Friday, April 24, 2009

Hari Buku Sedunia: sebuah retrospeksi


23 April 2009 adalah Hari Buku Sedunia. Apalah maknanya hari ini kepada kita sekiranya kita tidak pernah mencintai buku, tidak berminat membaca dan tidak mahu memperuntukkan sedikit waktu untuk mendampingi buku.

Dari sisi lain, seorang kaki buku akan sentiasa resah kalau dalam sehari tidak menatap buku. Walau sibuk bagaimanapun sehingga tidak ada waktu untuk membaca, sekurang-kurangnya fikiran akan sentiasa ingat kepada buku. Walaupun tidak sempat membaca, kata orang, dengan melihat buku-buku di rak buku pun sudah cukup mengubat rindu pada buku.

Ulat buku, gelaran kepada orang yang gila membaca. Ulat buku akan sentiasa mencari ruang untuk membaca. Mereka akan mambaca apa sahaja yang dapat dibaca, baik buku, majalah, risalah atau apa jua bahan bertulis. Mereka boleh menghabiskan sebuah buku dalam masa beberapa jam sahaja.

Bangsa Jepun dikatakan bangsa yang maju kerana mereka suka membaca. Hobi mereka membaca. Mereka membaca mangga (komik) yang memuatkan pelbagai informasi. Dalam perjalanan ke tempat kerja, mereka membaca. Dalam keretapi, dalam bas mereka membaca. Mereka tidak mensia-siakan masa, sebaliknyanya mengisi masa dengan membaca. Orang Malaysia mengisi waktu dalam komuter atau dalam LRT dengan mendengar muzik daripada MP3, atau mengelamun. Paling-paling membaca suratkhbar.

Demikian bezanya orang Jepun dengan orang Malaysia. DI Jepun di mana sahaja mudah menemui kedai buku. Sebaliknya di Malayisa di Kuala Lumpur pun kedai buku masih mudah dibilang dan mudah diingat kerana sedikit jumlahnya. Hanya beberapa buah kedai buku besar seperti MPH, Kinokunia, The Border, Popular Book dan beberapa buah kedai buku yang rata-rata diusahakan oleh orang India Muslim.

Bercerita tentang buku, seingat saya, cinta saya kepada buku mula berputik ketika di sekolah rendah. Minat membaca berkait dengan subjek yang diminati iaitu Karangan. Mengarang ialah satu matapelajaran untuk melatih kemahiran mengolah bahasa dan menyampaikan perasaan dalam bentuk prosa. Ketika di sekolah rendah, dalam tahun enam puluhan dulu, cikgu selalu memuji hasil kerja subjek Karangan saya. Pujian guru-guru itu rupa-rupa menjadi pembakar semangat yang sentiasa mendorong saya untuk meminati bidang penulisan. Selain menjadi pelajar terbaik dalam kelas, saya akan sering mengatasi rakan-rakan lain dalam subjek Karangan dan lukisan. Benarlah bahawa kecemerlangan itu sehingga kini masih membekas dalam diri saya. Malangnya bidang lukisan terpaksa dipinggirkan kerana di sekolah menengah saya memasuki aliran sains. Namun begitu minat terhadap lukisan masih terus menebal. Masih mengikuti perkembangan senilukis tanahair dan membaca rencana-rencana tentangnnya.

Sewaktu belajar di Izzuddin Shah di Ipoh, saya sering ke bandar Ipoh hujung minggu. Dan sebuah kiedai yang tidak lupa dikunjungi ialah Kedai Buku Sinaran Brothers. Suatu waktu dahulu ia juga merupakan sebuah penerbit buku di Pulau Pinang. Kedai buku di Ipon ini adalah cawangan runcitnya. Novel pertama yang saya beli di situ ialah Amrun, penulisnya sudah lupa. Bermula saat itu, saya akan membeli buku dan buku-buku itu akan menjadi koleksi yang sangat-sangat disayangi.

Tradisi membeli, membaca dan mengumpul buku diteruskan ketika belajar di Kolej Islam Kelang pada tahun 1969/70. Beberapa buah kedai buku di Kelang menjadi sasaran setiap kali keluar ke bandar. Walaupun waktu itu mengikuti aliran sains dan agama, namun minat kepada sastra begitu menebal. Saya memilih subjek sastra dalam SPM biarpun tidak pernah belajar di kelas kerana kami di kelas sains. Anehnya, apabila keputusan SPM keluar, saya terpilih sebagai pelajar terbaik matapelajaran sastra dan memenangi hadiah berupa sebuah buku iaitu Sejarah Islam.

