saya tidak menyangka bahawa antara orang yang sering mengikuti idea dan tulisan saya adalah Rustam A Sani (almarhum). Beliau sering memuji tulisan saya. Beliau mungkin senang dengn sebahagian rencana saya yang mengandungi kritikan sosial dan pemikiran-pemikiran kriktikal.

Menulis dan menghasilkan penerbian bukanlah taru kerja yang serupa walaupun keduanya ada kaitannya. Kepada saya kedua-duanya sudah mendarah daging. Menulis, mengedit, menterjemah, membina konsep penerbitan, sehingga percetakan merupakan rutin kerja saya. Sebab itu saya merasa cukup puas bekerja, tanpa mengira balik lewat.

Bertugas di bidang penerbitan waktu itu (tahun 80an hingga 90an), agak rumit kerana teknologi ICT belum secanggih sekarang. Banyak kerja perlu dilakukan secara manual. Naskah masih perlu ditaip dengan mesin taip. Oleh kerana ada jawatan jurutaip, maka merekalah yang menaip naskah-naskah tersebut. Ia banyak mengambil masa kerana naskah yang siap ditaip perlu disemak semula dan dibaiki kemudiannya. Rekabentuk grafik juga dilakukan secara manual, ,menggunakan peralatan dan perlu menampal dan sebagainya. Waktu itu kemudahan komputer masih sangat terbatas. Kerja penerbitan menjadi sangat lama kerana terpaksa melalui pelbagai proses.

Hari ini, teknologi ICT telah menjadikan semua kerja-kerja itu dilakukan seorang diri menggunakan komputer peribadi atau laptop sahaja. Dari kerja menulis, mengedit, menyusun atur, rekagrafik hingga selesai kerja pre-press dapat dilakukan dalam masa yang singkat. Inilah satu kemajuan yang sungguh mengagumkan. Desktop Publishing, ialah istilah yang menepati kemajuan komputer hari ini. Pantas, menijimatkan masa, menjimatkan kos, dan boleh dilakukan seorang diri. Saya mengalami sendiri apa yang saya sebutkan ini. Hari ini saya dapat menghasilkan buku lengkap dengan gambar dan grafiknya dengan sebuah laptop secara sendirian. Naskah buku itu hanya menanti untuk dicetak sahaja. Betapa pantasnya kerja menulis dan menerbitkan sekarang ini. Sebagai seorang yang pernah melalui waktu-waktu di mana kerja penerbitan begitu rumit, mengambil tempoh masa yang panjang dan melibatkan ramai orang, maka situasi sekarang saya merasakan satu rahmat besar. Dengan kemudahan komuter bimbit saya boleh menlis, mengedit, membuat rekabentuk dan grafik di mana sahaja, di dalam perjalanan, di hotel dan di mana sahaja. Inilah suatu kemudahan yang tidak pernah termimpi dahulunya.

Wednesday, July 29, 2009

Nak jadi wartawan, tak jadi ...

Tahun 1976 ketika diterima memasuki UKM (ketika itu masih di kampus Pantai Baru) saya merasakan cita-cita untuk menjadi wartawan semakin dekat. Kami adalah kumpulan pertama menerokai Jabatan Komunikasi, sebuah jabatan baru, ketika itu di bawah Falukti Sains Kemasyarakatan Dan Kemanusiaan (SKK). Di peringkat awal kami mengambil kesemua bidang-bidang asas iaitu komunikasi pembangunan, kewartawanan, penyiaran dan pengiklanan.

Oleh kerana saya mempunyai rekod pengalaman dalam penulisan sebelum ini, maka saya diberi tanggungjawab mengetuai pasukan penggerak Nadi Bangi, akhbar Jabatan yang juga merupakan makmal pengajian kewartawanan kami. Encik Mansur ahmad adalah Pensyarah kewartawanan keana beliau mempunyai latarbelakang kewartawanan. Ketika kami membangunkan Nadi Bangi, Encik Mansur membawa rakan-rakan wartawan senior dari Utusan Melayu dan Berita Harian untuk menjadi Pensyarah luar dan juga membantu kami menyediakan halaman Nadi Bangi. Mereka ini (sebahagiannya Penyunting kanan) akhbar membimbing kami menyediakan susunatur (lay-out) akhbar. Nadi Bangi ketika itu menggunakan saiz tabloid. Kami menggunakan layout sheet yang dibawa daripada syarikat tempat mereka bekerja.

