Awal tahun 1976 ketika itu masih mengajar di Institut Harapan di Taiping, halaman akhbar menyiarkan keputusan peperiksaan STP atau Sijil Tinggi Pelajaran. Waktu itu keputusan peperiksaan persendirian akan disiarkan di akhbar. Syukur dan gembira bukan kepalang lagi apabila membaca nama sendiri terpampang dalam senarai calon yang lulus. Lulus dengan 3 prinsipal dan 2 subsidiary iaitu tiga kertas utama Bahasa Melayu, Sejarah dan Lukisan manakala kertas Subsidiary adalah Kertas Am dan Ekonomi. Kelulusan gred tidaklah cemerlang tetapi cukup syarat untuk memohon ke universiti.
Kelulusan tersebut sangat mengkagumkan kerana beberapa sebab. Pertama saya tidak pernah belajar di tingkatan enam dan tidak pernah mengikuti kelas formal untuk STP. Saya hanya belajar sendiri dengan membaca dan menelaah buku-buku yang saya pinjam daripada Suhaimi, adik saya yang telahpun mengambil STPnya tahun lalu. Dalam tempoh singkat kira-kira enam bulan sahaja saya menekuni usaha untuk lulus dan berazam ke univerisiti. Saya menggunakan sepenuhnya keazaman dan tekad mengukuhkan semangat dengan keyakinan dan harapan besar untuk merobah hidup - masuk universiti. Saya tiada pilihan melainkan menebus segala kegagalan saya selama ini, dan membuktikan diri saya boleh ke universiti biarpun tidak melalui sistem pengajian sempurna sebagaimana orang lain.
Saya banyak bergantung kepada kekuatan dalaman, dengan mendekati Tuhan dan memohon bantuan-Nya. Sering bangun malam bertahajjud dan kemudiannya membaca. AlhamdulilLah Dia mengizinkan. Saya lalui peperiksaan STP dengan tenang dan penuh yakin untuk masuk Universiti. Akhirnya dengan keputusan tersebut saya memohon memasuki universiti dengan pilihan pertama adalah Universiti Kebangsaan Malaysia. Waktu itu bilangan univesiti masih terhad, sementara tempat belajar di tiap-tiap universiti juga terhad. Sebab itu kejayaan memasuki universiti ketika itu merupakan satu kejayaan besar dan bermakna.
Sesi baru 1976/77 bermula dan saya mendaftar diri di kampus UKM Pantai Baru, bersebelahan dengan Universiti Malaya dan juga Maktab Bahasa (Maktab Perguruan Bahasa). Rakan-rakan sekolah yang memasuki universiti melalui sistem sempurna sebahagiannya telahpun keluar universiti dan mula bekerja, terutama di Universiti Malaya; manakala sebahagian lagi masih di tahun empat. Ramai juga rakan lama yang masih di tahun empat, masih sempat berjumpa dengan saya dan sama-sama di universiti selama setahun. Laluan saya sukar, maka saya lewat masuk universiti. Kelewatan itu tidak begitu dikesalkan kerana ia juga punya banyak hikmahnya di belakang hari.
Ketika mendaftar diri sebagai mahasiswa baru, saya hanya membawa wang RM200.00. Hanya itulah bekalan yang ada. Syukurnya waktu itu saya berpeluang tinggal di kolej (asrama) yang menyediakan makan minum. Jadi sayapun belajar dan tinggal serta makan-makan minum percuma sebelum mendapat biasiswa/pinjaman. Inilah keistimewaan waktu itu, makan minum dahulu, bayar kemudian. Setelah mendapat pinjaman daripada pihak MARA, barulah bayaran-bayaran ini dilangsaikan kemudiannya. Terima kasih banyak kepada UKM atas sistem penuh kebajikan ini.
Sebagai seorang siswa yang telah bekerja dan berpengalaman (ada orang panggil kumpulan kami ini mahasitua) mudah bagi saya menyesuaikan diri dengan persekitaran universiti. Ramai juga rakan-rakan mahasitua dari kalangan guru, kerani dan mereka yang sudah bekerja. Jadi tidaklah terasa diri terlalu tua apabila bersama kita ada orang yang lebih tua usianya lagi. Seronoknya apabila ramai rakan-rakan kuliah yang lebih muda memanggil kita sebagai 'abang'. Panggilan itu dirasakan penuh penghormatan dan penuh kekeluargaan. Maka ramailah adik-adik baik lelaki mahupun perempuan. Inilah keistimewaan mahasitua.
