Monday, April 27, 2009

Buku Nyata Buku Maya


Kita baru sahaja menyambut Hari Buku Sedunia pada 23 April lalu. Berapa ramai orang yang sedar tentangnya dan berapa orang pulalah yang menyambut serta meraikannya. Di Kuala Lumpur mungkin orang menyedarinya apabil Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur ke 28 diadakan pda 17 hingga 26 April lalu di Pusat Dagangan Antarabangsa Dunia Putra Kuala Lumprur. Majoriti kita tidak pernah menyedarinya dan tidak merasa perlu menyedarinya kerana apalah makna buku kepada kita.

Sedarkah kita bahawa buku adalah warisan berharga dan ia adalah khazanah yang merobah dunia. Dunia berubah dan setiap hari kemajuan menjelma kerana akal manusia berkembang. Di sebalik semuanya itu adalah buku. Kalau tubuh perlukan makanan, maka akal perlukan buku.

Kemajuan ICT telah merobah sifat-sifat buku apabila secara digital buku dibaca tidak lagi dari halaman kertas tetapi dari skrin komputer. Buku seolah-olah kehilangan bentuk fiziknya apabila ia berada di dunia maya. Satu kejutan baru kepada sebahagian besar pembaca yang sudah sekian lama menatap buku dari helaian-helaian kertas. Mengalih kebiasaan membaca buku daripada naskah nyata (hard copy) kepada membaca naskah maya (soft copy) bukanlah satu yang mudah. Mungkin kepada generasi muda yang sejak kecil diasuh dengan kemudahan digital, mereka tidak merasakan perubahan-perubahan ini. Generasi dewasa yang telah melalui era naskah kertas benar-benar terasa peralihan ini.

Sebagai seorang yang punya sedikit pengetahuan dan pengalaman dalam industri penerbitan, saya dapat merasakan perubahan-perubahan yang sedang melanda industri buku kini. Saya berkesempatan bekerja di percetakan awal tahun tujuh puluhan dulu, dengan pengalaman mengatur huruf, iaitu satu tugas rumit dan benar-benar memerlukan ketelitian. Untuk menyiapkan satu halaman buku mengambil masa begitu lama kerana terpaksa bermula dengan menyediakan acuan dan menyukat saiz buku secara manual. Kemudian mula mengatur huruf-huruf . Bagi huruf rumi ia agak mudah kerana semua hurufnya tunggal, tetapi bagi huruf jawi ia agak rumit kerana setiap huruf jawi kebanyakannya mempunyai empat bentuk iaitu huruf tunggal, huruf bersambung di awal, bersambung di tengah dan bersambung di hujung. Hanya beberapa huruf bersifat tunggal, selebihnya mempunyai tiga bentuk. Oleh itu seorang pengatur huruf perlu mahir menguasai huruf-huruf ini. Sebagaimana susunletak pada papan kekunci komputer dan mesin taip, susunan kotak-kotak huruf (case) pun serupa. Ia tidak tersusun mengikut urutan abc. Oleh itu kita perlu mengingat kotak-kotaknya bagi membolehkan kita melakukan kerja mengatur huruf dengan pantas. Untuk menyediakan satu halaman naskah jawi akan mengambil masa lebih lama daripada naskah rumi. Satu lagi keistimewaan huruf-huruf timah ini ialah kedudukannya yang terbalik. Oleh itu otak pengatur huruf perlu diselaraskan dengan posisi terbalik.

Sulitnya kerja mengatur huruf menyebabkan kerja menyiapkan naskhah buku menjadi sangat lambat. Berhari-hari, berminggu-minggu dan berbulan . Apabila selesai kerja mengatur huruf pada acuan naskah, ia akan dikemaskan dengan meletakkan penyendal . Huruf dan penyendal ddibuat daripada timah. Oleh itu ia bersifat rapuh, dan mudah rosak. Apabila telalu lama digunakan permukaan timah itu akan mengembang menyebabkan teks yang dicetak nanti juga kelihatan kembang. Sekiranya huruf-huruf yang digunakan dicampur antara stok lama dengan yang baru, kita akan nampak kesannya pada cetakan di kertas. Kelihatan huruf-huruf nipis dan tebal pada satu perkatan atau dalam satu barisan ayat pada teks. Sebab itu seorang pengatur huruf bukan sahaja perlu mahir dalam kerjanya tetapi juga perlu rapi dan berseni kerana hasil kerjanya akan terpampang pada cetakan di kertas nanti.

