Semalam adalah 17 Ramadhan di mana tarikh itu begitu penting kepada kita jamaah Muslimin kerana ia adalah tarikh al-Quran diturunkan dari Luh Mahfuz ke langit dunia, kemudian diturunkan ke bumi berperingkat-peringkat selama 23 tahun, ketika Rasulullah SAW di Mekah dan di Madinah. Al-Quran adalah satu-satu kitab Tuhan yang masih terpelihara hingga ke hari ini, dan ia dijamin akan terus dipelihara oleh Allah SWT sendiri. Sedangkan sebelumnya telah diturunkan beberapa buah kitab kepada para Rasul sebelum ini, namun kitab-kitab itu sebahagiannya telah dirobah dan dirosakkan oleh manusia. Contohnya Injil yang asalnya diturunkan dari langit, tetapi kini telah dirobah dan ditulis semula oleh orang-orang Kristian dalam pelbagai versi, dan ia akan terus dihasilkan versi-versi baru mengikut nafsu pemimpin mereka yang berkepentingan dari masa ke semasa.
Syukurlah kita kerana Allah SWT terus memelihara al-Quran sebagai satu-satunya kitab Allah yang masih kekal tulen, murni dan terpelihara. Hampir 1500 tahun ia telah terpelihara dan kita yakin ia akan terus terpelihara. Al-Quran itu menurut al-Quran sendiri diturunkan kepada umat manusia untuk dijadikan petunjuk, mengandungi penjelasan tentang petunjuk dan juga sebagai pembeza antara yang benar yang salah. Sebagai petunjuk atau hidayah, al-Quran merupakan panduan hidup untuk umat manusia seluruhnya, walaupun diimani oleh orang-orang Mukmin sahaja.
Ketika pertama kali malaikat Jibril menurunkan ayat pertama al-Quran, ia berupa perintah membaca (Iqra). Nabi SAW disuruh membaca, sedang beliau adaalah seorang ummi yang tidak tahu membaca. Lalu diajar oleh Jibril melalui ayat pertama yang maksudnya
"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah mencipta manusia daripada segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Paling Pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan qalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya."
Bacalah adalah ayat perintah dan yang memerintahkan kita mnembaca adalah Allah SWT sendiri, Tuhan kita dan Tuhan seluruh alam. Kenapa kita diperintahkan membaca, tetntulah ia sangat sinonim dengan ilmu, manakala ilmu pula adalah satu ciri penting fitrah manusia. Ingatlah apabila manusia pertama dicipta iaitu nabi Adam AS, dia diberi ilmu sebagai satu kelebihan dan keistimewaan yang melebihi daripada makhluk lain. Nabi Adam AS diajarkan nama-nama benda yang membolehkan dia mengenali benda-benda tersebut. Inilah ciri unik manusia yang bakal diutus ke bumi menjadi pentadbir atau khalifah Tuhan.
Dengan kelebihan ilmu pada manusia, tentulah ada misi ilmu yang perlu ditanggung oleh manusia. Misi ini semakin jelas kerana semua ajaran agama yang diturunkan dari langit adalah intipati ilmu yang sangat diperlukan manusia bagi membolehkan mereka menyempurnakan tugasan kekhalifahan di bumi. Semua kitab termasuk al-Quran adalah rujukan tulen tentang ilmu-ilmu Tuhan itu.
Satu fakta yang keliru dan tidak boleh dipegang ialah
kelebihan akal manusia boleh menyelamatkan manusia. Biarpun akal adalah satu keistimewaan manusia yang dapat digunakan untuk berfikir, namun akal semata-mata tidak dapat menyelamatkan manusia. Keupayaan akal manusia sangat terhad. Ia hanya berfungsi dengan wujudnya pancaindra lain yang membantu membawa masuk informasi seperti penglihatan, pendengaran, bau, rasa dan sentuhan. Akal juga bersifat terbatas, terbatas pada ruang waktu dan lingkungan. Sebab itu logika akal akan sentiasa berubah-ubah mengikut peredaran masa. Keterbatasan ini menyebabkan manusia tidak mampu menerokai maklumat-maklumat ghaib. Akal akan hanya mempercayai sesuatu yang nampak, boleh didengar, dirasa, dicium dan disentuh sahaja. Akhirnya kebenaran tidak dapat dizahirkan hanya dengan akal kerana akal dan logikanya akan menerima yang lahriah sahaja.
