Kita baru sahaja menyambut Hari Buku Sedunia pada 23 April lalu. Berapa ramai orang yang sedar tentangnya dan berapa orang pulalah yang menyambut serta meraikannya. Di Kuala Lumpur mungkin orang menyedarinya apabil Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur ke 28 diadakan pda 17 hingga 26 April lalu di Pusat Dagangan Antarabangsa Dunia Putra Kuala Lumprur. Majoriti kita tidak pernah menyedarinya dan tidak merasa perlu menyedarinya kerana apalah makna buku kepada kita.
Sedarkah kita bahawa buku adalah warisan berharga dan ia adalah khazanah yang merobah dunia. Dunia berubah dan setiap hari kemajuan menjelma kerana akal manusia berkembang. Di sebalik semuanya itu adalah buku. Kalau tubuh perlukan makanan, maka akal perlukan buku.
Kemajuan ICT telah merobah sifat-sifat buku apabila secara digital buku dibaca tidak lagi dari halaman kertas tetapi dari skrin komputer. Buku seolah-olah kehilangan bentuk fiziknya apabila ia berada di dunia maya. Satu kejutan baru kepada sebahagian besar pembaca yang sudah sekian lama menatap buku dari helaian-helaian kertas. Mengalih kebiasaan membaca buku daripada naskah nyata (
hard copy) kepada membaca naskah maya (
soft copy) bukanlah satu yang mudah. Mungkin kepada generasi muda yang sejak kecil diasuh dengan kemudahan digital, mereka tidak merasakan perubahan-perubahan ini. Generasi dewasa yang telah melalui era naskah kertas benar-benar terasa peralihan ini.
Sebagai seorang yang punya sedikit pengetahuan dan pengalaman dalam industri penerbitan, saya dapat merasakan perubahan-perubahan yang sedang melanda industri buku kini. Saya berkesempatan bekerja di percetakan awal tahun tujuh puluhan dulu, dengan pengalaman mengatur huruf, iaitu satu tugas rumit dan benar-benar memerlukan ketelitian. Untuk menyiapkan satu halaman buku mengambil masa begitu lama kerana terpaksa bermula dengan menyediakan acuan dan menyukat saiz buku secara manual. Kemudian mula mengatur huruf-huruf . Bagi huruf rumi ia agak mudah kerana semua hurufnya tunggal, tetapi bagi huruf jawi ia agak rumit kerana setiap huruf jawi kebanyakannya mempunyai empat bentuk iaitu huruf tunggal, huruf bersambung di awal, bersambung di tengah dan bersambung di hujung. Hanya beberapa huruf bersifat tunggal, selebihnya mempunyai tiga bentuk. Oleh itu seorang pengatur huruf perlu mahir menguasai huruf-huruf ini. Sebagaimana susunletak pada papan kekunci komputer dan mesin taip, susunan kotak-kotak huruf (
case) pun serupa. Ia tidak tersusun mengikut urutan abc. Oleh itu kita perlu mengingat kotak-kotaknya bagi membolehkan kita melakukan kerja mengatur huruf dengan pantas. Untuk menyediakan satu halaman naskah jawi akan mengambil masa lebih lama daripada naskah rumi. Satu lagi keistimewaan huruf-huruf timah ini ialah kedudukannya yang terbalik. Oleh itu otak pengatur huruf perlu diselaraskan dengan posisi terbalik.
Sulitnya kerja mengatur huruf menyebabkan kerja menyiapkan naskhah buku menjadi sangat lambat. Berhari-hari, berminggu-minggu dan berbulan . Apabila selesai kerja mengatur huruf pada acuan naskah, ia akan dikemaskan dengan meletakkan penyendal . Huruf dan penyendal ddibuat daripada timah. Oleh itu ia bersifat rapuh, dan mudah rosak. Apabila telalu lama digunakan permukaan timah itu akan mengembang menyebabkan teks yang dicetak nanti juga kelihatan kembang. Sekiranya huruf-huruf yang digunakan dicampur antara stok lama dengan yang baru, kita akan nampak kesannya pada cetakan di kertas. Kelihatan huruf-huruf nipis dan tebal pada satu perkatan atau dalam satu barisan ayat pada teks. Sebab itu seorang pengatur huruf bukan sahaja perlu mahir dalam kerjanya tetapi juga perlu rapi dan berseni kerana hasil kerjanya akan terpampang pada cetakan di kertas nanti.