Sering juga pengatur huruf akan berdepan dengan saat-saat menyedihkan apabila kerja behari-hari terburai dan bersepai. Sekiranya penyendal yang digunakan tidak kemas disebabkan berbeza saiznya, atau ikatannya tidak cukup kemas , halaman yang sudah disusun dan dirapikan itu akan terurai. Beberapa huruf boleh tercabut dan gugur daripada susunan. Ini situasi yang menyulitkan kerana terpaksa dibuka pengunci (lock) dan penyendal-penyndal bagi membolehkan kerja menyusun semula huruf yang tanggal tadi. Inilah saat-saat yang membosankan, tetapi itulah hakikat pekerjaan seorang pengatur huruf.

Halaman yang sudah siap tadi akan diuji atau disahkan dengan membuat salinan. Kerja mudah dengan menyapukan dakwat ke permukaan teks, kemudian lekapkan sekeping kerta ke atas permukaannya. Hasilnya ialah cetakan teks muncul di permukaan kertas tersebut. Tugas seterusnya ialah membaca pruf. Kerja ini mungkin dilakukan oleh orang lain, dan itulah sebaik-baiknya. Bagi percetakan kecil, pengatur huruf juga perlu menjadi prembaca pruf. Pembaca pruf akan menandakan apa-apa kesalahan pada teks. Kesalahan boleh jadi pada perkataan atau ayat yang hilang atau tertinggal. Selain itu kesalahan pada ejaan, huruf besar atau huruf kecil, tanda-tanda bacaan dan perenggan juga disemak. Pembaca pruf akan menanda menggunakan simbol-simbol yang difahami oleh pengatur huruf. Naskah yang sudah disemak itu diserahkan kembali kepada pengatur huruf untuk membuat kerja-kerja pembetulan. Setelah siap kerja-kerja pembetulan, barulah selesai tugas pengatur huruf. Acuan halaman itu akan diserahkan pula kepada juru mesin yang akan mencetaknya.

Waktu itu sekitar awal tahun tujuh peluhan ketika saya mula bekerja di percetakan. Masih segar di ingatan saya tugas awal saya ialah menyiapkan atur huruf buku Risalah Tauhid karya Haji Mohd Saman Kati, seorang ulamak terkenal di Perak. Kebetulan percetakan di mana saya bertugas baru sahaja dibeli oleh Tuan Haji Mohd Saman daripada pemiliknya Pakcik Ahmad. Percetakan itu dikenali sebagai Percetakan Rakyat. Pemilik asal, Pakcik Ahmad adalah bekas pejuang nasionalis di zamannya. Nama percetakan ini juga ada kaitan dengan semangat nasionalisme dan perjuangan tuan punyanya. Saya sempat berkenalan dengan Pakcik Ahmad, orangnya kecil dari segi fizikal, tetapi punya perwatakan rapi, kemas dan tegas. Itulah ciri-ciri seorang pejuang.

Mengatur huruf untuk buku Risalah Tauhid ini adalah pengalaman pertama. Apa lagi naskah tersebut adalah naskah jawi. Bukunya kecil dan mengandungi beberapa puluh halaman saja. Sesuailah dengan namanya risalah, bukan buku. Sebagai guru agama di Perak, Tuan Haji Mohd Saman menggunakan buku ini dalam kuliah-kuliah agamanya. Ia dijual kepada murid-muridnya. Sungguhpun mengatur huruf jawi adalah satu tugas yang rumit berbanding dengan huruf rumi, namun pada saya ia adalah tugas yang mudah kerana saya adalah pelajar sekolah agama, sekolah arab. Jawi adalah tulisan harian saya. Penyelia percetakan begitu kagum dengan kebolehan saya menguasai kerja mengatur huruf jawi kerana saya cepat menguasainya. Beliau tidak tahu latarbelakang saya.

