Monday, September 14, 2009

Mesej al-Qadr


Kini waktunya kita sedang melewati detik-detik terpenting dalam kehidupan seorang Mukmin, iaitu detik Lailatul Qadr (malam Qadr). Kita sedang berusaha sedaya upaya untuk bersengkang mata di waktu malam terutama malam-malam sepuluh terakhir Ramadhan, demi mencari Lailatul Qadr. Tanpa mencarinya, tanpa menantinya, tanpa peduli kepadanya, Lailatul Qadr pasti datang, kerana ia adalah satu hukum, satu ketetapan, satu takdir Tuhan. Ia tetap datang biarpun kita tidak tahu bila waktunya. Pastilah ada hikmahnya apabila Nabi SAW terlupa hari Lalilatul Qadr itu. Allah SWT telah mentakdirkan sedemikian.

Mengapa Lailatul Qadr adalah detik-detik terpenting dalam kehidupan (khususnya kehidupan Mukmin)? Hal ini dijelaskan sendiri oleh ayat tentang Lailatul Qadr, di mana disebut bahawa malam Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan. Seribu bulan adalah bersamaan 83 tahun lebih. Bermakna detik Lailatul Qadr adalah jauh melebihi waktu 83 tahun. Kelebihan sebenar hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya. Apa yang pasti kita dijanjikan bahawa Lailatul Qadr adalah melebihi seribu bulan.

Dari perkiraan matematik kita boleh menghitung nilai usia kita. Tidak ramai orang yang diberi kesempatan untuk hidup melebihi 83 tahun. Maknanya anugerah Lailatul Qadr adalah satu anugerah yang tiada nilai taranya. Katakanlah kita hanya berpeluang memperolehi kebajikan lailatul Qadr selama lima kali seumur hidup, maka bermakna kita sudah memperolehi kebajikan melebihi 415 tahun tahun umur kehidupan kita. MasyaAllah, betapa lumayannya kebajikan yang dianugerahkan, betapa Pengasihnya Tuhan, betapa luasnya Rahmat Tuhan, betapa Pemurahnya Dia.

Detik Lailatul Qadr hanya datang bagi satu tempoh singkat iaitu satu malam sahaja dalam setahun. Ia datang dan pergi. Namun di sebaliknya Lailatul Qadr meninggalkan kepada kita suatu yang sangat berharga kiranya kita tahu menghargainya. Apabila Tuhan berfirman (maksudnya): Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam Qadr, maknanya Allah telah menetapkan bahawa al-Quran itu sebagai satu anugerah yang sangat mahal, sangat bernilai, sangat agung kepada kita. Ia diturunkan di dalam lingkungan detik terpenting (Lailatul Qadr) dalam kehidupan. Mengiringi turunnya kitab suci itu adalah para malaikat dan Ruh (Jibril) yang turun ke bumi menjalankan perintah Tuhan (mengatur segala urusan).

Biarpun Lalilatul Qadr datang dan pergi, namun di sepanjang detik-detik lain kehidupan kita, keberkatan Lailatul Qadr tetap bersemadi di hati selama kita sedar bahawa al-Quran sentiasa ada di sisi kita. Al-Quran ditakdirkan sebagai ssesuatu yang terpenting kepada kehidupan kita, ia adalah ruh kehidupan kita, ia adalah jembatan yang menghubungi kita kepada Tuhan Rabbul Jalil. Kita memahami bahawa Ramadhan adalah bulan paling mulia, dan di dalam bulan mulia itu Lailatul Qadr adalah detik-detik paling mulia, manakala kemuliaan detik Lailatul Qadr itu terletak pada al-Quran.


Syukurlah kerana kita masih memiliki al-Quran sebagai petunjuk (S. al-Baqarah: 2 dan 185), dipenuhi penjelasan-penjelaan tentang petunjuk itu (S. al-Baqarah 185), maka nilai al-Quran kepada kita terletak pada keupayaan kita mendapatkan sebanyak-banyak petunjuk daripadanya. Petunjuk atau hidayah biasanya dianggap satu anugerah Allah SWT. Sungguhpun begitu kita disarankan supaya berusaha mencarinya, memintanya kepada Tuhan, sebagaimana kita minta dalam tiap rakaat setiap kali solat (tunjuki kami ke jalan lurus). Oleh kerana sudah dinyatakan dengan jelas bahawa al-Quran itu adalah Petunjuk, maka dapatkannya pada al-Quran.