Kehidupan di kampus dan persekitaran Pantai Baru merupakan sebuah dunia baru yang begitu indah dan bermakna. Diri mendapat status baru sebagai mahasiswa universiti, satu status yang dibanggakan waktu itu. Masyarakat memandang tinggi kepada status tersebut kerana masa depan mahasiswa sudah terjamin. Waktu itu kerja yang bagus sedia menunggu mahasiswa. Tinggal di Kolej Pertama (dalam kampus) begitu selesa. Makan minum disediakan, kemudahan asrama menyediakan ruang sosial dan pergaulan yang kondusif. Kawan rakan begitu ramai. Apa lagi sejak tahun pertama, penggal kedua saya telah terpilih menduduki Jawatankuasa Siswa Kolej atau JAKSA Kolej Pertama. Biasanya JAKSA diduduki oleh mahasiswa tahun 2 ke atas. Kebetulan saya layak menduduki jawatankuasa tesebut kerana seorang ahli JAKSA biro penerbitan meletakkan jawatan. Kekosongan membolehkan saya bertanding dalam pilihanraya Kolej. Dalam pilihanraya kecil itu saya menang dengan mengalahkan senior. Kemenangan itu mungkin ada kaitan dengan pengalaman dan bidang penerbitan yang serasi dengan saya.
bermulalah satu pengalaman baru apabila dilantik menjadi Setiausaha Penerbitan dan menduduki JAKSA, satu jawatan penting dan berpengaruh di Kolej. Kolej Pertama waktu itu merupakan kolej kediaman yang paling dikenali, dan ia dikuasai oleh kumpulan yang sering dilabelkan 'liberal' sedikit. Tugas saya ialah menguruskan beberapa penerbitan Kolej. Antarnya berita Kolej, diterbitkan secara stensilan seminggu sekali. Selain itu saya menerbitkan Forum Siswa sebuah akhbar yang mendapat permit KDN. Waktu ia adalah satu-satunya penerbitan siswa yang mendapat KDN kerana kawalan ketat Akta Universiti. Saya berjaya menerbitkannya beberapa isu. Selain itu terdapat juga majalah tahunan Kolej yang brnama ...........
JAKSA waktu itu dipimpin oleh saudara Anuar Zaini (kini Dato' Seri). Anggota lain ialah Zaim Abu Hassan (kini Dato', bekas Exco Kerajaan Perak), Hashim Yahya (taukeh HR Markekting), Osman Masri (guru di Perak), dan beberapa orang lagi. Waktu itu Pengetua Kolej ialah al-Marhum Profesor Dato' Dr Ahmad Fauzi Basri (bekas Naib Canselor UUM). Waktu itu beliau adalah Pegawai Pentadbir UKM (Bahagian Hal Ehwal Pelajar). Sebelumnya beliau pernah bertugas sebagai Tutor Sejarah di Jabatan Sejarah UKM. Saya begitu rapat dengan beliau. Selain hubungan tugas yang mewakili penghuni Kolej dengan Pengetua, latarbelakang kami yang berasal dari Perak, juga mungkin jarak umur pun tidak jauh, menjadikan hubungan kami berdua begitu rapat. Beliau seorang yang peramah dan mesra dengan pelajar. Muungkin juga kerana latarbelakang beliau yang pernah aktif semasa mahasiswa dulu dan pernah menjadi orang kuat GPMS, menjadikan beliau begitu mesra-siswa. Beliau seorang yang kreatif, banyak idea dan juga rajin menulis. Ciri-ciri ini agaknya mendekatkan kami. Hubungan kami tidak terputus apabila saya menamatkan pengajian di UKM, kerana setelah tamat saya bertugas di Univeristi Pertanian Malaysia (UPM), kami masih berhubung. Kebetulan pula saya turut terlibat dengan PALAPES di mana Dr Ahmad Fauzi adalah orang kuat PALAPES UKM. Beliau antara pencetus idea penubuhan PALAPES di UNiveristi, dan nama PALAPES juga kalau tidak silap saya ilham beliau sendiri. Melalui PAlAPES kami sering diketemukan. Kemudian pada tahun 1989 kami sekali menjadi dekat kerana bersama-sama dalam satu rombongan haji tahun itu. Waktu itu beliau saudah berada di Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai tenaga pengajar di sana. Kalau tidak silap beliau sudahpun memperolehi PhD. Beliau akhirnya dilantik menjadi Komandan PALAPES dan sebagai Naib Canselor UUM, satu jawatan tertinggi di universiti. Ketika beliau sakit, saya mendapat maklum beliau tidak sedar beberapa bulan sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.