Saya tidak ingat samada saya menghabiskan semua halaman Risalah Tauhid tersebut atau berkongsi dengan rakan kerja lain. Tetapi saya masih ingat saya juga turut membaca pruf. Kerana kemahiran jawi yang ada pada saya, kerja-kerja itu jadi mudah. Seronoknya ketika membaca pruf, secara tidak langsung dapat juga menggarap ilmu di dalamnya . Oleh kerana terpaksa mengulang-ngulanginya, teks Risalah itu masuk juga ke benak saya. Salah satu sumbangan saya kepada Risalah Tauhid ialah kulitnya. Rakan-rakan di percetakan itu terkejut apabila saya menghasilkan reka bentuk kulit untuk Risalah Tauhid. Rekabentuknya ringkas, dengan menggunakan tulisan jawi tanpa elemen dekoratif lain. Saya telah menggunakan sepenuhnya kemahiran tulisan khat yang saya pelajari untuk membentuk tajuk Risalah Tauhid menggunakan seni khat Nasakh. Tulisan tangan memberikan impak berbanding huruf standard.

Di waktu itu dalam tahun tujuh puluhan industri percetakan di negara ini sudah melalui peralihan. Dari era percetakan tekap (printing press atau disebut juga sebagai letter press) iaitu cetakan menggunakan blok-blok timah yang ditekap ke atas kertas (sebenarnya mesin menekapkan kertas ke atas permukaan blok timah), beralih kepada era off set menggunakan kepingan logam (metal plate). Imej tulisan dan gambar dipindah ke kepingan logam melalui filem negatif dan positif. Melalui proses pisah warna dan membuat filem, imej-imej daripada teks dipindahkan ke dalam bentuk metal plate. Ia boleh dicetak untuk jumlah naskah yang banyak, dan boleh disimpan dan digunkan kembali untuk cetakan berikutnya.

Di tahap ini proses percetakan masih lagi perlu melalui pelbagai tahap kerja pra cetak. Teks dari naskah perlu ditaip dan disusun (type setting). Proses ini menggunakan mesin yang menghasilkan cetakan atas kertas bromide (kertas khas yang menzahirkan imej tulisan setelah diproses dengan bahan kimia). Taip dan susun atau saya panggil taip/susun adalah proses untuk menyediakan teks dalam bentuk sebenar yang akan dicetak. Di sini saiz huruf dan jenis huruf (fon) serta ketebalan (normal/medium/bold) dipilih dan ditentukan. Contohnya tajuk dan sub-tajuk menggunakan huruf lebih besar dan tebal.

Perkhidmatan taip/susun ini biasanya dilakukan oleh syarikat bukan percetakan. Walaupun begitu ada juga syarikat percetakan yang menyediakan khidmat taip/susun ini. Oleh kerana mesin-mesin yang digunakan agak mahal maka bayaran untuk kerja-kerja taip/susun juga agak mahal. Harganya dikira mengikut saiz inci persegi.

Hasil kerja dalam bentuk bromide tadi perlu melalui proses susun atur (lay-out) dan perapian (make-up). Seorang petugas khas yang dipanggil lay-out artist akan mengerjakan proses susun atur mengikut format naskah yang dirancang. Dia akan memotong dan menampal di permukaan kertas khas yang dipanggil halaman susun atur (lay-out sheet). Kerja-kerja dilakukan secara manual dan memerlukan kemahiran.

Halaman-halaman yang sudah siap disusun atur ini akan dipindahkan ke filem dan sterusnya ke plate untuk dicetak. Di tahap ini selesailah proses pra-cetak. Naskah kemudiannya memasuki fasa cetakan pula. Setelah selesai dicetak ia akan melalui proses pemotongan dan penjilidan. Sebahagian syarikat percetakan mempunyai mesin untuk menjilid, manakala kebanyakan percetakan yang sederhana dan kecil tidak mempunyai peralatan ini. Kertas-kertas yang telah siap dicetak itu akan dipindahkan pula ke syarikat yang menyediakan khidmat penjilidan. Di sini kertas dilipat, dipotong dan dijilid. Proses penjilidan mempunyai beberapa jenis, antaranya menggunakan pin (stitching), jahitan (khususnya untuk jilid kulit keras) dan jilidan sempurna (perfect binding). Selesai dijilid, zahirlah sebuah buku. Ia akan dirapikan lagi dengan proses memotong bahagian yang tidak rata dan selari. Bagi jilid kulit tebal pula ia dibalut atau mungkin diberi jaket luar lagi.