Apabila kita diperintahkan membaca (Iqra') maka marilah kita membaca al-Quran itu. Membaca adalah jendela ilmu, dengan membaca kita sedang membuka jendela tempat masuknya ilmu. Inilah mesej awal yang dibawa oleh al-Quran. Maknanya inilah Petunjuk penting kepada kita.

Malangnya petunjuk tentang membaca ini kita remehkan. Kita tidak membaca, kita malas membaca, kita letakkan membaca sebagai perkara-perkara kedua, ketiga dan bukan perkara prima (utama). Inilah silapnya kita, inilah kesilapan yang masih kita lakukan sehingga kita menjadi umat yang ketinggalan di dunia ini. Inilah juga faktor yang menyebabkan kita terhina dan dihinakan oleh orang lain. Inilah juga yang menyebabkan kita mundur, miskin, terjajah dan tidak menjadi 'umat pilihan'.

Apabila kita tidak meletakkan membaca sebagai keutamaan, maka kita tidak akan berilmu, tidak akan berpengetahuan, tidak akan bermaklumat, tidak akan menjadi masyarakat madani, masyarakat K (knowledge) seperti kata orang sekarang. Pada tahap membaca secara zahirpun kita tidak lakukan, apa lagi untuk membaca pada tahap tinggi (berfikir, mengkaji, menyelidik, menafsir secara akademis). Sedangkan membaca adalah prasyarat untuk maju di dunia ini. Tidakkah kita sedar bahawa negara-negara yang maju dibina oleh rakyatnya yang rajin membaca, yang gila membaca, yang meletakkan buku/kitab/internet sebagai sarana ilmu yang dihargai.

Marilah kita berhijrah, berhijrah secara minda, berhijrah secara amali. Marilah kita berhijrah kepada tabiat membina, iaitu tabiat membaca. Membaca masih belum menjadi tabiat kita selagi kita tidak bermula dengan kesedaran tentang pentingnya membaca. Sebagai orang beriman, kita sudahpun faham bahawa kita diperintahkan (diwajibkan) membaca. Itulah saripati penting al-Quran yang terangkum dalam perkataan Iqra'. Kita sepatutnya sudah sedia sedar hakikat ini kerana setiap hari kita membaca al-Quran.


(fenomena alam yang kita kurang baca)

Marilah kita ubah sikap dengan berubah pada tahap minda terlebih dahulu. Latihkan minda kita dengan membiasakan diri mendekati aktiviti ilmu, misalnya menghadiri majlis ilmu, mendampingi buku/kitab (hari ini internet). Dampingi orang-orang berilmu, wujudkan suasana keilmuan di rumah dengan membelikan buku sebagai hadiah dan pemberian kepada anak-anak, sediakan sudut bacaan atau perpustakaan mini di sudut rumah, sediakan sedikit peruntukan kewangan untuk bahan bacaan, berbincang dan berkomunikasi dengan ahli keluarga melalui perbincangan keilmuan, dan banyak lagi cara yang kita boleh lakukan untuk merangsang sikap minda positif.

Buatkan indeks pencapaian membaca (KPI) peribadi. Pengukuran boleh diasaskan kepada berapa halaman buku/majalah dibaca dalam sehari, seminggu atau sebulan. Berapa buah buku dibaca dalam seminggu, sebulan atau setahun. Berapa jam kita melayari halaman-halaman ilmu di internet. Apakah jenis buku/mjalah yang dibaca, adakah ianya berbahan ilmu atau sekadar bahan hiburan. Apakah maklumat terbaru yang kita dapat setiap hari, setiap minggiu atau setiap bulan.

Sunday, September 13, 2009

Bacalah, akhirnya kita akan percaya.


Ketika melintasi Surah Aj-Jathiah, kita akan ketemu dengan beberapa ayat yang menjelaskan tentang kebesaran Tuhan yang terdapat pada alam yang diciptakan ini. Tanda-tanda sebagai bukti kekuasaan Tuhan ini disebut oleh al-Quran sebagai ayat (dalam bahsa asalnya). Apabila al-Quran mnyebut perkataan ayat, ia akan merujuk kepada keterangan atau ayat-ayat al-Quran itu sendiri; manakala dalam konteks lain, ia merujuk kepada tanda-tanda kekuasaan Tuhan yang terdapat pada alam.

