Monday, July 27, 2009

Kenapa dan Mengapa menulis?


Mungkin ramai orang yang tidak tahu atau tidak mahu mengambil tahu atau mungkin merasa tidak perlu tahu tentang persolan di atas, kenapa dan mengapa seorang penulis itu menulis? Namun begitu saya merasa terpanggil untuk menjawab persoalan-persoalan ini kerana saya yakin ia ada manfaat kepada setiap orang terutama mereka yang suka membaca dan sentiasa dahagakan ilmu. Jawaban-jawaban tersebut akan menyingkap tabir rahsia seorang penulis atau rahsia kebanyakan penulis menghasilkan penulisan meeka.

Bagi saya dorongan awal menulis adalah bermula daripada motivasi di sekolah. Ketika di sekolah rendah (Sekolah Kebangsaan Hulu Cheh, kini dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Sultan Abdullah), saya sering dipuji oleh guru (khususnya Cikgu Ghazali Sulaiman, guru darjah enam) sebagai seorang yang pandai mengarang. Ketika itu subjek karangan merupakan asas karang-mengarang di mana murid-murid didedahkan kepada proses kreativiti yang ditampilkan dalam bentuk penulisan. Di samping itu subjek ini mendidik tentang tata bahasa, penggunaan perkataan, di samping tulisan. Saya merasakan subjek karangan juga secara tidak lagsung memperhaluskan seni tulis di mana ketika itu kami belajar dalam dua jenis tulisan iaitu rumi dan jawi. Dengan selalu mengarang maka tulisan menjadi lebih cantik, baik dengan menggunakan penil mahupun pena dakwat.

Saya merasakan pujian guru itu besar berkatnya, merangsang sanubari, membekalkan energi motivasi yang sungguh berkesan ke atas kemajuan di bidang penulisan ini. Ia sangat membantu membina keyakinan diri di mana saya sering percaya bahawa saya akan berjaya di bidang penulisan suatu waktu nanti. Sehingga kini pujian guru itu masih segar di ingatan saya, dan terus menjadi sumber motivasi diri.

Setapak ke hadapan, saya merasakan aktiviti menulis adalah salah satu cara mencernakan ilmu dalam satu wadah yang dapat dimanfaatkan sebagai rujukan sendiri dan juga dapat dikongsikan dengan orang lain. Secara umumnya ketika belajar di peringkat sekolah menengah atas, kolej dan universiti, kita didedahkan dengan disiplin ini melalui penyediaan penulisan tugasan (esei) untuk tutorial/seminar, kemudian menulis tesis pula. Oleh itu ketika di sekolah menengah, kolej dan di universiti, aktiviti menulis sudah menjadi suatu kebiasaan yang tidak membebankan. Ketika menyediakan tugasan, kerja menulis menjadi sangat mudah dan menyeronokkan. Apa yang berbeza mengarang di sekolah rendah menggunakan sepenuhnya pengalaman dan imaginasi; manakala menulis semasa di kolej dan universiti memerlukan sumber rujukan (nota kaki) dan bibliografi.

Serentak dengan peningkatan pendidikan kita, sebenarnya bakat menulis akan terus berkembang semakin subur. Ini yang saya rasai. Menulis adalah bakat yang perlu terus digilap dan caranya iaitu dengan menulis dan terus menulis, tanpa henti. Di sinilah proses menggilap bakat menjadi satu kemahiran. Saya merasakan kemahiran ini sangat membantu apabila menyediakan tugasan ketika belajar di universiti dahulu. Kerja menulis esei menjadi sangat mudah, biarpun kepada ramai rakan-rakan ia menjadi beban. Orang menyebutnya sebagai writting flair, suatu keadaan di mana menulis menjadi sangat mudah dan mengasyikkan.

Ketika mana tulisan-tulisan kita mula disiarkan di media, kita mudah dijamah perasaan baru, iaitu kepuasan. Ketika rencana-rencana awal saya disiarkan di majalah, bayaran imbuhannya tidaklah seberapa (sekitar RM30 - RM80 sahaja). Namun dorongan untuk terus menulis bukanlah faktor imbuhan kewangan itu; tetapi faktor emosi - kepuasan. Kepuasan di hati, rasa bangga dengan keupayaan diri. Ahhirnya terselit juga keinginan untuk dikenali (popular) sebagai seorang PENULIS. Di satu tahap, menatap nama kita terpapar di akhbar dan majalah, adalah satu kepuasan, satu kebanggaan. Namun begitu emosi ini akhirnya menurun apabila paparan itu semakin banyak dan semakin kerap. Populariti dan glamour hanyalah satu tahapan emosi sementara belaka. Semakin matang semakin ia menghilang.