Tahun-tahun lapan puluhan, industri percetakan mengalami perubahan drastik apabila teknologi digital mula mendapat tempat. Komputer peribadi mula mengambil tempat , dan mengambil alih fungsi kerja-kerja pra-cetak. Banyak syarikat yang memberikan khidmat pra-cetak mula terjejas di mana khidmat taip/susun semakin dipinggirkan, kerana kerja mereka boleh dilakukan oleh komputer peribadi. Hasil cetakan komputer menyamai fungsi taip/susun. Lebih istimewa lagi komputer peribadi menyediakan kemudahan suntingan yang boleh dilakukan terus di skrin tanpa perlu membuang masa dan tenaga.

Dahulu kerja menaip dan menyusun atur dilakukan oleh seorang petugas, membaca pruf dilakukan oleh seorang petugas lain. Di samping itu hasil cetakan di atas bromide memakan kos tinggi. Kini sebuah komputer peribadi boleh menghasilkan produk serupa tanpa memerlukan lebih daripada seorang petugas. Jimat tenaga. Di samping itu kerja-kerja membaca pruf dan menyunting boleh dilakukan oleh orang yang sama, dalam tempoh waktu yang singkat. Jimat masa.

Inilah impak kemajuan teknologi digital dari hasil kemajuan ICT. Dengan kemampuan ramai orang memiliki komputer peribadi yang semakin hari semakin canggih dengan harga semakin rendah dan terjangkau, maka proses pra-cetak sudah diambilalih oleh setiap pemilik komputer di pejabat, di rumah atau di jalanan (yang menggunakan komputer bimbit ).

Selain dari kerja-kerja taip/susun, kerja-kerja rekabentuk grafik juga telah diambil alih oleh komputer peribadi. Hari ini kerjaya agensi-agensi pengiklanan yang manawarkan khidmat rekabentuk grafik semakin suram kerana permintaan terhadapnya agak menurun. Komputer telah meyediakan kemudahan grafik lebih mudah dan lebih murah kepada orang ramai. Grafik diajar pecuma melalui perisian asas seperti Window. Belum lagi diambil kira aplikasi perisian khusus grafik yang menampilkan pelbagai bentuk dan gaya grafiknya. Hari ini siapa sahaja yang rajin belajar daripada perisisan mudah pada komputernya, akan menguasai pengetahuan dan kemahiran grafik. Yang penting ada kemahuan dan rajin menelusuri skrin komputer.

Perkembangan ini merobah senario industri percetakan, khususnya industri pra-cetak. Dahulu kita terpaksa mencari Perekabentuk grafik untuk menyediakan halaman kulit sesebuah buku. Syarikat-syarikat penerbitan menyediakan tugas khsus kepada mereka, manakala penerbitan-penerbitan kecil akan mencari Peekabentuk sambilan melalui penyumberan luar. Kini semuanya telah berakhir. Menghasilkan kulit buku boleh dilakukan beberapa jam di depan skrin komputer di rumah atau di jalanan.

Sebelum ini industri pra-cetak disokong oleh proses taip/susun. Pisah warna dan proses perfileman-pembuatan plate. Hari ini proses tersebut telah dipermudahkan. Perniagaan berkaitan industri pra-cetak sedang mengalami zaman suram.

Demikianlah zaman berubah, dan zaman telah mengubah lanskap industri percetakan dan industri buku itu sendiri. Kini adalah zaman Desktop Publishing (DTP) di mana akiviti percetakan boleh dilakukan di atas meja kecil. Sebuah komputer, sebuah pencetak baik inkjet atau laser, stok dakwat (cecair atau serbuk) dan kertas adalah keperluan asas yang mencukupi untuk sesiapa sahaja melakukan proses percetakan. Hasilnya boleh dizahirkan dalam bentuk apa yang kita mahu, buletin, risalah, brosur, kad nama, kepala surat, invois atau dokumen pejabat, atau mungkin sebuah buku.

