Tahun 1973 ketika rakan-rakan sekolah dulu memasuki universiti, saya melaporkan diri ke Maktab Perguruan Harian, Greenlane Pulau Pinang. Maktab tersebut asalnya sebuah sekolah China dengan bangunan setingkat sahaja. Maktab perguruan Harian ini kemudiannya ditukar nama kepada Maktab Perguruan Seri Pinang. Sesudah kami keluar, Maktab ini berpindah ke lokasi dekat Gurney Drive. Maktab ini melatih guru-guru untuk sekolah rendah Kebangsaan dan China. Jadi jumlah guru pelatih Melayu dan Cina hampir sama banyak. Kelas kami bercampur dengan menggunakan Bahsa Melayu. Ramai pensyarahnya adalah berbangsa China. Jadi kuliahnya dalam bahasa Melayu bercampur Inggeris, dengan slanga Cina.
Pertama kali berada di sini saya merasa canggung juga, kerana latarbelakang persekolahan saya agak berbeza. Saya dari sekolah agama, dan sepanjang 11 tahun bersekolah hanya bergaul dengan rakan-rakan Melayu. Di sini sepapruh pelajar Maktab adalah orang China. Saya secara positif mula menyesuaikan diri dengan pergaulan baru, dengan belajar mengenali adat dan budaya rakan-rakan China. Akhirnya saya mendapati tiada masalah. Cuma sentimen keagamaan masih kuat dalam benak saya, kerana saya dari sekolah agama, sekolah Arab. Latarbelakang inilah yang menyebabkan saya diberi kepercayaan oleh rakan-rakan untuk memimpin Persatuan Pelajar Islam. Semasa memegang jawatan ini, kami menjalin hubungan dengan Persatuan sama di Maktab perguruan Persekutuan Bukit Gelugur. Kami mengadakan aktiviti bersama dengan mereka. Kami juga membantu Maktab menganjurkan kelas-kelas agama yang dibimbing oleh Ustaz Taib Ahmad dan Hj Harusani Zakaria, Kadi Besar Pulau Pinang waktu itu (kini Mufti Perak). Pergaulan di maktab inilah yang merobah sikap saya terhadap kehidupan pelbagai bangsa, dan saya menjadi lebih terbuka dan menerima realiti kehidupan majmuk Malaysia.
Saya memohon memasuki Maktab kerana ingin bekerja tetap, setelah dua tahun menganggur tiada kerja tetap. Sedangkan sebahagian besar rakan-rakan sudah jadi kerani, jadi penghulu dan lain-lain. Permohonan bejaya setelah menjalani temuduga di Ipoh. Saya perlu jalani latihan perguruan selama dua tahun untuk memperolehi Sijil Perguruan (Cert. Ed.) yang melayakkan diri menjadi guru di sekolah rendah.
Dua tahun di Pulau Pinang membuka dimensi baru bagi saya. Pertama kali menjejak kaki ke Pulau Pinang, terasa asing pada awalnya. Oleh kerana Maktab ini maktab harian, ia tidak mempunyai asrama. Kami terpaksa mencari tempat tinggal sendiri. Pertama kali memunmpang di rumah saudara. Kemudian saya tinggal di asrama Sekolah Arab Al-Masyhur yang letaknya di tengah-tengah bandar (kini bangunan Komtar). Di situ saya bersama dua orang rakan lagi, Mohd Nor dan Mohd Hazir Ismail (kini Dato', bekas ADUN Merbau Pulas, Kedah) tinggal. Kami berbasikal ke Maktab. Jaraknya agak jauh juga, tetapi perjalanan melalui bandar tidak terasa. Berbasikal di tengah bandar tidak jadi masalah kerana ramai orang berbasikal di sini. Walaupun sibuk dan sesak, tetapi perjalanan tiada masalah. Semasa di Al-Masyhur ini saya turut mengajar kelas tambahan kepada murid-murid Al-Masyhur bagi pelajaran akademik, terutama subjek bahasa dan sastra. Waktu itu Pengetua Al-Mashyhur ialah Ustaz Othman Bajenid, bapa kepada Dato' Dr Ibrahim Bajenid, seorang tokoh pendidikan tanahair. Ustaz Othman ada menulis sebuah kamus Arab-Melayu bernama Kamus Bajenid. Ada juga masuk duit tambahan ketika mengajar kelas tambahan. Elaun maktab waktu sekitar RM150.00 sebulan. Hidup sederhana, wang sebegitu sudah cukup. Makan minum tiada masalah kerana banyak kedai dan gerai di sepanjang Jalan Pinang dan sekitarnya. Di sini saya mula belajar makan nasi kandar, makan capati, tosai, nan dan masakan Pulau Pinang. Waktu itu harga makanan masih murah.
Sebenarnya banyak tempat kami tinggal. Beberapa kali berpindah randah. Pernah tinggal di Jalan P.Ramlee, Sg Pinang, Bukit Gelugur. Ada kalanya tinggal bersama tuan rumah (menyewa bilik) dan ada menyewa rumah. Pada tahun kedua, saya membeli motosikal cub (Honda cub 70cc). Hari ini orang menyebut Kapcai. Dengan Honda ini saya berulang alik ke Maktab dengan lebih cepat dan selesa. Ia juga memudahkan pergerakan balik ke kampung waktu cuti.