Oleh kerana saya pernah bekerja di percetakan, saya mendapati kerja-kerja menyediakan susunatur ini tidaklah sukar. Bahan yang telah ditaipset menggunakan kertas bromide akan dipotong dan dilekapkan ke atas layout sheet berpandukan dummy. Semua kerja menggunakan asas grafik manual, iaitu mengukur saiz dan memotong lebihan bahan (biasanya di bahagian kaki). Ini adalah tradisi percetakan letter press, di mana hari ini ia sudah tiada lagi. Proses menyediakan sebuah penerbitan akhbar ketika itu agak sulit kerana terpaksa melalui beberapa tahapan.

Tahap pertama: mencari berita, masih menggunakan nota untuk mencatat maklumat. Kalau adapun peralatan, hanya pita rakaman mini digunakan. Waktu itu ia masih menggunakan pita dan bateri, teknologi yang memerlukan kos. Sebagai siswa kos itu boleh dikatakan tinggi. Biasanya buku nota kecillah yang menjadi alat bekerja mencari bahan berita. Selain itu kamera juga alat penting untk merakam gambar. Kami tidak mempunyai kamera, oleh itu sering berkongsi kamera SLR Jabatan. Waktu itu kamera masih menggunakan filem (filem hitam putih).

Tahap kedua: menyediakan bahan berita dengan menaip menggunakan mesin taip. Kami menggunakan mesin taip milik Jabatan yang hanya ada beberapa buah. Oleh kerana mesin-mesin taip ini terhad, kami berkongsi menggunakannya. Oleh kerana saya memang sudah memiliki mesin taip sendiri yang dibeli di Pulau Pinang pada tahun 1973, maka saya menggunakannya untuk menyediakan berita. Kerja menaip bukanlah mudah. Siapa yang tidak belajat teknik menaip, kerja menaip agak perlahan. Kesilapan ejaan akan dipadam menggunakan cecair pemadam.

Tahap ketiga: bahan yang telah siap akan disunting (diedit) untuk memperbaiki gaya bahasa, ejaan dan mungkin fakta. Setelah siap ia mungkin ditaip semula sebelum dihantar untuk taipset. Kerja taipset dilakukan oleh syarikat yang menyediakan perkhidmatan pra-cetak menggunakan mesin yang canggih. Hasilnya keluarlah dalam bentuk bromide iaitu imej pada permukaan kertas bromide, mengikut saiz yang kita tentukan. Salinan taipsetting ini akan disahkan dengan membaca pruf. Biasanya kakitangan syarikat tersebut yang akan melakukannya.

Tahap Keempat: membuat susunatur atau susunletak. Kerja ini dilakukan oleh kumpulan Penyunting di mana mereka akan menentukan halaman mana bahan ini akan disusunatur. Ia akan merujuk kepada dummy atau halaman panduan. Layout sheet biasanya sudah dilengkapi dengan garisan berwarna nipis sebagai panduan saiz teks, saiz kolum dan lain-lain. Kerja ini memerlukan peralatan grafik seperti pembaris, pembaris square, pisau pemotong, gam (gam khusus untuk melekapkan kertas bromide ke atas layout sheet.
Kerja ini memerlukan sedikit asas grafik dan seni. Di samping itu penyunting memerlukan kemahiran untuk menyediakan gambar dengan cara dan teknik tertentu bermula daripada pemilihan gambar yang sesuai dan boleh memberi impak, memilih sudut gambar (cropping) dan lain-lain.

Tahap kelima: percetakan. Proses ini dilakukan oleh pencetak. Selesai ia dicetak, siaplah kerja menyediakan akhbar.

Sebenarnya ilmu dan pengalaman menghasilkan akhbar Jabatan Nadi Bangi ini adalah satu pengalaman yang cukup lengkap, melampaui keperluan untuk menjadi wartawan. Di syarikat akhbar, seorang wartawan akan lebih tertumpu kepada tugasan mendapatkan berita dan menyediakan berita. Hanya wartawan kanan yang akan terlibat dengan kerja penyuntingan dan menyediakan halaman akhbar. Biasanya wartawan tidan akan melakukan tugas berurusan dengan pencetak, apa lagi melakukan tugas pengedaran akhbar. Istimewanya kami di Nadi Bangi, semua urusan daripada mencari berita, menyunting, membuat layout, urusan mencetak dan mengedar akhbar, kami lakukan semuanya. Inilah satu pengalaman unik dan menyeluruh di mana kami belajar bagaimana menghasilkan sebuah akhbar daripada A-Z.

