Semua aktiviti berkaitan industri buku, termasuk penulisan, penerbitan dan percetakan adalah hasil dari tekad dan gerakerja yang didorong oleh keperluan pengguna mendapatkan ilmu, pengetahuan, maklumat atau informasi (hari ini orang menyebutnya sebagai I(information)CT atau K (knowledge). Semuanya bermula dari dorongan membaca, sesuai dengan ayat pertama al-Quran ketika diturunkan ialah perintah membaca atau Iqra'. Iqra' bermakna bacalah. Ia satu perintah, satu seruan dari Tuhan Pencipta manusia dan alam seluruhnya.
Membaca adalah aktiviti akliah yang berhubungkait dengan proses membangun minda, menjernihkan hati, mempertajamkan pemikiran, meluaskan pengetahuan, mengharmonikan emosi. Membaca dalam pengertian Iqra' adalah luas, meliputi aktiviti membaca teks bertulis (tersurat), dan juga membaca maklumat yang tersirat yang terdapat pada alam ini. Membaca maklumat tersirat adalah dengan menggunakan lebih banyak organ diri kita. Kita perlukan mata untuk melihat, telinga untuk mendengar, hati untuk mengerti, otak untuk berfikir, emosi untuk merasai, gerakkerja untuk mengkaji dan meneliti. Gabungan kesemua aktiviti indra zahir dan bathin itu akan menghasilkan satu kegiatan membaca yang tak tersurat (berfikir, mengkaji, meneliti, menyelidik dan mengujikaji).
Memahami makna Iqra' dalam konteks membaca yang tak tersurat, perlu merujuk kepada ayat al-Quran yang bermaksud: Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi dan peredaran siang dan malam itu terdapat tanda-tanda (ayat) bagi golongan Ulul-albab. Iaitu orang-orang yang mengingati Allah ketika berdiri, ketika duduk dan ketika berbaring, dan mereka sentiasa berfikir tentang kejadian langit dan bumi. Mereka berkata: "wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau jadikan semua ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka jauhilah kami dari azab neraka."
Al-Quran menyifatkan orang-orang yang sentiasa membaca ayat (tanda-tanda atau fenomena alam ini) sebagai Ulul-albab. Dalam pengertian semasa mereka adalah pemikir, ahli-ahli akademik dan saintis yang beriman dan berusaha memajukan ilmu melalui usaha keras berfikir, menyelidik, mengkaji dan menafsir fenomena alam. Di kalangan orang-orang Islam dahulu, lahir ramai golongan Ulul-albab di sepanjang sejarah. Mereka tidak sahaja alim dan arif dalam ilmu-ilmu agama tetapi juga dalam bidang falsafah, sains dan teknologi. Antara tokoh-tokoh yang dikenali sehingga ke hari ini adalah seperti Ibn Sina, Ibn Rusd, Al-Khawarizmi, Al-Razi, Al-Kindi dan lain-lain.
Islam berjaya melakukan satu transformasi agung merobah budaya jahiliah kepada budaya ilmu, merobah kehidupan liar umat Arab dan bangsa-bangsa lain kepada kehidupan penuh tamaddun (hadhari); adalah bersandarkan kekuatan semangat Ulul-albab ini. Iman membawa mereka tunduk patuh kepada perintah Tuhan; manakala dorongan Iqra' pula membawa mereka kepada pemikiran dan sikap positif, sesuai dengan kehidupan bertamaddun.
Islam mewajibkan umatnya mencari ilmu (menuntut ilmu itu suatu yang fardhu ke atas orang-orang Islam - pengertian Hadis). Kewajiban ini berhubung rapat dengan semangat Iqra' dan konsep Ulul-albab di atas. Perintah Iqra' ada kaitannya dengan usaha memajukan kehidupan manusia dan juga memajukan alam ini. Sebagai khalifah, manusia diberi tanggungjawab dan amanah untuk mengimarahkan alam ini sebagai tempat kehidupan yang aman, selesa dan makmur, walaupun kehidupan di sini hanya untuk sementara sahaja.
Manusia adalah makhluk berilmu. Berdasarkan kisah ciptaan Adam as, jelaslah bahawa Tuhan mencipta manusia adalah untuk melahirkan keagungan ilmu, apabila Adam as diajarkan ilmu oleh Tuhan. Ilmulah yang mengangkat darjat manusia lebih tinggi daripada makhluk lain.