Kolej Islam Kelang waktu itu terkenal dengan beberapa orang penyajak atau penyair yang sering menghasilkan karya berupa sajak. Sajak-sajak meeka sering diterbitkan oleh akhbar. Dua tiga akhbar popular waktu ialah Berita Minggu, Mingguan Malaysia dan Utusan Zaman (jawi). Ramai penyajak tanahair yang terkenal dilahirkan dari Kolej Islam termasuk zaman Kolej Islam Malaya. Antara meeka ialah Yahaya MS, Adirumi, Sabda S dan lain-lain. Tiap minggu saya akan membeli ketiga-tiga akhbar tadi dan memotong ruangan sajak dan sastra. Waktu itu nama penyajak-penyajak terkenal tanahair boleh diingat. Demikianlah minat terhadap sajak. Banyak buku-buku antologi sajak dalam koleksi saya.

Di Kolej Islam Kelang saya serius menulis, menulis untuk majalah Alun (yang dicetak secara cetakan stensil sahaja). Waktu itu Sabda S (Sujaidi Dasuki) menjadi Editornya. Juga menulis dalam Majalah rasmi Kolej iaitu Sinar. Ketika di tingkatan empat, rencana pertama saya keluar dalam majalah Qalam terbitan Singapura. Itulah rencana sulung yang diterbitkan. Betapa gembiranya hati ketika melihat rencana tersiar di majalah tersebut. Dlam hati berkata-kata: aku sudah jadi penulis. Ketika itu usia masih muda 16 tahun. Berikutnya rencana kedua keluar dalam Warta Jabatan Agama Johor, iaitu sebuah majalah agama yang terkenal juga di tanahair.

Setelah selesai SPM saya tidak ke tingkatan enam sebagaimana rakan-rakan lain. Sebaliknya mengajar sebentar di sekolah rakyat di kampung, kemudian melakukan pelbagai kerja termasuk di kedai percetakan. Waktu itu saya terus menulis rencana tentang agama dan sering disiarkan di dalam majalah Al-Islah yang diterbitkan oleh Tuan Hj Yusof Rawa di Pulau Pinang. Almarhum adalah bekas Presiden PAS. Pengarangnya ialah Ustaz Abd Mutalib Azmi. Almarhum kemudian rapat dengan saya setelah mengenalinya di Institut Harapan, Taiping sekitar tahun 1974/75. Al Islah menyiarkan beberapa buah rencana saya. Di samping itu saya mula menghantar rencana ke majalah lain termasuk Al Islam, Qiblat, Mastika (ketiga-tiganya terbitan Utusan Melayu), Dian di Kelantan dan Panji Islam di Kuala Lumpur. Pada tahun 1972 sebuah rencana mengenai Homeopathy diterbitkan oleh majalah Dewan Masyarakat. Ini satu lagi kejayaan saya dalam penulisan kerana berjaya mendapat tempat dalam sebuah majalah paling berpristej ketika itu. Padahal ketika itu usia saya baru 18 tahun. Kepuasan menghasilkan karya mendorong saya terus menulis. Waktu itu bayaran atau royalti dari rencana agak kecil. Dapatlah beberapa puluh Ringgit bagi sebuah rencana yang disiarkan. Ketika itu perhitungan kewangan tiada keutamaan pada saya. Menatap karya yang trsiar merupakan satu kepuasan yang tiada tandingnnya.

Ketika belajar di Maktab Perguruan Harian (kemudian ditukar kepada Maktab Perguruan Sri Pinang) di Pulau Pinang pada tahun 1973/74, ruang berkarya menjadi lebih terbuka. Ketika ini banyak rencana saya disiarkan oleh majalah tempatan. Asas karya masih lagi tentang agama dan sosial. Ketika di Maktab, saya menjadi Pengarang majalah Maktab.

Ketika di Pulau Pinag saya mula terdedah dengan buku-buku psikologi. Karya-karya Carnagie, Vincent Peale antara buku-buku yang banyak dalam koleksi saya. Walaupun penguasaan bahasa Inggeris ketika itu belum cukup baik, tetapi saya berusaha memahaminya kerana subjek psikologi dan pembangunan diri mula menawan minat saya. Hasil pembacaan buku-buku tersebut banyak mempengaruhi pemikiran dan sikap saya terhadap masa depan. Saya mula menulis tentang aspek-aspek psikologi tentang solat dan ibadat lain. Ia merupakan satu dimensi baru kepada saya untuk melihat agama dari sudut pandangan ilmu lain (bukan agama). Beberapa buah karya saya mula disiarkan di majalah termasuk al-Islam dan Mastika.

Pengaruh buku-buku psikologi popular itu begitu besar kepada perkembangan diri dan kerjaya saya. Setelah keluar Maktab saya menjadi guru tetapi dalam waktu yang singkat sahaja kerana pada tahun 1976 saya ke universiti melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah. Waaupun tidak belajar di tingkaktan enam namun saya lulus STPM dengan baik untuk membolehkankan saya layak ke universiti. Berkat kebolehan menulis membantu saya mencapai kejayaan dalam STPM melalui subjek sejarah, Kertas Am dan Ekonomi serta Bahasa/Sastra.