Banyak ayat-ayat yang menyentuh tentang alam yang digandingkan dengan perkataan ayat. Ini membawa pengertian bahawa alam ini adalah ayat-ayat Tuhan yang perlu dibaca juga. Oleh kerana ayat-ayat ini (ayat kauniah) sangat besar, maka membacanya tentulah memerlukan pendekatan yang lebih luas. Membacanya memerlukan alat-alatan bantu seperti makmal, teleskop, mikroskop dan lain-lain. Maknanya ia perlukan kajian, penyelidikan, penerokaan lapangan dan sebagainya.

Marilah kita ikuti maksud ayat-ayat yang dipaparkan dalam Surah Al-Jathiah itu:

Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) untuk orang-orang yang beriman. Dan pada penciptaan kamu dan pada binatang yang melata yang bertebaran di muka bumi terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) untuk kaum yang meyakini. Dan pada pergantian malam dan siang dan hujan yang diturunkan Allah dari langit lalu dihidupkannya dengan air hujan itu bumi sesudah matinya, dan pada perkisaran angin terdapat pula tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berakal. Itulah ayat-ayat Allah yang Kami bacakan kepadamu dengan sebenarnya. Maka dengan perkataan manakah lagi mereka akan beriman sesudah (kalam) ALlah dan keterangan-keterangan-Nya. (maksud al-Quran 45:3-6).


(Air menampilkan dirinya dalam wajah kristal yang cantik)

Langit, bumi, manusia, binatang, malam, siang, hujan dan angin serta fenomenanya disebut sebagai ayat-ayat yang menggambarkan keagungan Tuhan Maha Pencipta. Apakah kita yang setiap hari melihatnya, merasakan kewujudannya, mendapatkan manfaat daripadanya, tidak sedar, tidak insaf akan hakikat ini? Apakah manusia masih mahu mengingkarinya, masih menafikannya, atau masih mahu berhujjah lagi? Itulah bukti kewujudan Tuhan, kebesaran Tuhan dan keagungan-Nya. Hanya dengan beriman, hanya dengan berfikir secara saintifik, hanya dengan mengkaji dan menyelidiki secara saintifik, barulah manusia menemui kebenaran ayat-ayat ini.

Tanpa membaca, mengkaji, menyelidiki manusia tidak akan bertemu tentang fakta, ilmu atau maklumat tentang langit. Mata kasar kita hanya mampu melihat kerdipan bintang-bintang di malam hari. Itupun ketika langit tiada mendung. Namun begitu, seorang saintis (astronomi) akan dapat melihat lebih jelas lagi planet-planet di jagatraya ini, kerana mereka mempunyai maklumat dan mempunyai peralatan teleskopik yang kuasa kantanya berganda-ganda. Mereka inilah yang akan menyaksikan betapa agungnya ciptaan bintang-bintang atau planet di angkasa (langit). Keajaiban langit menjadi rahsia kepada kita yang jahil (tiada ilmu tentangnya), tetapi keajaiban itu membuka pelbagai ilmu kepada para saintis yang mengkajinya.

Begitu juga dengan bumi. Kita melihat bumi sebagai hamparan kerana kita melihat bumi pada posisi kita di bumi. Gambaran bumi adalah bulat (tidak mendatar) apabila ia dilihat dari luar angkasa. Di bumi kita melihat matahari bergerak dari timur ke barat. Di luar angkasa, bukan matahari yang beredar tetapi bumi yang berputar mengelilingi matahari. Keajaiban alam cakrawala hanya dapat dinikmati oleh mereka yang mengkajinya. Syukurlah berkat kajian pakar-pakar sains astronomi, kita sudah menyingkap banyak rahsia cakrawala.


Diri manusia sendiri adalah ayat Tuhan yang sangat hebat ciptaannya. Kita hanya melihat diri fizikal sahaja tetapi tidak dapat melihat diri di dalam yang tediri daripada pelbagai organ yang berfungsi secara sinergi menggerakkan kehidupan kita. Di dalam tubuh ada jantung, hati, paru-paru, otak, saraf, hempedu, pankreas, buah pinggang, usus dan lain-lain. Kita tidak pernah melihatnya kerana ia berada di dalam tubuh yang dibalut oleh daging, yang dibalut pula oleh kulit.

Keajaiaban ciptaan manusia hanya disaksikan oleh orang yang mempunyai ilmu tentangnya seperti ahli biologi, doktor dan saintis yang mengkaji tentang diri manusia. Merekalah orang yang benar-benar membaca ayat Tuhan ini. Sebab itu merekalah orang yang dapat merasakan kebesaran dan keagungan Tuhan kerana setiap hari mereka melihat bagaimana organ-organ ini bekerja dan berfungsi dengan penuh keajaiban. Jantung misalnya, saiznya sederhana kecil, tetapi mempunyai keuatan luar biasa, bekerja terus menerus tanpa henti walaupun tuannya sedang tidur. Jaringan saraf yang berjuta-juta mewujudkan jaringan komunikasi baik secara fisiologi mahupun secara anatomi, berfungsi dengan sangat rapi dan efektif.