Kini setelah berpuluh tahun menulis dan menulis, maka arah atau matlamat penulis menjadi semakin kudus dan murni. Menulis tidak lagi untuk glamour, tetapi untuk matlamat berkongsi ilmu atau maklumat dengan orang lain. Kematangan membawa kita sedar bahawa menulis adalah satu tugas, satu tanggungjawab, satu ibadah untuk melangsaikan amanah Allah kepada kita sebagai orang berilmu, iaitu tanggungjawab menyampaikan (rujuk maksud hadis Nabi saw: sampaikanlah dari aku walaupun sepotong ayat). Kesedaran itu bertunjangkan kefahaman konsep ilmu dalam kesepaduan tiga fungsi: mencari ilmu, mengamalkan ilmu, menyebarkan ilmu. Menulis akan menjadi satu pendekatan menyebarkan ilmu.

Di tahap inilah menulis menjadi satu medan juang baru, medan juang ilmu. Syukur kerana di tahap ini kita mulai sedar bahawa ilmu adalah satu-satunya unsur dominan dalam kehidupan kita di dunia sementara ini. Ilmu adalah satu energi yang menggerakkan kehidupan. Ilmu adalah jembatan menghubungkan manusia dengan Tuhan dan dengan alam. Ilmu juga adalah cahaya yang menerangi kegelapan kehidupan. Kita sedar bagaimana kita memperolehi ilmu melalui pelbagai proses, antaranya melalui guru-guru, melalui kitab dan buku, melalui pembelajaran dengan pelbagai cara. Hari ini internet membuka dunia ilmu seluas-luasnya. Apa yang penting dan perlu kita sedar ialah adanya usaha daripada orang lain sebelum kita yang bekerja dan berusaha menyebarkan ilmu tadi kepada kita sehingga kita dapat menikmati manfaat ilmu tersebut. Keikhlasan mereka menyebarkan ilmu, adalah satu faktor penting untuk kita renungi. Sebab itu dengan menulis, kita sebenarnya melakukan hal yang sama dengan mereka yang mendahului kita di bidang ilmu ini.

Saya sering terfikir, insaf dan sedar, bagaimana sulit orang-orang dahulu mencari ilmu dan menyebarkan ilmu kerana prasarana ilmu waktu itu sangatlah terhad. DI tahap awal, orang menulis bahan ilmu pada lembaran daun (antaranya daun lontar dan papirus), kulit binatang, pada batu. Mereka mengambil masa bertahun-tahun untuk menulis dan mencatat hasil tulisan itu ke media yang ada ketika itu. Bayangkan betapa sulitnya kerja-kerja tersebut. Saya masih kagum dengan usaha para ilmuan dahulu menghasilkan karya dalam bentuk buku berjilid-jilid tebalnya, mencecah ribuan halaman. Dalam keadaan sulit mereka masih mampu menampilkan hasil kerja yang sungguh mengagumkan. Maknanya mereka menulis dalam kerangka melakukan satu pengorbanan, jihad ilmu.

Hari ini kita dapat menatap karya-karya besar ulamak silam. Contohnya Kitab-kitab hadis yang berjilid-jilid besarnya. Kitab-kitab tafsir, kitab fiqh karangan Imam Shafie, Ihya Ulumuddin, karya Imam Al-Ghazali. Semuanya karya besar penulis para ulama silam, di mana di zaman mereka tiada kemudahan mesin taip, apa lagi komputer canggih. Namun begitu kegigihan mereka menulis merupakan satu pengorbanan besar, satu jihad - jihad ilmu yang tiada taranya.

Menggingatkan mereka, sedarlah kita bahawa 'siapalah kita' di bidang penulisan. Tulisan yang kita hasilkan masih sangat sedikit apa lagi dinilai dari segi kualiti ilmunya. Buku kita masih sangat sedikit kuantitinya, apa lagi kualitinya. Kita mungkin bangga dengan penampilan zahir buku kita yang berwarna warni dengan grafik yang memukau, tetapi ilmunya tidaklah sebebrapa.

Di tahap ini, kita merasakan diri kita masih berenang di tepian pantai, sedangkan lautan lepas terbentang saujana memandang di hadapan. Betapalah kerdilnya diri untuk mengharungi lautan itu. MasyaAllah, lautan ilmu luas saujana memandang, tak terjangkau oleh kekuatan akal dan ilmu di dada, tidak terjangkau oleh indra zahir kita. Itulah ilmu, suatu anugerah Ilahi yang terlalu luas untuk dijangkau oleh usia kita. Kita hanya akan puas bila lemas di lautannya. SubhanalLah!

Dalam sedar, menulis akan terus dilakukan kerana tanggungjawab menyebarkan ilmu Tuhan, khususnya untuk dimanfaatkan oleh orang lain. Menulis akan menjadi alat menyebar ilmu sedangkan tanggungjawab keilmuan adalah satu yang sangat utama dalam kehidupan ini. Rujuklah kepentingan ilmu seperti yang dituntut oleh agama, kerana ia ada kaitan dengan risalah keTuhanan.

(Gambar: buku sulung diterbitkan oleh Utusan Publication 1978)

No comments:

Post a Comment