Teknologi digital membantu kita menghasilkan bahan bercetak dalam waktu yang pantas dan menjimatkan. Kemudahan DTP dapat menghasilkan bahan siap bercetak dalam tempoh masa yang singkat, dan dengan kos yang murah. Lihatlah perkhidmatan cetak segera (fast print) di merata sudut dan lokasi menawarkan kerja-kerja cetak yang pantas dan relatif murah.

Berbalik kepada buku, biar bagaimanapun cepatnya perubahan melanda industri percetakan yang mempengaruhi industri buku, yang penting buku akan terus dihargai, diperlui dan diberi fungsinya. Buku tetap buku, ia akan terus dibaca, dihayati, ditagihkan ilmunya sampai bila-bila. Biarpun digital telah mengambil alih fungsi kertas, namun buku tetap akan dipanggil buku, dikenali sebagai buku dengan ciri-ciri dan sifatnya sebagai penampung ilmu, sarana informasi, wadah pemikiran. Biarpun kini buku berada di dunia maya, dalam bentuk digital,namun apabila dibuka helaian-helaian halamannya tetap akan memaparkan isi yang serupa, berupa informasi atau ilmu.

Satu hal yang nyata dan meyakinkan, teknologi digital tidak akan menenggelamkan sifat-sifat fizikal buku dalam bentuk asalnya di lembaran-lembaran kertas. Buku akan terus ditulis, disunting, dicetak, diterbitkan dan dipasarkan sebagai naskah nyata (hard copy), kerana orang masih memerlukan buku untuk dipegang, diselak helaian halamannya, dibawa ke mana sahaja untuk dibaca, disimpan pada rak-rak buku, dihadiahkan kepada orang tersayang, dan lebih penting di dalam industrinya, buku perlu wujud dalam naskah nyata untuk menampung jutaan orang yang mencari rezeki melaluinya. Jutaan orang di dunia terlibat dengan industri ini daripada penulis, penyunting, pekerja percetakan, pengedar, penjual, petugas di perpustakaan, pekerja kilang kertas, dan ramai lagi pekerja di industri-industri sokongan, baik industri huluan mahupun industri hilirannya.

Friday, April 24, 2009

Hari Buku Sedunia: sebuah retrospeksi


23 April 2009 adalah Hari Buku Sedunia. Apalah maknanya hari ini kepada kita sekiranya kita tidak pernah mencintai buku, tidak berminat membaca dan tidak mahu memperuntukkan sedikit waktu untuk mendampingi buku.

Dari sisi lain, seorang kaki buku akan sentiasa resah kalau dalam sehari tidak menatap buku. Walau sibuk bagaimanapun sehingga tidak ada waktu untuk membaca, sekurang-kurangnya fikiran akan sentiasa ingat kepada buku. Walaupun tidak sempat membaca, kata orang, dengan melihat buku-buku di rak buku pun sudah cukup mengubat rindu pada buku.

Ulat buku, gelaran kepada orang yang gila membaca. Ulat buku akan sentiasa mencari ruang untuk membaca. Mereka akan mambaca apa sahaja yang dapat dibaca, baik buku, majalah, risalah atau apa jua bahan bertulis. Mereka boleh menghabiskan sebuah buku dalam masa beberapa jam sahaja.

Bangsa Jepun dikatakan bangsa yang maju kerana mereka suka membaca. Hobi mereka membaca. Mereka membaca mangga (komik) yang memuatkan pelbagai informasi. Dalam perjalanan ke tempat kerja, mereka membaca. Dalam keretapi, dalam bas mereka membaca. Mereka tidak mensia-siakan masa, sebaliknyanya mengisi masa dengan membaca. Orang Malaysia mengisi waktu dalam komuter atau dalam LRT dengan mendengar muzik daripada MP3, atau mengelamun. Paling-paling membaca suratkhbar.

Demikian bezanya orang Jepun dengan orang Malaysia. DI Jepun di mana sahaja mudah menemui kedai buku. Sebaliknya di Malayisa di Kuala Lumpur pun kedai buku masih mudah dibilang dan mudah diingat kerana sedikit jumlahnya. Hanya beberapa buah kedai buku besar seperti MPH, Kinokunia, The Border, Popular Book dan beberapa buah kedai buku yang rata-rata diusahakan oleh orang India Muslim.

