Wednesday, June 24, 2009

Buku tidak banyak di Sabah?

Sabah kini jauh sudah maju di segi pendidikan. Sabah sudah mempunyai sebuah universiti sendiri iaitu Universiti Malaysia Sabah, kampus UiTM, dan beberapa buah Institut Perguruan (dulunya Maktab Kent di Tuaran dan satu di Keningau). Di samping itu beberapa buah kampus cawangan pusat pengajian tinggi swasta juga terdapat di Sabah, khususnya di Kota Kinabalu.

Sabah juga mempunyai akhbar yang banyak. Akhbar-akhbar tempatan ini mempunyai pembaca dan pengikut setianya. Saya melihat orang Sabah lebih suka membaca akhbar tempatan mereka berbanding dengan akhbar nasional. Akhbar nasional lewat sampai ke sana, di samping itu harganya juga lebih mahal.

Kedai buku di Sabah agak sukar didapati. Kedai buku menjual buku-buku berbahasa Malaysia masih sangat kurang, berbanding dengan kedai buku Inggeris dan Cina. Kalau adapun, gerai dan kedai kecil di kompleks belibelah, yang menjual buku-buku bahasa Malaysia dan buku-buku agama.

Dari tinjauan saya, buku-buku yang dijual di Sabah berharga lebih mahal dari Semenanjung. Ini disebabkan oleh kos pengangkutan, pastinya. Namun begitu agak aneh apabila saya dapati buku-buku agama (antara buku yang ada pasaran baik) dijual dengan harga yang sangat mahal, malahan ada yang dua kali ganda daripada harga yang tercatat pada buku.

Harga yang lebih tinggi boleh diterima kerana kos pengangkutan. Tetapi harga yang berlipat ganda sudah tentu tidak bagus kepada semua pihak. Ia akan membebankan pengguna, kedua ia akan mengurangkan jualan, ketiga ia akan mengurangkan pasaran buku. Saya melihat buku-buku sudah menjadi usang kerana sering dibelek pembeli tetapi tidak dibeli. Secara peribadi saya merasakan faktor harga yang tinggi menyebabkan buku kurang laku dijual di sini.

Saya terfikir, mungkin juga penjual-penjual ini bukan sengaja menaikkan harga buku sebegitu tinggi. Mereka mungkin mendapatkan bekalan daripada beberapa tahap pembekal. Maknanya mereka tidak mendapat bekalan terus daripada pembekal besar, tetapi perlu melalui pembekal-pembekal di tengah. Ini mungkin menjadi faktornya. Faktor lain ialah kos premis yang tinggi. Umumnya kos sewa kedai di Sabah terutama dii Kota Kinabalu adalah sangat tinggi, berbanding Kuala Lumpur sendiri.

Saya melihat inilah nasib malang kepada peminat buku dan peminat ilmu di Sabah. Selain sulit mencari kedai bku, harga buku pula tinggi. Selain itu koleksi buku juga terhad. Kedai-kedai buku yang agak besar menjual buku-buku akademik, buku-buku sekolah sahaja kerana mungkin pasarannya besar dan pasti. Buku-buku bacaan umum tidak banyak dijual.

Oleh itu orang di Sabah yang benar-benar dahagakan ilmu dan penggemar buku, terpaksalah mendapatkannya di Kuala Lumpur kerana di sinilah tempat di mana pelbagai tajuk buku dipaarkan.


Penulis ketika meninjau keindahan Pulau Bum-Bum, Semporna, Sabah

No comments:

Post a Comment