Semangat Iqra' akan terus menyemarakkan aktiviti keilmuan. Sejak tamaddun awal, manusia sudah mula melakukan aktiviti keilmuan dengan mencatat maklumat-maklumat dalam bentuk tulisan dan lukisan pada bahan-bahan pepejal seperti pada batu, kayu, daun-daun (daun lontar antaranya), belulang, kain dan akhirnya pada kertas. Teknologi percetakan akhirnya telah membolehkan maklumat-maklumat tersebut diperbanyakkan melalui percetakan. Helaian-helaian maklumat itu kemudiannya disusun, dijilid menjadi buku.
Kini kemajuan digital telah membawa era baru kepada ilmu. Bahan-bahan ilmu dapat disediakan dalam tempoh yang singkat dengan bantuan komputer. Buku kini tidak sahaja dihasilkan dalam bentuk salinan kertas (hard copy), tetapi juga dalam bentuk cetakan digital (e-book) atau buku elektronik. Ia boleh dihasilkan dan ditatap melalui skrin komputer, dan disimpan dalam bentuk elektronik dalam chip-chip yang kecil saiznya tetapi mampu menyimpan data yang besar. Kemajuan ini juga membawa kita kepada kemudahan maklumat yang sangat luas dan terbuka. Bahan-bahan ilmu boleh diakses dari mana sahaja melalui skrin komputer daripada jaringan internet. mencari bahan ilmu tidak lagi memerlukan kita pergi ke perpustakaan, tetapi perpustakaan maya dapat dicapai melalui skrin komputer di rumah. Oleh kerana kemudahan internet dan komputer sudah boleh bergerak, bermakna kita boleh menelaah ilmu dari perpustakaan maya di mana sahaja kita berada (selagi ada kemudahan wi-fi).
Membaca untuk memperolehi maklumat atau ilmu, kini mudah dan juga murah. Banyak maklumat percuma disediakan untuk kita dalam zaman ICT ini. Terpulangkan kepada kita sendiri untuk berusaha mendapatkannya. Kalau dahulu, ilmu perlu diperolehi melalui buku, majalah dan jurnal dalam bentuk kertas (nyata), kini semuanya terdapat dalam bentuk digital. Ia pula dapat dicapai dalam tempoh yang sangat pantas, boleh disimpan, boleh disalin, dan juga boleh dikongsikan dengan orang lain (boleh dikirimkan melalui proses digital juga). Ini adalah satu keajaiban kemajuan ICT yang sangat efisien dalam kerja-kerja mencari ilmu.
Dahulu orang sering menyebut orang yang tidak pandai sebagai orang yang tak bersekolah. Hari ini ungkapan itu sudah lapok dan ketinggalan, kerana tanpa ke sekolah pun, seseorang itu boleh menjadi pandai, kerana kita mempunyai kemudahan internet yang boleh mencapai sumber-sumber ilmu tanpa had, dan boleh meraih ilmu secara global. Pengajian juga boleh dilakukan secara maya tanpa perlu hadir ke kelas. Bermakna tanpa bersekolah pun hari ini orang boleh menjadi pandai, boleh mendapat sijil, diploma dan ijazah.
Akhir-akhir ini orang sudah mula beralih kepada sumber maklumat digital berbanding dengan sumber maklumat di kertas. Surat khabar bercetak sudah kehilangan ramai pembaca dan pembelinya, apabila orang sudah menggunakan perkhidmatan akhbar digital (online). Pertama, mudah memperolehinya, hanya dengan membuka skrin komputer, buka window ke internet, masuk ke laman web atau blog. Dalam masa beberapa saat, akhbar sudah boleh dibaca. Kedua, maklumat ini adalah percuma, tanpa perlu membayar. Hari ini harga suratkhabar bercetak adalah mahal berikutan kos cetak dan kos kertas meningkat. Ketiga, akhbar digital menyajikan bahan dengan begitu pantas. Laporan-laporn penting dapat diketahui dalam masa singkat, sedangkan akhbar bercetak memerlukan masa sehari kerana ia bersifat penerbitan harian. Keempat, akhbar digital boleh menyajikan gambar dalam bentuk video, sedangkan akhbar bercetak tidak dapat melakukannya.
3 nasihat buat diri
-
Assalamualaikum. InshaAllah post kali ini saya kongsikan satu hadis dari
Riyadus Salihin, dari bab Muraqabah.
Dari Abu Zar, iaitu Jundub bin Junadah dan Ab...
11 years ago
No comments:
Post a Comment