Sering juga pengatur huruf akan berdepan dengan saat-saat menyedihkan apabila kerja behari-hari terburai dan bersepai. Sekiranya penyendal yang digunakan tidak kemas disebabkan berbeza saiznya, atau ikatannya tidak cukup kemas , halaman yang sudah disusun dan dirapikan itu akan terurai. Beberapa huruf boleh tercabut dan gugur daripada susunan. Ini situasi yang menyulitkan kerana terpaksa dibuka pengunci (
lock) dan penyendal-penyndal bagi membolehkan kerja menyusun semula huruf yang tanggal tadi. Inilah saat-saat yang membosankan, tetapi itulah hakikat pekerjaan seorang pengatur huruf.
Halaman yang sudah siap tadi akan diuji atau disahkan dengan membuat salinan. Kerja mudah dengan menyapukan dakwat ke permukaan teks, kemudian lekapkan sekeping kerta ke atas permukaannya. Hasilnya ialah cetakan teks muncul di permukaan kertas tersebut. Tugas seterusnya ialah membaca pruf. Kerja ini mungkin dilakukan oleh orang lain, dan itulah sebaik-baiknya. Bagi percetakan kecil, pengatur huruf juga perlu menjadi prembaca pruf. Pembaca pruf akan menandakan apa-apa kesalahan pada teks. Kesalahan boleh jadi pada perkataan atau ayat yang hilang atau tertinggal. Selain itu kesalahan pada ejaan, huruf besar atau huruf kecil, tanda-tanda bacaan dan perenggan juga disemak. Pembaca pruf akan menanda menggunakan simbol-simbol yang difahami oleh pengatur huruf. Naskah yang sudah disemak itu diserahkan kembali kepada pengatur huruf untuk membuat kerja-kerja pembetulan. Setelah siap kerja-kerja pembetulan, barulah selesai tugas pengatur huruf. Acuan halaman itu akan diserahkan pula kepada juru mesin yang akan mencetaknya.
Waktu itu sekitar awal tahun tujuh peluhan ketika saya mula bekerja di percetakan. Masih segar di ingatan saya tugas awal saya ialah menyiapkan atur huruf buku Risalah Tauhid karya Haji Mohd Saman Kati, seorang ulamak terkenal di Perak. Kebetulan percetakan di mana saya bertugas baru sahaja dibeli oleh Tuan Haji Mohd Saman daripada pemiliknya Pakcik Ahmad. Percetakan itu dikenali sebagai Percetakan Rakyat. Pemilik asal, Pakcik Ahmad adalah bekas pejuang nasionalis di zamannya. Nama percetakan ini juga ada kaitan dengan semangat nasionalisme dan perjuangan tuan punyanya. Saya sempat berkenalan dengan Pakcik Ahmad, orangnya kecil dari segi fizikal, tetapi punya perwatakan rapi, kemas dan tegas. Itulah ciri-ciri seorang pejuang.
Mengatur huruf untuk buku Risalah Tauhid ini adalah pengalaman pertama. Apa lagi naskah tersebut adalah naskah jawi. Bukunya kecil dan mengandungi beberapa puluh halaman saja. Sesuailah dengan namanya risalah, bukan buku. Sebagai guru agama di Perak, Tuan Haji Mohd Saman menggunakan buku ini dalam kuliah-kuliah agamanya. Ia dijual kepada murid-muridnya. Sungguhpun mengatur huruf jawi adalah satu tugas yang rumit berbanding dengan huruf rumi, namun pada saya ia adalah tugas yang mudah kerana saya adalah pelajar sekolah agama, sekolah arab. Jawi adalah tulisan harian saya. Penyelia percetakan begitu kagum dengan kebolehan saya menguasai kerja mengatur huruf jawi kerana saya cepat menguasainya. Beliau tidak tahu latarbelakang saya.
Saya tidak ingat samada saya menghabiskan semua halaman Risalah Tauhid tersebut atau berkongsi dengan rakan kerja lain. Tetapi saya masih ingat saya juga turut membaca pruf. Kerana kemahiran jawi yang ada pada saya, kerja-kerja itu jadi mudah. Seronoknya ketika membaca pruf, secara tidak langsung dapat juga menggarap ilmu di dalamnya . Oleh kerana terpaksa mengulang-ngulanginya, teks Risalah itu masuk juga ke benak saya. Salah satu sumbangan saya kepada Risalah Tauhid ialah kulitnya. Rakan-rakan di percetakan itu terkejut apabila saya menghasilkan reka bentuk kulit untuk Risalah Tauhid. Rekabentuknya ringkas, dengan menggunakan tulisan jawi tanpa elemen dekoratif lain. Saya telah menggunakan sepenuhnya kemahiran tulisan khat yang saya pelajari untuk membentuk tajuk Risalah Tauhid menggunakan seni khat Nasakh. Tulisan tangan memberikan impak berbanding huruf standard.