Sungguhpun jurutera dan pakar elektronik mampu mencipta gajet canggih seperti komputer, namun mereka tidak mampu menghasilkan satu sistem seumpama sistem anatomi dan fisiologi otak manusia itu. Di sinilah baru kita dapat menemui titik kesedaran bahawa ciptaan Tuhan sangat hebat, sangat agung, penuh dengan kebijaksanaan, penuh dengan kekuatan luar biasa. Sebahagiannya tidak terfikir oleh akal, maka kita hanya perlu beriman, perlu percaya dan yakin sahaja.

Saturday, September 5, 2009

Kita perlukan tafsiran saintifik.

<
Terakhir ini kita melihat satu perkembangan dinamik di kalangan umat Islam untuk menghayati al-Quran. Penghayatan al-Quran tidaklah terbatas kepada aktiviti ngaji, membaca, bertarannum sahaja. Lebih dari itu al-Quran perlu ditadabbur, dibaca dengan memahami maknanya. Lebih afdhal lagi sekiranya dapat membaca tafsir, asbabun nuzul, dan ilmu-ilmu berkaitannya, apa lagi menghafalnya.

Kini pusat-pusat pengajian al-Quran termasuk pusat tahfiz al-Quran tumbuh subur di pelbagai daerah dan lokasi. Dari masa ke semasa ada sahaja pihak yang menubuhkan pusat-pusat sedemikian untuk mengembangkan ilmu al-Quran dan hafazan. Ini satu perkembangan yang sungguh mengagumkan. Kita sedang berdepan dengan satu kesedaran baru menghayati al-Quran di kalangan umat Islam di Malaysia.

Apabila banyak pusat-pusat pengajian al-Quran dan tahfiz didirikan, kita akan menikmati keberkahannya di mana ramai para hafiz akan berada dalam masyarakat. Waktu inipun sudah ramai para hafiz yang menjadi imam masjid dan surau. Solat tarawikh kini diimami oleh para hafiz yang boleh membaca semua surah-surah al-Quran, tidak lagi seperti dahulu. Imam-imam ini pula adalah anak-anak muda lulusan pusat tahfiz di dalam dan luar negara.

Semakin ramai para hafiz akan mempercepatkan lagi pertumbuhan pusat-pusat tahfiz baru kerana mereka ini sebahagiannya akan berusaha mengembangkan aktiviti pendidikan tahfiz di kalangan masyarakat. Selain itu terlihat ada kecenderungan masyarakat Islam untuk menyokong aktiviti sedemikian dengan memberikan sokongan kewangan dan juga sokongan moral. Di samping itu trend menghantar anak-anak ke pusat tahfiz sejak usia muda kelihatan begitu marak kini.

Perkembangan ini meyakinkan kita untuk melihat satu perubahan kepada pemikiran, sikap dan amal umat di masa depan. Perkembangan ini akan melahirkan ulama holisitik sebagaimana zaman kegemilangan Islam dahulu. Kita mengharapkan lebih ramai lahir profesional seperti doktor, peguam, jurutera, arkitek, ahli sains yang juga hafiz. Mereka akan menjadi pewaris Ulul-albab yang akan menampilkan wajah ilmuan Islam yang holistik. Sekiranya mereka ini menjadi pendakwah, mereka akan mengupas pelbagai bidang ilmu melalui pendekatan Quranik.


Waktu itulah kita menjangkakan lahirnya golongan Ulul-albab yang terus mengkaji dan menyelidikan segala sesuatu di alam dan di jagat raya ini, bagi melihat lebih dekat kebesaran Allah SWT padanya. Mereka inilah yang akan menepati maksud al-Quran: Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi dan peralihan malam dan siang itu terdapat tanda-tanda (ayat) kepada Ulil-albab.(Ali Imran: 190).

Hari ini kajian-kajian sains telah menemukan lebih banyak fakta baru tentang pelbagai bidang. Antaranya ialah bidang biotek. Bidang ini adalah sub-bidang biologi yang sangat dekat dengan hal-hal berkaitan alami (Sunnatullah). Kita mengharapkan lebih ramai saintis Muslim menerokai bidang-bidang ini kerana al-Quran sentiasa menyarankan kita memerhati, mengkaji dan memanfaat sumber alam ini secara baik.

