Wednesday, July 27, 2011

Subjek baru untuk ditekuni.


Beberapa hari lalu saya ke Medan, Indonesia untuk mengikuti program training di sana. Seperti biasa apabila ke mana-mana kota Indonesia, satu aktiviti yang tidak pernah ditinggalkan ialah mencari di mana lokasi Gramedia. Seboleh-bolehnya saya akan mencari Gramedia pusat atau gedung yang terbesar di kota tersebut.

Seiring dengan pemergian ke sana adalah dengan tujuan ilmu, maka mencari kedai buku sepopular dan sebesar Gramedia adalah menjadi satu kemestian. Oleh kerana program bengkel kami memakan masa hampir 12 jam sehari, maka masa sangat suntuk. Kali pertama ke Gramedia hanya sempat menghabiskan sekitar setengah jam sahaja kerana gedung buku itu sudah mula ditutup. Hanya sempat mencari buku-buku penting, antaranya buku yang disebut oleh pengajar di bengkel tadi. Oleh itu kunjungan kedua dapat dibuat pada hari akhir di Medan. Sempatlah berlama-lama di gedung buku ini.

Bersama Dr Rinno, pengajar kami, beliau membantu saya mendapatkan buku yang beliau sebut sebagai sebagai sebuah buku penting untuk dibaca. Lantas buku The Miraccle of the Endorphin tulisan Dr Shigeo Haruyama dibeli. Selain itu saya memilih beberapa buah buku berkaitan hypnosis di mana akhirnya tujuh buah buku dibeli. Buku-buku tersebut adalah 4 jam pintar hipnos karya Saiful Anam, seorang pengasas Indonesian Hipnosis Association; Hipnoterapi: prinsip-prinsip dasar praktik psikolterapi, karya YF La Kahija; Hipnoterapi: cara tepat @ cepat mengatasi stres, fobia, trauma @ gangguan mental lainnya, karya Andri Hakim; Belajar mudah ilmu Hipnotis, karya John Afi; Hipnotherapy for children karya Adi W. Gunawan; Secret of Hypnotherapy oleh Pavel Sovoka; dan Melakukan hipnoterapi agar daya ingat anda sekuat cakram, karya As’adi Muhammad. Selain itu dua buku NLP dan Ericksonian turut dibawa pulang.


Kegilaan membeli buku ketika di Indonesia telah menjadi tabiat sejak sekian lama. Di sana banyak tajuk-tajuk buku terbaru langsung diterjemahkan. Begitu juga dengan karya-karya penulis tempatan begitu banyak diterbit dan dipasarkan. Isu-isu semasa berkaitan pelbagai bidang ditulis. Jadi untuk kita hanya memilih bidang apa yang kita mahu. Inilah satu kelebihan yang tiada di Malaysia. Selain itu berbelanja buku di sana sangat jimat kerana harga buku-bukunya masih murah berbanding kos buku di Malaysia. Dengan bajet yang sama kita mampu membawa pulang lebih banyak buku.
Antara buku-buku popular di Indonesia yang sering diletakkan di bawa label ‘terlaris’ adalah tajuk-tajuk tentang pembangunan diri, motivasi, agama dan karya-karya penulis popular. Begitu juga dengan novel-novel penulis tempatan tersohor.

Menjelang Ramadhan diharapkan akan ada waktu yang banyak untuk menghabiskan bacaan dan penelitian ke atas buku-buku yang telah dibeli ini. Dengan itu hasrat untuk mendalami bidang hipnoterapi akan terlaksana, insyaAllah. Menekuni hipnosis diharap dapat menambah satu lagi ilmu dan kemahiran baru di bidang perawatan alternatif, di mana sebelumnya telah diberi kesempatan oleh Allah SWT mempelajari Reiki sehingga ke tahap Master. Begitu juga dengan kaedah Ruqyah. Selama tujuh bulan menekuni kuliah ruqyah bersama Ustaz Sarhan Shafei, alhamdulilLah sudah diakhir dengan kelas tafaqquh baru-baru ini.

Mendalami pelbagai dimensi ilmu terapi alternatif ini menjadi satu keghairahan baru. Mungkin waktu ini sudah tiba masanya secara serius membantu masyarakat yang nampaknya begitu derita dengan pelbagai penyakit emosi dan spiritual. InsyaAllah.