Di Maktab perguruan, selain mata pelajaran akademik, kami dikehendaki menjalani latihan ko-kurikulum yang pelbagai jenis termasuk permainan dan muzik. Saya menyertai pasukan pengakap dan pernah mengikuti kursus asas manik kayu untuk menjadi pemimpin pengakap. Di samping itu saya aktif dalam Persatuan Islam, dengan menjadi Presidennya. Sementara itu saya juga turut menjadi Setiausaha Agung Persatuan Penuntut Maktab, dan menjadi Pengarang Majalah Maktab.
Bakat dan minat menulis terus dikembangkan semasa di Maktab. Saya dilantik menjadi Pengarang Majalah Maktab, Berjaya namanya. Majalah tahunan ini adalah majalah rasmi Maktab di mana semua aktiviti Maktab direkodkan di dalamnya. Selain itu terdapat juga sumbangan rencana daripada para pensyarah dan pelajar. Seorang Pensyarah bahasa bernama Encik Zainal Akbar Zainal Abidin. Beliau adalah adik Zainal Alam, pencipta dan penggubah lagu tanahair. Encik Zainal Akbar ini mengajar juga tulisan jawi. Beliau sangat mengingati saya dengan tulisan jawi, kerana saya boleh menulis jawi dengan tulisan atau khat yang cantik. Beliau selalu meminta saya menulisnya di papan hitam. Ketika kami bertemu semula di Mekah, waktu Haji tahun 1989 beliau agak lupa pada saya. Tetapi apabila disebut, pelajar yang selalu menulis jawi tu, dia segera mengingati semula.
Waktu di Pulau Pinang, saya sudah mampu membeli buku kerana ada wang elaun. Minat saya beralih kepada subjek-subjek psikologi dan pendidikan. Mungkin pengaruh mata pelajar pendidikan, falsafah pendidikan,dan psikologi yang diajar di Maktab. Saya banyak membeli dan membaca buku-buku bina diri (
self development) karya Dale Carnagie, Norman Vincent Peale dan Napoleon Hill. Antara buku yang masih tersimpan dengan baik ialah buku
The Power of Positif thinking, karya Norman Vincent Peale. Buku setebal 300 halaman itu sangat saya kagumi. Ia merupakan pembuka minda ke arah berrfikir kreatif dan berfikir positif. Begitu juga dengan huku
Think and grow Rich karya Napoleon Hill. Buku-buku pembangunan diri ini sangat memberi kesan kepada pemikiran dan pembangunan sakhsiah saya sendiri. Di Maktab inilah saya mula menyerlahkan bakat kepimpinan melalui Persatuan Pelajar Islam dan juga Persatuan Penuntut. Saya dipilih sebagai Presiden Persatuan Pelajar Islam dan Setiausaha Agung Persatuan Penuntut.
Pemikiran, sikap dan sakhsiah saya hari ini adalah kesan daripada pembacaan buku-buku psikologi popular dan pembangunan diri itu. Waktu itu penguasaan bahasa Inggeris saya semakin baik, dengan itu membaca buku-buku Inggeris sudah bermula dengan baik. Di samping membaca saya terus menulis. Saya mula menulis tentang agama melalui pendekatan pemikiran positif dan kreatif ini. Saya menulis tentang solat dan kaitannya dengan psikologi. Rencana-rencana tersebut tersiar dalam majalah Utusan Qiblat dan Mastika. Koleksi rencana-rencana itu akhirnya saya bukukan sebagai buku sulung berjudul
Sembahyang: beberapa pandangan falsafah, psikologi dan implikasi, terbitan Utusan Publication & Distributors pada tahun 1978.
Subjek psikologi popular dan pembangunan diri terus menjadi antara subjek pilihan saya di samping agama dan falsafah. Saya mula membuat koleksi buku-buku. Buku-buku yang dibeli, dibaca akan disimpan dan disusun dengan baik. Di rumah sebuah almari ditempah untuk memuatkan khazanah buku-buku dan majalah koleksi saya sejak zaman sekolah lagi. Ia menjadi harta saya yang sangat berharga. Kerana sayangkan buku, saya masih mengingati buku-buku saya yang dipinjam orang tetapi tidak dipulangkan semula.
Akhir-akhir ini saya terlibat serius mengembangkan pemikiran positif untuk diri saya sendiri dan juga berkongsi dengan orang lain melalui program latihan (kursus motivasi, pembangunan diri, pemasaran dan lain-lain) dan juga melalui penulisan. Buku
Membina Impian diterbitkan oleh PTS Millenium adalah sebuah buku tentang membangunkan pemikiran positif untuk meraih kejayaan. Buku ini dimajukan dari kesedaran memprakttikkan bahan-bahan bacaan tentang pemkiran positif, sejak zaman Maktab ini. Buku ini mula ditulis dalam tahun 1996 ketika saya mula mendaki kejayaan dalam perniagaan. Sebahagian isinya adalah pengalaman saya sendiri menggunakan sepenuhnya kaedah pemikiran positif dalam memajukan diri sendiri. Sebab itu buku ini bolehlah dikatakan satu bukti penghayatan penuh yakin akan kaeda-kaedeah membangunkan diri melalui pemikiran positif.
Terima kasih kepada pengarang-pengarang terkenal seperti Dale Carnagie, Norman Vincent Peale, Napoleon Hill, M.R.Kopmeyer, Zig Ziglar, Robbert H. Schuller, Denis Waitley, Frank Newman dan lain-lain. Buku-buku mereka memberi impak kepada perkembangan pemikiran saya selama ini.
Gambar atas: Majalah Berjaya, bawah: buku-buku yang memberi inspirasi
No comments:
Post a Comment