Kita juga mengharapkan akan tiba masanya al-Quran akan ditafsirkan melalui pendekatan sains kerana terlalu banyak fakta-fakta sains yang akhirnya menyokong kebenaran fakta al-Quran. Apabila kita memiliki ulama al-Quran yang juga pakar sains, kita yakin mereka mampu menafsirkan ayat-ayat al-Quran berkaitan sains secara lebih komprehensif lagi. Sudah tentulah tafsiran-trafsiran baru ini akan menambah sempurnakan (komplementari) kitab-kitab tafsir sedia ada. Waktu itu kita akan menemui terjemahan perkataan zarrah dalam surah Al-Zalzalah tidak lagi diterjemahkan sebagai biji sawi, tetapi sebagai atom, nuklear atau nano (merujuk kepada wujud paling kecil).


(Air disebut oleh al-Quran sebagai asal segala sesuatu yang hidup termasuk manusia. 70% tubuh manusia adalah air, malahan tulang juga mengandungi air.)

Kenapa kitab tafsir kita kekurangan tafsiran mendalam tentang ayat-ayat yang menyebut tentang kejadian manusia misalnya. Oleh kerana ahli-ahli tafsir tidak mendalami bidang-bidang sains biologi, mereka tidak dapat menghuraikan dengan mendalam perkembangan proses kejadian manusia yang disebut dari tanah, kemudian dari mani, menjadi segumpal darah, menjadi pula segumpal daging dan tulang. Tulang belulang itu kemudiannya dibungkus dengan daging.

Apakah kita belum terfikir untuk menghasilkan sebuah tafsir saintifik yang boleh diusahakan oleh kelompok ulama yang mahir tentang ulumul Quran, bergabung dengan saintis-saintis kita, untuk mengupas secara mendalam ayat-ayat sains yang begitu banyak dalam al-Quran itu. Kebesaran al-Quan itu tentulah akan lebih terserlah kiranya kita dapat berbuat sesuatu bagi membolehkan orang melihat al-Quran sangat dekat dengan kemajuan ilmu semasa. Apa lagi jika diambil kira al-Quran sebagai mukjizat agung yang sentiasa akan segar dan serasi dengan perubahan dan perkembangan ilmu manusia.

Thursday, September 3, 2009

Apabila al-Quran diturunkan .....


Beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut Nuzul Al-Quran iaitu satu peristiwaa penting dalam sejarah Islam dan sejarah umat manusia juga. Detik penurunan al-Quran sangat besar ertinya kepada kita umat Islam dan umat manusia seluruhnya, kerana turunnya al-Quran telah merobah dunia. AL-Quran telah meningkatkan taraf hidup manusia kepada satu dimensi sempurna sesuai dengan fitrah kejadian manusia.

"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Mencipta manusia daripada segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmu Yang paling Pemurah. Yang mengajar (manusia)dengan perantaraan qalam. Dia mengajarkan manusia apa-apa yang tidak diketahuinya." maksud al-Quran, S. Al-'Alaq ayat 1-5.

Itulah ayat terawal diturunkan Tuhan kepada Nabi Muhammad SAW. Ayat yang sangat besar maknanya kehidupan manusia kerana ia menyentuh hal-hal ilmu, hal-hal ketuhanan dan hal-hal manusia.

Perintah membaca bukanlah satu urusan kecil, sebaliknya membaca adalah satu urusan besar, urusan penting. Membaca pastilah satu amal atau aktiviti penting dalam kehidupan ini, maka Tuhan memerintahkan kita membaca. Membaca adalah satu aktiviti keilmuan dan ianya adalah aktiviti yang sangat relevan dengan penciptaan manusia itu sendiri.

Uniknya manusia ialah pada ciri-cirinya sebagai makhluk ilmu. Sewaktu Adam AS diciptakan, dia diajarkan Tuhan dengan ilmu yang menjadikan dia makhluk istimewa untuk nanti memajukan ilmu. Makhluk lain tidak diberi keistimewaan tersebut. Adam AS diturunkan ke bumi untuk menjadi khalifah atau wakil Tuhan menguruskan alam ini. Tuhan mengajarkan Adam AS ilmu tentang alam untuk membolehkan dia berfungsi sebagai khalifah di sini. Kemudian Tuhan menurunkan pula mashaf dan kitab-kitab kepada para rasul-Nya sebagai satu cara Tuhan mengajar manusia tentang ilmu-ilmu terutama ilmu mengenai perkara ketuhanan dan perkara ghaib.