Dato' Dr Ahmad Fauzi adalah juga seorang penulis. Beliau banyak menghasilkan buku-buku sejarah yang mana sebahagiannya ada saya simpan. Salah sebuah bukunya adalah mengenai Askar Wataniah. Beliau menulis sejak zaman siswa lagi. Kebolehannya menulis banyak membantu beliau maju baik dalam akademik mahupun dalam pengurusan. Beliau dilantik menjadi Naib Canselor kerana meritnya. Selain cemerlang dalam bidang akademik, banyak menghasilkan penulisan, beliau juga berpengalaman dalam pentadbiran univerisiti. Beliau memiliki puluhan tahun pengalaman mentadbir, sejak di UKM lagi, kemudian ke UUM. Al-Fatihah untuk arwahnya, semoga ALlah tempatkanmu bersama Sholihin, amin!
Dalam tahun pertama di UKM saya sudah dibawa aktif dalam persatuan. Bakat kepimpinan dan pengalaman memimpin semasa di Maktab banyak membantu. DI samping itu kebolehan menulis juga ada sahamnya. Saya dibawa menyertai Biro Penerbitan Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) sebuah badan induk siswa yang diktiraf oleh universiti dan mahasiswa sendiri. Kehadiran dalam Biro ini membawa saya menyertai rakan-rakan penulis yang aktif di UKM waktu itu. Antara mereka ialah Azhar Ibrahim, Azmi Yusof, Hadi Yusof, Harun A H, Nawawi Muhammad. Kerana ramainya penyajak/penyair di UKM waktu itu mereka menubuhkan Grup Pemuisi UKM. Saya tidak ikut aktif dalam kumpulan tersebut. Kami turut menganjurkan Kursus Kewartawanan, satu program tradisi PMUKM. Kursus ini dikendali oleh penulis/wartawan berpengalaman, dengan kerjasa Dewan Bahasa Dan Pustaka. Ketua Pengawah DBP waktu itu Pak Krismas, pernah merasmikan kursus anjuran kami itu.
Oleh kerana saya begitu sibuk dan seronok menguruskan penerbitan di Kolej Pertama, saya tidak begitu aktif dalam Biro Penerbitan PMUKM. Selain dari dua badan ini, saya juga dilantik sebagai Pengarang Nadi Bangi, akhbar Jabatan Komunikasi di mana saya juga dilantik sebagai Presiden Persatuan Komunikasi (PERKOM) yang pertama. Saya jadi begitu sibuk dengan aktiviti, aktiviti berkaitan penulisan dan penerbitan. Syukurlah kerana ini adalah bidang saya, minat saya, maka ia tidak dirasakan sebagai beban. Saya begitu puas menyengkang mata menyiapkan kerja-kerja yang dipertanggungjawabkan. Syukurlah kerana bakat dan kebolehan menulis yang ada menjadikan kerja-kerja menulis, menyediakan bahan dan menguruskan penerbitan mudah dan tidak mengambil masa. Bayangkanlah waktu itu kuliah terus berjalan, tugasan ada sahaja untuk diselesaikan. Namun kerana minat di bidang ini, saya rasa lebih banyak masa saya dihabiskan dengan aktiviti-aktiviti ini.
Oleh kerana salah satu subjek major saya adalah Komunikasi selain sejarah dan Persuratan melayu, maka bagaimana sibuk pun kerja saya di bidang penulisan dan penerbitan, ia sangat membantu pengajian saya. Pesuratan Melahyu juga banyak memerlukan kerja menulis, menyediakan bahan-bahan untuk perbincangan tutorial. Menyeidkan tugas di bidang Persurat menjadi mudah kerana kemahiran menulis yang sedia ada. Kalau tugas yang diberi kepada kumpulan, biasalah adik-adik dalam kumpulan ini akan menyerahkan tugas menyiapkan tugasan kepada saya. Kerana mereka tahu saya lebih tua, dan ada kebolehan menulis, maka saya sering menjadi sasaran dan dipikulkan beban menyiapkan tugasan. Saya tidak pernah menolak kerana saya merasa kerja menulis itu 'kerja biasa' dan menyeronokkan. Tugasan ini akan selesai apabila mesin taip mula diketuk. Berjam-jam kemudian ia sudah siap untuk disemak dan dikemaskan. Inilah agaknya mengapa ramai adik-adik dalam kumpulan pengajian begitu rapat dan senang dengan abangnya.