Selesai pengajian di tahap Sarjanamud, kami telahpun mendapat etmpat di beberapa buah syarikat media untuk prjek praktikal. Berasaskan hubungan baik antara Univesiti dan syarikat-syarikat ini, maka penempatan kami menjadi mudah. Sebahagian kami yang berminat di bidang kewartwanan di tempatkan di syarikat akhbar, manakala bidang penyiaran pula menyertai RTM (waktu itu belum ada syarikat penyiaran swasta). Saya dipilih untuk menjalani latihan amali di akhbar Berita Harian, awal tahun 1979. Selama enam bulan saya di sana. Walaupun cita-cita asalnya hendak bekerja sebagai wartawan, namun impian itu kemudiannya terhenti selepas enam bulan. Pengalaman enam bulan di Berita Harian waktu itu tidak cukup kuat untuk memikat saya terus berkhidmat di sana. Ketika itu Encik Bakar Ismail (bertugas di bahagian Pentadbiran) berbincang untuk mengajak saya menyertai BH, namun begitu pengalaman enam di sana tidak begitu mengembirakan. Saya merasakan posisi sebagai pemberita tidak begitu menyeronokkan.

Sebenarnya ketika saya dan beberapa orang rakan lain (termasuk dari ITM) bertugas di sini sebagai pemberita, kami tidak diberi tugasan yang sesuai. Sekurang-kurangnya saya merasakan begitu. Pengarang Berita ketika itu Pak Hamid (Hamid Bendahara -almarhum) hanya memberikan tugasan yang merupakan pendedahan sahaja, di mana kami diminta mengikut pemberita lama melakukan tugasan. Pendedahan ini ada juga baiknya kerana ia satu situasi yang baru kepada kami apabila berhadapan dengan tugasan di luar. Saya merasa kecewa apabila kebanyakan bahan berita daripada tugasan itu jarang digunakan. Seingat saya selama saya bertugas di sana hanya sekali saya mendapat by-line (disiarkan nama). Itupun saya kira kerana Ketua Pemberita ketika itu,m saudara Ron (Rohani AHmad, kini Dato', bekas Ahli PArlimen Parit ASulung) kasihankan saya, lantas diberi by-line kepada satu berita yang saya tulis. Sebahagian masa bertugas, saya banyak menerima panggilan berita daripada pemberita daerah, di mana saya perlu mencatat dan menaipkan berita tersebut. Selain itu kami juga perlu melakukan kerja menterjemah bahan berita daripada sumber akhbar New Straits Time. Waktu itu kami masih banyak menggunakan sumber berita mereka. Melakukan terjemahan bukan tugas mudah, kerana ia perlu diterjemahkan dalam bahasa akhbar (bahasa harian). Ini saya rasakan satu pengalaman berguna kemudian hari.

Oleh kerana kami adalah generasi pemberita baru yang berkelulusan, sedangkan kebanyakan wartawan dan penyunting serta pengarang yang ada adalah daripada latarbelakang pendidikan biasa, maka saya merasakan ada semacam konflik. Kami seolah-olah tidak begitu diterima. Itulah perasaan saya waktu itu. Samada ia benar atau hanya perasaan saya, hanya Allah yang tahu. Tetapi perasaan itulah akhirnya membuatkan saya memilih keputusan meninggalkan Berita Harian untuk berhijrah ke UPM. Saya merasa tidak dihargai, tidak diberi tempat yang sesuai, sedangkan saya sudah pernah mendapat banyak by-line sebelum ini apabila menghasilkan pelbagai berita, rencana berita dan rencana di akhbar dan majalah tempatan. Maknanya saya sudah pun ada nama di bidang penulisan sebelum ini. Selain itu penalaman kami di Universiti dan ijazah yang ada sepatutnya kami diberi psosisi yang sepadan.

Akirnya impian untuk menjadi wartawan terhenti di situ. Di penghujung tahun 1979 saya diterima menjawat jawatan Penyunting di Universiti Pertanian Malaysia, di mana saya ditempatkan di Bahagian Perhubungan Awam, Jabatan Canselori. Walaupun ramai calon berpengalaman datang temuduga jawatan tersebut, saya terpilih. Saya rasa mungkin kerana latarbelakang pengalaman di bidang penulisan, kewartawanan di samping pengalaman kepimpinan, merit saya lebih dan saya terpilih untuk jawatan tersebut.