Semasa di Universiti Kebangsaan, waktu itu di Pantai Baru, Kuala Lumpur, saya sangat gembira kerana berjaya mendapat major dalam bidang yang saya minati iaitu Komunikasi, di samping Sejarah dan Persuratan Melayu. Kami adalah pelajar sulung Jabatan Komunikasi UKM. ketika itu ada dua tiga orang Pensyarah sahaja di Jabatan ini. Sebagai pelajar sulung, kami menghadapi pelbagai cabaran, antaranya kekurangan buku rujukan, jabatan pula tiada pengalaman. Sebagai perintis kami sama-sama merintis membangunkan Jabatan Komunikasi UKM. Kami terpaka ke perpustakaan Universiti Malaya di sebelah untuk mencari buku-buku rujukan di sana.

Saya dipilih untuk mengetuai akhbar Jabatan iaitu Nadi Bangi. Saya Editor sulung mengetuai aktiviti penerbitan akhbar Jabatan. Saya juga dipilih sebagai Yang Dipertua persatuan Komunikasi UKM (PERKOM)selama beberapa tahun. Nadi Bangi waktu itu mula dikenali sebagai akhbar kampus setelah beberapa tahun Akta Universiti Kolej menghalang penerbitan di kampus. Kami adalah pemberita, kami juga penyunting, kami juga menguruskan percetakannya dan kami juga menjadi jurujualnya. Itulah satu pengalaman yang sangat menarik tentang Nadi Bangi. Kami pernah menjaja Nadi Bangi sampai ke Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur. Waktu itu melakukan kerja-kerja begitu tidak membebankan kerana seronok dan puas melakukannya. Untungnya waktu itu kami mempunyai ramai rakan berpengalaman. Sebahagain daripada kami adalah bekas guru, bekas pegawai kerajaan yang telah bekerja sebelum menjadi siswa. Pengalaman beragam ini banyak membantu kami membangunkan Jabatan Komunikasi.

Semasa di kampus saya terlibat dengan pelbagai aktiviti kemahasiswaan. Turut menjadi Exco PMUKM selama dua penggal. Pernah memimpin Biro Kesenian dan Sukan. Memimpin kumpulan Artisukma (badan kesenian pelajar UKM) dengan membawa rombongan kebudayaan ke Sabah, Sarawak, Brunei dan Filipina. Di samping itu turut bersama dengan rakan-rakan penulis lain di UKM memajukan bidang penulisan. Waktu itu bidang persuratan dan kesusastraan di UKM memiliki ramai penulis baik karya kreatif mahupun deskriptif termasuk pensyarah dan siswa. Aataranya penulis kreatif di bidang puisi termasuk Rahman Shaari, Azmi Yusof, Nawawi Muhammad, Hadi Yusof, Haron A.H, Siti Zainon Ismail. Di bidang kreatif lain ialah Mana Sikana, Othman Putih, Ramli Isin dan lain-lain. Di bidang seni drama trdapat nama-nama seperti Mana Sikana, Ismail Kasan, Jalil Ahmad dan lain-lain.

Semasa di UKM saya berjaya menghasilkan buku sulung berjudul Sembahyang: beberapa pandangan falsafah, psikologi dan implikasi. Ia diterbitkan oleh Utusan Publishing & Distributors. Buku sulung ini menjadi mercutanda sebagai penulis. Setelah puas menghasilkan rencana, kini berjaya pula menghasilkan sebuah buku ketika masih di universiti.

Keluar Universiti, saya terus menjalani latihan praktikal kewartawanan di Berita Harian. Saya berhasrat untuk menjadi wartawan, namun selama enam bulan menjadi wartawan pelatih di BH itu, saya agak kecewa dengan layanan beberapa orang atasan (sebahagian mereka sudah tiada lagi) terhadap kami dari universiti ini. Mungkin mereka adalah wartawan lama yang tidak pernah ke universiti maka mereka semacam kurang senang dengan kehadiran kami. Faktor inilah yang menyebabkan saya berasa tidak betah di akhbar. ketika mendapat peluang kerja di bidang penerbitan di Bahagian Peruhubungan Awam Universiti Pertanian Malaysia, saya terus melamar kerja di sana. Mungkin bersesuaian dengan pengalaman dan latarbelakang pendidikan, saya diterima, dan bekerjalah selama 16 tahun, sebelum bersara awal.

Di UPM, kerjaya saya adalah penulisan dan penerbitan, di samping membantu kerja-kerja perhubungan awam. Tugas utama menghasilkan UNIPERTAMA buletin rasmi UPM. Setiap bulan diterbitkan. Sayalaha pemberita, penulis rencana, penyunting dan pengurus penerbitan sehingga ke peringkat pengedaran. Saya menggunakan sepenuhnya pengalaman lalu untuk membina imej UNIPERTAMA sebagai lidah rasmi UPM. Bermula dari konsep, kandungan dan bahan termasuk gambar-gambar dirancang sesuai dengan penerbitan rasmi organisasi. Ia ada kaitan rapat dengan aktiviti PR (Public Relation).

No comments:

Post a Comment