Di Jabatan Komunikasi saya diberi tanggungjawab memimpin Persatuan Komunikasi dan mengendalikan akhbar Nadi Bangi. Oleh kerana kami adalah pelajar sulung Jabatan ini, kami adalah peneroka dan perintis yang terpaksa melakukan pelbagai tugas yang sebahagiannya tiada pun dalam tugasan rasmi. Satu yang istimewa kami di Jabatan Komunikas baik sesama siswa mahun dengan pensyarah, kami begitu akrab dan berkerja sebagai satu keluarga. Banyak masa dihabiskan di Jabatan untuk berbincang, bertukar pendapat, dan menjalankan pelbagai kerja. Waktu itu Jabatan mempunyai beberapa orang Pensyarah sahaja. Ada yang dipinjamkan dan ada pula Pensyarah yang bercuti belajar. Hanya dua tiga orang Pensyarah yang mengajar waktu itu iaitu Encik Mansor, Cik Farizah Jaafar dan Tuan Syed Arabi Aidid (cuti belajar). Kemudian barulah datang beberapa orang pensyarah baru membantu. Ketika Nadi Bangi diasaskan, saya diberi tanggungjawab menjadi pengarangnya. Encik Mansor adalah sebagai Ketua dan penasihat kami. Penglaman beliau sebagai seorang bekas wartawan memudahkan kerja kami. Di samping itu beberapa orang wartawan kanan akhbar juga turut membantu kami. Kami bermula dari sifar. Tugasan berita iaitu salah satu sabjek akademik, kami olah menjadi bahan berita. Begitu juga dengan rencana dan bahan lain. Iklan-iklan juga terpaksa dicari, dan ia berkait dengan tugasan kertas pengiklanan. Selesai kerja mencari bahan, bahan-bahan tersebut disunting, kemudiannya dihantar setting sebelum dibuat susunatur (lay-out)nya. Saiz Nadi Bangi ialah saiz tabloid.
Syukurlah kerana sebahagian besar daripada kami adalah orang lama, yang pernah bekerja sebelum menjadi siswa. Beberapa orang bekas guru, bekas pegawai dan lain-lain. Inilah yang membentuk satu pasukan yang matang dan mantap, dan membolehkan kami bekerja secara berkesan. Saya, Dahari, Azizah, Rahmah adalah bekas guru. Sahamsudin, Abdul Rahman, Asiah juga pernah bekerja. Pada saya Jabatan Komunikasi adalah tempat membentuk bakat, menggali pengalaman dan tempat membentuk diri. Ia bukan sekadar sebuah jabatan akademik. Kami belajar banyak perkara di sini, melebihi subjek akademik yang tersurat. Banyak pengalaman tesirat di sebaliknya.
Kami berasa turut sama-sama membina Jabatan. Selain melahirkan Nadi Bangi yang menjadi kebanggaan bukan sahaja Jabatan Komunikasi dan Fakulti SKK tetapi juga universiti; melalui PERKOM kami juga menganjurkan pelbagai aktiviti yang menonjolkan nama baik Jabatan. Walaupun sebuah Jabatan baru dengan bebeapa kerat pegawai dan kakitangan tetapi ia cepat menonjolkan dirinya di kalangan masyarakat kampus. Kami sedar kami berdepan dengan pelbagai kekurangan. Buku-buku rujukan masih sangat kurang, tenaga pengajar tidak mencukupi, kemudahan jabatan masih menumpang. Namun begitu kekurangan itu membangkitkan semangat juang yang tinggi di kalangan kami. Kami bekerja keras menghhasilkan sesuatu daripada kekurangan ini. Al-handulilLah kemudian hari Jabatan berjaya menghasilkan barisan siswazahnya yang berjaya di bidang masing-masing. Beberapa orang daripada kumpulan kumpulan pertama dan kedua berjaya menjadi pensyarah seperti Profesor Dr Shamsuddin Rahim, Dr Dahari Othman, Dr Rahmah Ismail, Dr Ummithevi dan lain. Sebahagian lagi menjadi petugas media seperti Zaharuddin Pilus (RTM), Mohammad Mat Hussein, Asiah Yusof (NST) dan lain-lain. Ramai juga yang menyertai perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik dan menjadi guru. Saya percaya ramai lagi siswazah berikutnya yang kini berjaya di bidang komunikasi dan bidang-bidang lain.
3 nasihat buat diri
-
Assalamualaikum. InshaAllah post kali ini saya kongsikan satu hadis dari
Riyadus Salihin, dari bab Muraqabah.
Dari Abu Zar, iaitu Jundub bin Junadah dan Ab...
11 years ago