Bercerita tentang buku, seingat saya, cinta saya kepada buku mula berputik ketika di sekolah rendah. Minat membaca berkait dengan subjek yang diminati iaitu Karangan. Mengarang ialah satu matapelajaran untuk melatih kemahiran mengolah bahasa dan menyampaikan perasaan dalam bentuk prosa. Ketika di sekolah rendah, dalam tahun enam puluhan dulu, cikgu selalu memuji hasil kerja subjek Karangan saya. Pujian guru-guru itu rupa-rupa menjadi pembakar semangat yang sentiasa mendorong saya untuk meminati bidang penulisan. Selain menjadi pelajar terbaik dalam kelas, saya akan sering mengatasi rakan-rakan lain dalam subjek Karangan dan lukisan. Benarlah bahawa kecemerlangan itu sehingga kini masih membekas dalam diri saya. Malangnya bidang lukisan terpaksa dipinggirkan kerana di sekolah menengah saya memasuki aliran sains. Namun begitu minat terhadap lukisan masih terus menebal. Masih mengikuti perkembangan senilukis tanahair dan membaca rencana-rencana tentangnnya.

Sewaktu belajar di Izzuddin Shah di Ipoh, saya sering ke bandar Ipoh hujung minggu. Dan sebuah kiedai yang tidak lupa dikunjungi ialah Kedai Buku Sinaran Brothers. Suatu waktu dahulu ia juga merupakan sebuah penerbit buku di Pulau Pinang. Kedai buku di Ipon ini adalah cawangan runcitnya. Novel pertama yang saya beli di situ ialah Amrun, penulisnya sudah lupa. Bermula saat itu, saya akan membeli buku dan buku-buku itu akan menjadi koleksi yang sangat-sangat disayangi.

Tradisi membeli, membaca dan mengumpul buku diteruskan ketika belajar di Kolej Islam Kelang pada tahun 1969/70. Beberapa buah kedai buku di Kelang menjadi sasaran setiap kali keluar ke bandar. Walaupun waktu itu mengikuti aliran sains dan agama, namun minat kepada sastra begitu menebal. Saya memilih subjek sastra dalam SPM biarpun tidak pernah belajar di kelas kerana kami di kelas sains. Anehnya, apabila keputusan SPM keluar, saya terpilih sebagai pelajar terbaik matapelajaran sastra dan memenangi hadiah berupa sebuah buku iaitu Sejarah Islam.

Kolej Islam Kelang waktu itu terkenal dengan beberapa orang penyajak atau penyair yang sering menghasilkan karya berupa sajak. Sajak-sajak meeka sering diterbitkan oleh akhbar. Dua tiga akhbar popular waktu ialah Berita Minggu, Mingguan Malaysia dan Utusan Zaman (jawi). Ramai penyajak tanahair yang terkenal dilahirkan dari Kolej Islam termasuk zaman Kolej Islam Malaya. Antara meeka ialah Yahaya MS, Adirumi, Sabda S dan lain-lain. Tiap minggu saya akan membeli ketiga-tiga akhbar tadi dan memotong ruangan sajak dan sastra. Waktu itu nama penyajak-penyajak terkenal tanahair boleh diingat. Demikianlah minat terhadap sajak. Banyak buku-buku antologi sajak dalam koleksi saya.

Di Kolej Islam Kelang saya serius menulis, menulis untuk majalah Alun (yang dicetak secara cetakan stensil sahaja). Waktu itu Sabda S (Sujaidi Dasuki) menjadi Editornya. Juga menulis dalam Majalah rasmi Kolej iaitu Sinar. Ketika di tingkatan empat, rencana pertama saya keluar dalam majalah Qalam terbitan Singapura. Itulah rencana sulung yang diterbitkan. Betapa gembiranya hati ketika melihat rencana tersiar di majalah tersebut. Dlam hati berkata-kata: aku sudah jadi penulis. Ketika itu usia masih muda 16 tahun. Berikutnya rencana kedua keluar dalam Warta Jabatan Agama Johor, iaitu sebuah majalah agama yang terkenal juga di tanahair.

