Wednesday, June 24, 2009

Buku tidak banyak di Sabah?

Sabah kini jauh sudah maju di segi pendidikan. Sabah sudah mempunyai sebuah universiti sendiri iaitu Universiti Malaysia Sabah, kampus UiTM, dan beberapa buah Institut Perguruan (dulunya Maktab Kent di Tuaran dan satu di Keningau). Di samping itu beberapa buah kampus cawangan pusat pengajian tinggi swasta juga terdapat di Sabah, khususnya di Kota Kinabalu.

Sabah juga mempunyai akhbar yang banyak. Akhbar-akhbar tempatan ini mempunyai pembaca dan pengikut setianya. Saya melihat orang Sabah lebih suka membaca akhbar tempatan mereka berbanding dengan akhbar nasional. Akhbar nasional lewat sampai ke sana, di samping itu harganya juga lebih mahal.

Kedai buku di Sabah agak sukar didapati. Kedai buku menjual buku-buku berbahasa Malaysia masih sangat kurang, berbanding dengan kedai buku Inggeris dan Cina. Kalau adapun, gerai dan kedai kecil di kompleks belibelah, yang menjual buku-buku bahasa Malaysia dan buku-buku agama.

Dari tinjauan saya, buku-buku yang dijual di Sabah berharga lebih mahal dari Semenanjung. Ini disebabkan oleh kos pengangkutan, pastinya. Namun begitu agak aneh apabila saya dapati buku-buku agama (antara buku yang ada pasaran baik) dijual dengan harga yang sangat mahal, malahan ada yang dua kali ganda daripada harga yang tercatat pada buku.

Harga yang lebih tinggi boleh diterima kerana kos pengangkutan. Tetapi harga yang berlipat ganda sudah tentu tidak bagus kepada semua pihak. Ia akan membebankan pengguna, kedua ia akan mengurangkan jualan, ketiga ia akan mengurangkan pasaran buku. Saya melihat buku-buku sudah menjadi usang kerana sering dibelek pembeli tetapi tidak dibeli. Secara peribadi saya merasakan faktor harga yang tinggi menyebabkan buku kurang laku dijual di sini.

Saya terfikir, mungkin juga penjual-penjual ini bukan sengaja menaikkan harga buku sebegitu tinggi. Mereka mungkin mendapatkan bekalan daripada beberapa tahap pembekal. Maknanya mereka tidak mendapat bekalan terus daripada pembekal besar, tetapi perlu melalui pembekal-pembekal di tengah. Ini mungkin menjadi faktornya. Faktor lain ialah kos premis yang tinggi. Umumnya kos sewa kedai di Sabah terutama dii Kota Kinabalu adalah sangat tinggi, berbanding Kuala Lumpur sendiri.

Saya melihat inilah nasib malang kepada peminat buku dan peminat ilmu di Sabah. Selain sulit mencari kedai bku, harga buku pula tinggi. Selain itu koleksi buku juga terhad. Kedai-kedai buku yang agak besar menjual buku-buku akademik, buku-buku sekolah sahaja kerana mungkin pasarannya besar dan pasti. Buku-buku bacaan umum tidak banyak dijual.

Oleh itu orang di Sabah yang benar-benar dahagakan ilmu dan penggemar buku, terpaksalah mendapatkannya di Kuala Lumpur kerana di sinilah tempat di mana pelbagai tajuk buku dipaarkan.


Penulis ketika meninjau keindahan Pulau Bum-Bum, Semporna, Sabah

Industri buku di Indonesia.

Saya mula berkenalan dengan buku-buku Indonesia sejak tahun 1969 ketika belajar di Kolej Islam Kelang. Sekali sekala saya akan ke Kuala Lumpur untuk jalan-jalan dan mencari buku. Oleh kerana buku adalah barangan penting dan mendapat keutamaan, maka untuk buku saya bersedia berbelanja berapa sahaja. Sikap ini sudah terbentuk sejak memasuki sekolah menengah, di Ipoh ketika itu. Sikap ini terus berkembang dan kini sebati dengan diri saya. Untuk buku, berapa sahaja kosnya saya bersedia membayar (jika ada biaya!).

Di Kuala Lumpur ketika itu, saya biasanya hanya akan ke Jalan Melayu kerana di sana ada beberapa buah toko buku di pinggir Sungai Kelang. Sebahagiannya masih dalam bentuk gerai. Antaranya saya masih ingat Pustaka Melayu. Beberapa buah buku ilmiah yang pernah saya beli di sana, antaranya ialah Perkembangan pemikiran terhadap agama, karya Zainal Abidin Abas dan dua jilid buku Di Bawah Bendera Revolusi (jilid satu dan dua) karya Presiden Sukarno. Buku-buku ini kesemuanya tebal-tebal belaka. Buku Perkembagan pemikiran terhadap agama adalah sebuah karya yang mengupas perkembangan fikiran manusia terhadap agama, sejak zaman kuno hinggalah ke zaman moden. Ia mengupas psikologi manusia beragama, mengapa manusia beragama, dan sebagainya.

Di Kelang pula saya sering ke beberapa buah kedai buku. Seingat saya di stesen keretapi Kelang terdapat sebuah kedai buku yang saya sering kunjungi. Di sanalah saya sering membelek-belek buku, dan ada waktu membelinya.