(Planet adalah ayat-ayat (tanda-tanda) besar yang perlu dibaca)

Bimbingan Tuhan melalui wahyu yang diturunkan itu adalah untuk memastikan manusia dapat menjalani hidup di bumi dengan sejahtera, selamat, aman dan bahagia. Kenapa agama terakhir, Islam itu diberi nama sedemikian, adalah selari dengan matlamat salam iaitu kesejahteraan, keselamatan, keamanan dan kebahagiaan di atas. Al-Quran adalah kitab terakhir diturunkan, dan ia adalah kitab yang sempurna dan lengkap.

Untuk urusan kehidupan dunia al-Quran memberikan bimbingannya. Di samping itu manusia disaran menggunakan seluruh indra ilmu yang ada pada diri mereka untuk mengembangkan maklumat atau pengetahuan tentang pelbagai hal kehidupan ini. Lima pancaindra dan akal serta hati merupakan indra ilmu. Manusia bolehlah memajukan keupayaan indra ilmu tersebut agar ilmu manusia semakin bertambah setiap hari.

Apabila Tuhan memerintahkan kita membaca, bermakna Tuhan memerintahkan kita menggunakan sepenuhnya potensi indra-indra ilmu itu untuk menambahkan pengetahuan yang sedia ada. Apabila diperintah membaca dengan menyebut nama Tuhan, maknanya kita diperintah mencari ilmu dengan cara sentiasa menyebut nama Tuhan, meminta atau berdoa kepada-Nya, mencari ilmu-ilmu yang bermanfaat dan diridhai-Nya, berjihad di bidang ilmu kerana-Nya dan menjadikan perjuangan menuntut, mengamal dan mengajar ilmu adalah berasaskan keredhaan-Nya.

Membaca dalam pengertian yang luas dan holistik pastilah merujuk kepada aktiviti mencari ilmu menggunakan kaedah membaca (membaca teks), mengkaji, menyelidik, mengujikaji (membaca alam iaitu ayat yang tiada dalam teks).


(matahari, bulan, fajar, malam adalah ayat-ayat Tuhan yang perlu difikirkan)

Bersempena dengan sambutan Nuzul al-Quran ini marilah kita bertafakkur, berfikir dan bermuhasabah: apakah kita sudah benar-benar melaksanakan perintah membaca sebagaimana yang dikehendaki oleh semangat Iqra' itu. Apakah kita sudah benar-benar membaca al-Quran mengikut pengertian tadabbur, iaitu memahami dan mengerti makna ayat-ayat al-Quran yang dibaca. Sesudah itu apakah kita telah mengamalkan seluruh isi al-Quran, dan sudahkah kita berusaha menyampaikan apa yang kita fahami itu, untuk dikongsikan dengan orang lain. Dalam konteks ilmu, terdapat tiga proses, iaitu mencari ilmu, mengamalkan ilmu tersebut, dan menyampaikan (mengajar) ilmu tersebut kepada orang lain. Inilah proses ilmu yang dianjurkan oleh Islam.

Marilah kita bertanyakan diri masing-masing: apakah kita suka membaca? berapa buah buku/kitab dibaca dalam sebulan? berapa halaman ilmu yang kita tambah setiap hari? berapa majlis ilmu kita hadiri dalam sebulan? Berapa buah buku yang kita beli? Berapa anggaran perbelanjaan untuk bahan bacaan di rumah? Apakah ada perpustakaan mini di rumah?

Jawaban kepada soalan-soalan di atas akan memberikan kita tanda aras sikap kita terhadap amalan membaca. Nilailah sendiri. Kiranya tanda aras itu rendah maka itulah hakikatnya diri kita, masih belum memenuhi tuntutan al-Quran supaya kita membaca.

Seandainya kita menilai pencapaian umat Islam di bidang sains hari ini, kita akan dapati kita berada jauh di belakang. Saintis bukan Islam nampaknya benar-benar mengamalkan perintah membaca kerana mereka begitu tekun dan serius menjalankan penyelidikan tentang pelbagai bidang sains. Mereka yang rajin mengkaji alam dan fenomenanya, sedangkan umat Islam tidak mahu melakukannya. Padahal ayat-ayat Mutasyabihat di dalam al-Quran merangsang kita berbuat demikian.