Setelah selesai SPM saya tidak ke tingkatan enam sebagaimana rakan-rakan lain. Sebaliknya mengajar sebentar di sekolah rakyat di kampung, kemudian melakukan pelbagai kerja termasuk di kedai percetakan. Waktu itu saya terus menulis rencana tentang agama dan sering disiarkan di dalam majalah Al-Islah yang diterbitkan oleh Tuan Hj Yusof Rawa di Pulau Pinang. Almarhum adalah bekas Presiden PAS. Pengarangnya ialah Ustaz Abd Mutalib Azmi. Almarhum kemudian rapat dengan saya setelah mengenalinya di Institut Harapan, Taiping sekitar tahun 1974/75. Al Islah menyiarkan beberapa buah rencana saya. Di samping itu saya mula menghantar rencana ke majalah lain termasuk Al Islam, Qiblat, Mastika (ketiga-tiganya terbitan Utusan Melayu), Dian di Kelantan dan Panji Islam di Kuala Lumpur. Pada tahun 1972 sebuah rencana mengenai Homeopathy diterbitkan oleh majalah Dewan Masyarakat. Ini satu lagi kejayaan saya dalam penulisan kerana berjaya mendapat tempat dalam sebuah majalah paling berpristej ketika itu. Padahal ketika itu usia saya baru 18 tahun. Kepuasan menghasilkan karya mendorong saya terus menulis. Waktu itu bayaran atau royalti dari rencana agak kecil. Dapatlah beberapa puluh Ringgit bagi sebuah rencana yang disiarkan. Ketika itu perhitungan kewangan tiada keutamaan pada saya. Menatap karya yang trsiar merupakan satu kepuasan yang tiada tandingnnya.

Ketika belajar di Maktab Perguruan Harian (kemudian ditukar kepada Maktab Perguruan Sri Pinang) di Pulau Pinang pada tahun 1973/74, ruang berkarya menjadi lebih terbuka. Ketika ini banyak rencana saya disiarkan oleh majalah tempatan. Asas karya masih lagi tentang agama dan sosial. Ketika di Maktab, saya menjadi Pengarang majalah Maktab.

Ketika di Pulau Pinag saya mula terdedah dengan buku-buku psikologi. Karya-karya Carnagie, Vincent Peale antara buku-buku yang banyak dalam koleksi saya. Walaupun penguasaan bahasa Inggeris ketika itu belum cukup baik, tetapi saya berusaha memahaminya kerana subjek psikologi dan pembangunan diri mula menawan minat saya. Hasil pembacaan buku-buku tersebut banyak mempengaruhi pemikiran dan sikap saya terhadap masa depan. Saya mula menulis tentang aspek-aspek psikologi tentang solat dan ibadat lain. Ia merupakan satu dimensi baru kepada saya untuk melihat agama dari sudut pandangan ilmu lain (bukan agama). Beberapa buah karya saya mula disiarkan di majalah termasuk al-Islam dan Mastika.

Pengaruh buku-buku psikologi popular itu begitu besar kepada perkembangan diri dan kerjaya saya. Setelah keluar Maktab saya menjadi guru tetapi dalam waktu yang singkat sahaja kerana pada tahun 1976 saya ke universiti melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah. Waaupun tidak belajar di tingkaktan enam namun saya lulus STPM dengan baik untuk membolehkankan saya layak ke universiti. Berkat kebolehan menulis membantu saya mencapai kejayaan dalam STPM melalui subjek sejarah, Kertas Am dan Ekonomi serta Bahasa/Sastra.

Semasa di Universiti Kebangsaan, waktu itu di Pantai Baru, Kuala Lumpur, saya sangat gembira kerana berjaya mendapat major dalam bidang yang saya minati iaitu Komunikasi, di samping Sejarah dan Persuratan Melayu. Kami adalah pelajar sulung Jabatan Komunikasi UKM. ketika itu ada dua tiga orang Pensyarah sahaja di Jabatan ini. Sebagai pelajar sulung, kami menghadapi pelbagai cabaran, antaranya kekurangan buku rujukan, jabatan pula tiada pengalaman. Sebagai perintis kami sama-sama merintis membangunkan Jabatan Komunikasi UKM. Kami terpaka ke perpustakaan Universiti Malaya di sebelah untuk mencari buku-buku rujukan di sana.