Di samping itu akal tidak mampu memikiri hal-hal abstrak, hal-hal metafizik dan urusan ghaib. Dengan hanya berpandukan akal, manusia tidak akan dapat menemui kebenaran apa lagi menemui Tuhan Pencipta. Walaupun akal membantu merumuskan ilmu secara empirikal, namun kebenaran ilmu itu tidaklah mutlak. Contohnya logika akal berubah-ubah dari satu zaman ke satu zaman. Logik akal orang zaman 1000 tahun lalu, tidak dapat menerima hakikat bahawa manusia boleh terbang lebih laju daripada burung. Mereka tidak akan percaya dan akan mengatakan hal itu mustahil. Namun hari ini semua orng percaya hakikat tersebut kerana kita sudah dapat bergerak di angkasa dengan begitu pantas dengan pesawat terbang.
Oleh itu akal semata-mata tidak boleh dijadikan sandaran kepada ilmu. Ia adalah faktor sekunder yang membantu mengembangkan ilmu, namun ia tidak boleh dibenarkan memandu atau menerajui ilmu. Hati adalah tempat ilmu yang sebenar kerana ia diciptakan Tuhan untuk menampung ilmu, khususnya ilmu dari langit. Hati dengan ciri-cirinya yang sangat unik dan ia mempunyai keupayaan radar untuk menangkap maklumat samawi. Dengan akal, manusia akan melihat dulu, kemudian baru percaya. Maka akal hanya akan percaya kepada apa yang ia lihat, apa yang ia dengar, apa yang ia cium, apa yang ia rasa dan apa yang ia sentuh. Hanya melalui gerbang pancaindra yang lima itu, akal dapat berfungsi. Berbeza dengan akal, hati manusia dicipta khusus untuk percaya kerana ia mempunyai gerbang ruhaniah untuk menerima hal-hal ghaib. Sebab itu iman, keyakinan atau kepercayaan adalah bertempat di hati. Dan hati akan selalu selau percaya dahulu, kemudian baru lihat.
Perkembangan mutakhir tentang kajian sains terhadap minda manusia dapat membantu kita memahami fungsi akal dan hati dengan lebih jelas lagi. Kajian tersebut menunjukkan dari perspektif minda, manusia memiliki minda sedar dan minda separa sedar (
conscious mind and subconscious mind). Minda sedar bolehlah dirujuk kepada akal kerana ia berfungsi secara sedar mena'kul, berfikir, menerima dan memproses informasi. Sementara itu minda separa sedar adalah satu bahagian lain yang menerima apa sahaja informasi melalui gerbang percaya dan ia dirangsang oleh visualisasi. Minda separa sedar mempunyai peti simpanan memori yang sangat besar, di mana ia menyimpan pelbagai informasi yang pernah kita pungut secara sedar atau tidak sedar. Iman atau kepercayaan di tanam melalui fungsi minda separa sedar ini. Kajian juga mendapat keupayaan mengingat pada minda sedar hanya sekitar 12 peratus sahaja, manakala keupayaan minda separa sedar menguasai 88 peratus.
Melihat kepada ciri, fungsi dan keupayaan minda separa sedar, nyatalah ia adalah bahagian daripada proses hati. Ia kaya dengan emosi dan semua emosi berpusat di sini. Perasaan, baik ia perasaan positif mahupun negatif, ia terletak di hati. Sebab itu emosi positif seperti ceria disebut
senang hati, hal-hal yang baik disebut
baik hati; manakala emosi negatif seperti marah, benci disebut
sakit hati, khianat atau perasaan jahat disebut
busuk hati.
Oleh kerana hati adalah tempat bertapak atau maqam kepada iman, maka ia juga tempat untuk ilmu. Ilmu samawi diterima langsung di hati, di minda separa sedar. Bermula dengan percaya, semua ilmu itu diproses untuk digunapakai. Ia menjadi sikap minda, kemudian menjadi sikap dan akhirnya menjadi tabiat. Dalam konteks Islam, Wahyu turun ke hati, ia diterima (percaya), kemudian menjadi iman (sikap minda), kemudian menjadi Islam (sikap) dan menjadi tabiat (Muslim yang beriman).