Di waktu itu dalam tahun tujuh puluhan industri percetakan di negara ini sudah melalui peralihan. Dari era percetakan tekap (
printing press atau disebut juga sebagai
letter press) iaitu cetakan menggunakan blok-blok timah yang ditekap ke atas kertas (sebenarnya mesin menekapkan kertas ke atas permukaan blok timah), beralih kepada era
off set menggunakan kepingan logam (metal plate). Imej tulisan dan gambar dipindah ke kepingan logam melalui filem negatif dan positif. Melalui proses pisah warna dan membuat filem, imej-imej daripada teks dipindahkan ke dalam bentuk metal plate. Ia boleh dicetak untuk jumlah naskah yang banyak, dan boleh disimpan dan digunkan kembali untuk cetakan berikutnya.
Di tahap ini proses percetakan masih lagi perlu melalui pelbagai tahap kerja pra cetak. Teks dari naskah perlu ditaip dan disusun (
type setting). Proses ini menggunakan mesin yang menghasilkan cetakan atas kertas bromide (kertas khas yang menzahirkan imej tulisan setelah diproses dengan bahan kimia). Taip dan susun atau saya panggil taip/susun adalah proses untuk menyediakan teks dalam bentuk sebenar yang akan dicetak. Di sini saiz huruf dan jenis huruf (fon) serta ketebalan (
normal/medium/bold) dipilih dan ditentukan. Contohnya tajuk dan sub-tajuk menggunakan huruf lebih besar dan tebal.
Perkhidmatan taip/susun ini biasanya dilakukan oleh syarikat bukan percetakan. Walaupun begitu ada juga syarikat percetakan yang menyediakan khidmat taip/susun ini. Oleh kerana mesin-mesin yang digunakan agak mahal maka bayaran untuk kerja-kerja taip/susun juga agak mahal. Harganya dikira mengikut saiz inci persegi.
Hasil kerja dalam bentuk bromide tadi perlu melalui proses susun atur (
lay-out) dan perapian (
make-up). Seorang petugas khas yang dipanggil lay-out artist akan mengerjakan proses susun atur mengikut format naskah yang dirancang. Dia akan memotong dan menampal di permukaan kertas khas yang dipanggil halaman susun atur (
lay-out sheet). Kerja-kerja dilakukan secara manual dan memerlukan kemahiran.
Halaman-halaman yang sudah siap disusun atur ini akan dipindahkan ke filem dan sterusnya ke plate untuk dicetak. Di tahap ini selesailah proses pra-cetak. Naskah kemudiannya memasuki fasa cetakan pula. Setelah selesai dicetak ia akan melalui proses pemotongan dan penjilidan. Sebahagian syarikat percetakan mempunyai mesin untuk menjilid, manakala kebanyakan percetakan yang sederhana dan kecil tidak mempunyai peralatan ini. Kertas-kertas yang telah siap dicetak itu akan dipindahkan pula ke syarikat yang menyediakan khidmat penjilidan. Di sini kertas dilipat, dipotong dan dijilid. Proses penjilidan mempunyai beberapa jenis, antaranya menggunakan pin (
stitching), jahitan (khususnya untuk jilid kulit keras) dan jilidan sempurna (
perfect binding). Selesai dijilid, zahirlah sebuah buku. Ia akan dirapikan lagi dengan proses memotong bahagian yang tidak rata dan selari. Bagi jilid kulit tebal pula ia dibalut atau mungkin diberi jaket luar lagi.
Tahun-tahun lapan puluhan, industri percetakan mengalami perubahan drastik apabila teknologi digital mula mendapat tempat. Komputer peribadi mula mengambil tempat , dan mengambil alih fungsi kerja-kerja pra-cetak. Banyak syarikat yang memberikan khidmat pra-cetak mula terjejas di mana khidmat taip/susun semakin dipinggirkan, kerana kerja mereka boleh dilakukan oleh komputer peribadi. Hasil cetakan komputer menyamai fungsi taip/susun. Lebih istimewa lagi komputer peribadi menyediakan kemudahan suntingan yang boleh dilakukan terus di skrin tanpa perlu membuang masa dan tenaga.
Dahulu kerja menaip dan menyusun atur dilakukan oleh seorang petugas, membaca pruf dilakukan oleh seorang petugas lain. Di samping itu hasil cetakan di atas bromide memakan kos tinggi. Kini sebuah komputer peribadi boleh menghasilkan produk serupa tanpa memerlukan lebih daripada seorang petugas. Jimat tenaga. Di samping itu kerja-kerja membaca pruf dan menyunting boleh dilakukan oleh orang yang sama, dalam tempoh waktu yang singkat. Jimat masa.