Saya dipilih untuk mengetuai akhbar Jabatan iaitu Nadi Bangi. Saya Editor sulung mengetuai aktiviti penerbitan akhbar Jabatan. Saya juga dipilih sebagai Yang Dipertua persatuan Komunikasi UKM (PERKOM)selama beberapa tahun. Nadi Bangi waktu itu mula dikenali sebagai akhbar kampus setelah beberapa tahun Akta Universiti Kolej menghalang penerbitan di kampus. Kami adalah pemberita, kami juga penyunting, kami juga menguruskan percetakannya dan kami juga menjadi jurujualnya. Itulah satu pengalaman yang sangat menarik tentang Nadi Bangi. Kami pernah menjaja Nadi Bangi sampai ke Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur. Waktu itu melakukan kerja-kerja begitu tidak membebankan kerana seronok dan puas melakukannya. Untungnya waktu itu kami mempunyai ramai rakan berpengalaman. Sebahagain daripada kami adalah bekas guru, bekas pegawai kerajaan yang telah bekerja sebelum menjadi siswa. Pengalaman beragam ini banyak membantu kami membangunkan Jabatan Komunikasi.

Semasa di kampus saya terlibat dengan pelbagai aktiviti kemahasiswaan. Turut menjadi Exco PMUKM selama dua penggal. Pernah memimpin Biro Kesenian dan Sukan. Memimpin kumpulan Artisukma (badan kesenian pelajar UKM) dengan membawa rombongan kebudayaan ke Sabah, Sarawak, Brunei dan Filipina. Di samping itu turut bersama dengan rakan-rakan penulis lain di UKM memajukan bidang penulisan. Waktu itu bidang persuratan dan kesusastraan di UKM memiliki ramai penulis baik karya kreatif mahupun deskriptif termasuk pensyarah dan siswa. Aataranya penulis kreatif di bidang puisi termasuk Rahman Shaari, Azmi Yusof, Nawawi Muhammad, Hadi Yusof, Haron A.H, Siti Zainon Ismail. Di bidang kreatif lain ialah Mana Sikana, Othman Putih, Ramli Isin dan lain-lain. Di bidang seni drama trdapat nama-nama seperti Mana Sikana, Ismail Kasan, Jalil Ahmad dan lain-lain.

Semasa di UKM saya berjaya menghasilkan buku sulung berjudul Sembahyang: beberapa pandangan falsafah, psikologi dan implikasi. Ia diterbitkan oleh Utusan Publishing & Distributors. Buku sulung ini menjadi mercutanda sebagai penulis. Setelah puas menghasilkan rencana, kini berjaya pula menghasilkan sebuah buku ketika masih di universiti.

Keluar Universiti, saya terus menjalani latihan praktikal kewartawanan di Berita Harian. Saya berhasrat untuk menjadi wartawan, namun selama enam bulan menjadi wartawan pelatih di BH itu, saya agak kecewa dengan layanan beberapa orang atasan (sebahagian mereka sudah tiada lagi) terhadap kami dari universiti ini. Mungkin mereka adalah wartawan lama yang tidak pernah ke universiti maka mereka semacam kurang senang dengan kehadiran kami. Faktor inilah yang menyebabkan saya berasa tidak betah di akhbar. ketika mendapat peluang kerja di bidang penerbitan di Bahagian Peruhubungan Awam Universiti Pertanian Malaysia, saya terus melamar kerja di sana. Mungkin bersesuaian dengan pengalaman dan latarbelakang pendidikan, saya diterima, dan bekerjalah selama 16 tahun, sebelum bersara awal.

Di UPM, kerjaya saya adalah penulisan dan penerbitan, di samping membantu kerja-kerja perhubungan awam. Tugas utama menghasilkan UNIPERTAMA buletin rasmi UPM. Setiap bulan diterbitkan. Sayalaha pemberita, penulis rencana, penyunting dan pengurus penerbitan sehingga ke peringkat pengedaran. Saya menggunakan sepenuhnya pengalaman lalu untuk membina imej UNIPERTAMA sebagai lidah rasmi UPM. Bermula dari konsep, kandungan dan bahan termasuk gambar-gambar dirancang sesuai dengan penerbitan rasmi organisasi. Ia ada kaitan rapat dengan aktiviti PR (Public Relation).