Monday, December 21, 2009

Alam memberi ilham


Bumi adalah tempat kita dilahirkan dan tempat kita akan disemadikan nanti. Bumi dipanggil ibu kita (mother earth) kerana kita diciptakan dari tanah, dan di bumi kita menjalani kehidupan yang sementara ini. Allah SWT menyebut lebih 400 kali perkataan bumi dalam al-Quran, menyentuh tentang perbagai konteks. Demikianlah pentingnya bumi kepada kehidupan manusia.

Sebagai anak kampung, kami dibesarkan dalam lingkungan alam yang begitu rapat dengan kehidupan. Alam kampung masih segar menghijau di mana kampung kami dilingkungi bukit bukau dan gunung ganang. Waktu kecil kami terpaksa memanjat bukit bukau membantu orang tua mencari rezeki, di samping ke sawah padi. Lingkungan alam membesarkan kami dalam kesedaran terhadap kewujudannya. Puncak Gunung Bubu misalnya sentiasa menjadi inspirasi saya sejak kecil, kerana puncaknya yang tinggi sering dapat dipandang dari lingkungan kampung. Anak sungai dan anak air atau parit kecil menjadi tempat bermain, tempat memancing dan menangkap anak seluang dan siput sungai. Sejak kecil kami mengenali mergastua di persekitaran, kenal mana suara burung, mana suara kera, ungka dan siamang, mana suara enggang, mana suara pipit di sawah. Ia adalah satu kehidupan alami yang sukar dinikmati oleh anak-anak zaman ini lebih-lebih lagi anak-anak yang membesar di bandar.

Waktu bersekolah, alam sering menjadi objek dominan lukisan kami. Alam sekeliling, pohon-pohon, rerumputan, gunung ganang, sungai, matahari, bulan dan awan adalah bahagian alam yang sering dilakar dan dilukis. Kesannya sehingga kini, saya masih sangat menyintai lukisan-lukisan beraliran realisme dan nature, terutama lukisan cat air dan dakwat Cina. Burung dan ikan masih menjadi dua jenis mergastua yang sangat diminati, kerana kedua-duanya mempunyai nilai intrinsik dan mempunyai elemen terapi yang alami.

Ketika bersekolah menengah alam kampung sudah ditinggalkan. Kesibukan belajar dan persekitaran bandar telah memisahkan saya dari kehidupan waktu kecil yang dikelilingi alam hijau. Ketika belajar di Maktab Perguruan di Pulau Pinang, saya begitu teruja dengan keindahan laut di persekitaran Pulau Pinang. Waktu cuti hujung minggu saya sering menunggang motosikal keliling pulau melihat keindahan laut lepas di samping menikmati keindahan alam sekitar di sana. Keindahan pantai Padang Kota, Tanjung Bunga, Batu Feringgi, Teluk Bahang ketika itu begitu mempesonakan dan masih segar terbayang di ingatan. Malangnya kini air di kawasan tersebut sudah tidak sebersih dahulu akibat pencemaran yang melampau. Setelah bekerja, ketika cuti sekolah saya menunggang mooswikal menziarahi rakan-rakan maktab yang bertugas di pantai timur. Di sana saya sangat tertarik dengan keindahan pantai tanahair sperti pantai Teluk Cempedak, Sungai Karang di Pahang; Kijal, Kemasik, Rantau Abang, Batu Buruk di Trengganu; Pantai Cahaya Bulan, Bacok di Kelantan.

Ketika berkhidmat di Berita Harian, awal tahun 1979, saya berkesempatan mendekati aktivis-aktivis pencinta alam di mana mereka memperjuangkan beberapa isu alam sekitar waktu itu, antaranya penebangan hutan tropika, pengondolan bukit bukau sekitar bandaraya Kuala Lumpur dan petaka alam yang terjadi. Sejak itu hati saya begitu terpikat pada isu alam sekitar. Saya mula menulis rencana mengenai pelbagai aspek alam sekitar. Pada tahun 1982 saya menerbitkan buku GEJALA, sebuah koleksi rencana-rencana mengenai alam sekitar.

Ketika bertugas di Bahagian Perhubungan Awam UPM, saya berkesempatan mengikuti perkembangan aktiviti penyelidikan yang dijalankan oleh staf Universiti. Saya turut menulis tentang projek ternakan lebah madu di Johor yang sangat menarik minat saya. Tiga siri rencana tentangnya pernah disiarkan di Berita Harian waktu itu selain disiarkan dalam Unipertama, suratberita rasmi UPM, yang saya sendiri kendalikan. Saya juga pernah mengikuti aktiviti penyelidikan perikanan dan sains samudra ke Pulau Redang. Akhirnya saya mula didedahkan kepada pengetahuan tentang alam marin yang kaya dengan hidupannya.

Setelah bersara awal dan memulakan perniagaan sendiri pada tahun 1994, saya terdedah pula pada alam herba, satu bidang baru yang terpaksa saya dalami kerana ia menjadi perniagaan kami. Perniagaan ini membawa saya pergi jauh ke dunia herba, belajar memahami tentang tumbuh-tumbuhan herba yang menjadi sumber ubatan. Oleh kerana sebelum ini saya pernah belajar asas Homeopathy, maka ia membantu memudahkan saya memasuki bidang perubatan alternatif baru ini - terapi herba. Saya banyak berkongsi ilmu dengan isteri yang merupakan pengamal perubatan moden. Saya mendalami aspek perubatan moden daripadanya dan berkongsi pengalaman klinikalnya ketika menggunakan terapi herba.

Minat mendalami pengetahuan tentang herba, tentang rempah ratus yang menjadi asas jamu, membawa saya ke Indonesia di mana saya dapati di sana banyak sumber maklumat. Banyak buku-buku tentang herba, tanaman herba dan perawatan herba dibeli dan menjadi himpunan penting untuk rujukan. Di samping itu turut mengikuti kursus VCO di Malang dan belajar tentang pertanian organik di Bali. Saya juga turut menyertai Yayasan Padmajaya sebagai pelajar Reiki Tumo. Pelbagai kursus dari peringkat asas hingga ke Master diikuti di pelbagai kota seperti Jakarta, Bandung, dan Surabaya.


Minat untuk lebih memahami alam terus berkembang seiring perkembangan kerjaya baru, sebagai pengusaha produk kesihatan. Di sinilah saya mengenali Lingzhi, herba asal negeri China yang cukup berpotensi. Juga mengenali pelbagai jenis herba tradisional China dan India, memahami aspek ethnobotany, memahmi teknologi pemprosesan dan urusan pendaftaran produk dengan pihak berkuasa. Ketika mengkudu atau Noni begitu popular dulu, saya turut bereksperimen merumus formula minuman kesihatan berasaskan mengkudu, kemudian menanam dan memproses Roselle pula.

Sebagai penulis, kehidupan yang rapat dengan alam memberikan inspirasi segar tentang bahan-bahan yang banyak untuk ditulis bagi dikongsikan dengan pembaca. Tentulah tulisan tentang herba dan manfaat kesihatannya sangat-sangat diperlukan oleh pembaca terutama mereka yang mahukan kesihatan. Oleh itu menulis tentang aspek ini seolah-olah menjadi satu tuntutan pula. Buku-buku Kelebihan dan Manfaat VCO, Terapi VCO, Bicara Kesihatan bersama Dr Julidar, Lingzhi: herba ajaib, Dari Haid Ke Menopaus adalah beberapa buah buku yang terhasil dari penelitian tentang herba dan terapi herba.

No comments:

Post a Comment