Membaca buku-buku Indonesia di waktu itu bukanlah mudah kerana ia mempunyai gaya bahasa yang berbeza, istilah yang berbeza dan tulisannya juga berbeza dengan bahasa Melayu. Huruf J ditulis Dj, U ditulis Oe, dan lain-lain. Istilah-istilah Indonesia memang asing dan sukar juga difahami di peringkat awal. Lama kelamaan semua kesukaran itu teratasi dengan sendirinya apabila sudah dibiasakan, bak kata pepatah: alah bisa tegal biasa.

Satu fakta yang sukar dinafikan ialah Indonesia jauh lebih maju dalam bidang perbukuan. Industri buku Malaysia banyak belajar daripadanya. Malahan beberapa buah penerbit (pustaka) di Malayisa tahun 70an dan 80an banyak menerbitkan semula buku-buku dari Indonesia. Antaranya ialah Pustaka Antara, Pustaka Melayu Baru, Pustaka Abas Bandung. Malahan pengusaha penerbitan ini juga sebahagian besar orang Indonesia.
Buku-buku karya pak Hamka begitu popular di Malaysia kerana adanya usaha penerbitan oleh penerbit-penerbit ini.

Hingga hari ini saya masih berpendapat Indonesia masih terus maju dalam industri perbukuannya. Saya berkesempatan mengunjungi pesta-pesta buku di Jakata beberapa kali, dan mendapati pesta bukunya sangat besar. Kebetulan pula akhir-akhir ini saya sering brulang alik ke Indonesia menguruskan peniagaan, saya terus mengikuti aktiviti penerbitan di sana. Suatu agenda yang tidak pernah saya abaikan ketika berada di sana ialah mengunjungi kedai bukiu, terutama kedai buku yang besar dan popular sperti Gramedia dan Gunung Agung. Gramedia merupakan pusat buku yang boleh dikatakan ada di kota mana sahaja.

Sudah menjadi kebiasaan membawa pulang buku lebih banyak daripada barangan lain ketika ke Indonesia. Ketika berada di kedai buku di sana, terlalu banyak buku yang mahu dibeli kerana bahannya menarik dan penting untuk dibaca. Malangnya tak mungkin membeli semuanya. Terpaksalah membuat pilihan mengikut biaya yang ada. Kadang-kadang membuat keputusan untuk memilih buku juga mengambil waktu. Biasanya sejam dua sudah pasti dihabiskan di kedai-kedai buku ini.

Penerbit buku di Indonesia begitu aktif dan inovatif. Buku-buku baru yang popular di pasaran akan segera diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia. Contohnya ketika buku Blue Ocean masih baru dan segar di pasaran (sekitar 2006) di Malaysia, penerbit Indonesia sudah menerbitnya dalam bahasa Indonesia. Walaupun saya pernah membaca versi Inggerisnya di Malaysia namun tidak membelinya. Buku itu dibaca ketika berkhidmat di Yayasan Kajian Dan Strategik Melayu di mana Yayasan pernah menganjurkan seminar Blue Ocean untuk pemimpin-pemimpin negara di Langkawi. Saya membeli terjemahan Indonesia keana harganya jauh berbeza dengan buku asal yang dijual di Malaysia.

Satu keistimewaan buku-buku Indonesia ialah faktor harganya. Harganya masih jauh murah berbanding dengan buku-buku di Malaysia. Kualiti buku-buku Indonesia tidak seperti dahulu. Kualitinya semakin baik dari segi penampilan, grafik, muka halaman, rekabentuk dan kualiti kertas juga. Oleh kerana banyak penerbit di sana, maka mereka terpaksa bersaing dengan menampilkan buku-buku berkualiti.

Pada saya jauh lebih penting ialah ilmu, informasi atau maklumat yang boleh didapati daripada buku-buku tersebut. Saya mendapati banyak buku-buku berupa panduan, bimbingan, petua yang menyajikan pelbagai maklumat tentang sesuatu bidang ditulis dan diterbitkan di Indonesia. Hasil kajian profesor, penyelidik dan saintis di pusat pengajian tinggi ditulis, disunting dan diterbitkan untuk bacaan umum dengan bahasa yang mudah dan bersifat umum. Banyak buku-buku tentang pertanian, agrotek, industri kampung, makanan ditulis. Buku-buku ini mendapat pasaran yang baik.

Saya sangat selesa mencari maklumat di Indonesia, kerana banyak maklumat dibukakan kepada umum melalui penerbitan. Di Malaysia sungguhpun banyak institusi penyelidikan tetapi hasil penyelidikan disimpan dalam fail dan di rak-rak fail. Orang Malaysia agak 'kedekut' maklumat, tidak mahu membukakan hasil kajian untuk dikongsi dengan orang. Sikap ini berbeza dengan Indonesia. Penyelidik dan saintis di sana begitu terbuka, ikhlas berkongsi ilmu mereka dengan orang ramai. Mereka menulis di samping menyediakan kursus untuk menyebarkan maklumat hasil kajian dan penemuan baru mereka dengan orang ramai.


Bersama keluarga ketika bercuti di Bali, 2007