Inilah impak kemajuan teknologi digital dari hasil kemajuan ICT. Dengan kemampuan ramai orang memiliki komputer peribadi yang semakin hari semakin canggih dengan harga semakin rendah dan terjangkau, maka proses pra-cetak sudah diambilalih oleh setiap pemilik komputer di pejabat, di rumah atau di jalanan (yang menggunakan komputer bimbit ).
Selain dari kerja-kerja taip/susun, kerja-kerja rekabentuk grafik juga telah diambil alih oleh komputer peribadi. Hari ini kerjaya agensi-agensi pengiklanan yang manawarkan khidmat rekabentuk grafik semakin suram kerana permintaan terhadapnya agak menurun. Komputer telah meyediakan kemudahan grafik lebih mudah dan lebih murah kepada orang ramai. Grafik diajar pecuma melalui perisian asas seperti Window. Belum lagi diambil kira aplikasi perisian khusus grafik yang menampilkan pelbagai bentuk dan gaya grafiknya. Hari ini siapa sahaja yang rajin belajar daripada perisisan mudah pada komputernya, akan menguasai pengetahuan dan kemahiran grafik. Yang penting ada kemahuan dan rajin menelusuri skrin komputer.
Perkembangan ini merobah senario industri percetakan, khususnya industri pra-cetak. Dahulu kita terpaksa mencari Perekabentuk grafik untuk menyediakan halaman kulit sesebuah buku. Syarikat-syarikat penerbitan menyediakan tugas khsus kepada mereka, manakala penerbitan-penerbitan kecil akan mencari Peekabentuk sambilan melalui penyumberan luar. Kini semuanya telah berakhir. Menghasilkan kulit buku boleh dilakukan beberapa jam di depan skrin komputer di rumah atau di jalanan.
Sebelum ini industri pra-cetak disokong oleh proses taip/susun. Pisah warna dan proses perfileman-pembuatan plate. Hari ini proses tersebut telah dipermudahkan. Perniagaan berkaitan industri pra-cetak sedang mengalami zaman suram.
Demikianlah zaman berubah, dan zaman telah mengubah lanskap industri percetakan dan industri buku itu sendiri. Kini adalah zaman
Desktop Publishing (DTP) di mana akiviti percetakan boleh dilakukan di atas meja kecil. Sebuah komputer, sebuah pencetak baik inkjet atau laser, stok dakwat (cecair atau serbuk) dan kertas adalah keperluan asas yang mencukupi untuk sesiapa sahaja melakukan proses percetakan. Hasilnya boleh dizahirkan dalam bentuk apa yang kita mahu, buletin, risalah, brosur, kad nama, kepala surat, invois atau dokumen pejabat, atau mungkin sebuah buku.
Teknologi digital membantu kita menghasilkan bahan bercetak dalam waktu yang pantas dan menjimatkan. Kemudahan DTP dapat menghasilkan bahan siap bercetak dalam tempoh masa yang singkat, dan dengan kos yang murah. Lihatlah perkhidmatan cetak segera (
fast print) di merata sudut dan lokasi menawarkan kerja-kerja cetak yang pantas dan relatif murah.
Berbalik kepada buku, biar bagaimanapun cepatnya perubahan melanda industri percetakan yang mempengaruhi industri buku, yang penting buku akan terus dihargai, diperlui dan diberi fungsinya. Buku tetap buku, ia akan terus dibaca, dihayati, ditagihkan ilmunya sampai bila-bila. Biarpun digital telah mengambil alih fungsi kertas, namun buku tetap akan dipanggil buku, dikenali sebagai buku dengan ciri-ciri dan sifatnya sebagai penampung ilmu, sarana informasi, wadah pemikiran. Biarpun kini buku berada di dunia maya, dalam bentuk digital,namun apabila dibuka helaian-helaian halamannya tetap akan memaparkan isi yang serupa, berupa informasi atau ilmu.
Satu hal yang nyata dan meyakinkan, teknologi digital tidak akan menenggelamkan sifat-sifat fizikal buku dalam bentuk asalnya di lembaran-lembaran kertas. Buku akan terus ditulis, disunting, dicetak, diterbitkan dan dipasarkan sebagai naskah nyata (
hard copy), kerana orang masih memerlukan buku untuk dipegang, diselak helaian halamannya, dibawa ke mana sahaja untuk dibaca, disimpan pada rak-rak buku, dihadiahkan kepada orang tersayang, dan lebih penting di dalam industrinya, buku perlu wujud dalam naskah nyata untuk menampung jutaan orang yang mencari rezeki melaluinya. Jutaan orang di dunia terlibat dengan industri ini daripada penulis, penyunting, pekerja percetakan, pengedar, penjual, petugas di perpustakaan, pekerja kilang kertas, dan ramai lagi pekerja di industri-industri sokongan, baik industri huluan mahupun industri hilirannya.
No comments:
Post a Comment