Beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut Nuzul Al-Quran iaitu satu peristiwaa penting dalam sejarah Islam dan sejarah umat manusia juga. Detik penurunan al-Quran sangat besar ertinya kepada kita umat Islam dan umat manusia seluruhnya, kerana turunnya al-Quran telah merobah dunia. AL-Quran telah meningkatkan taraf hidup manusia kepada satu dimensi sempurna sesuai dengan fitrah kejadian manusia.
"
Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Mencipta manusia daripada segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmu Yang paling Pemurah. Yang mengajar (manusia)dengan perantaraan qalam. Dia mengajarkan manusia apa-apa yang tidak diketahuinya." maksud al-Quran, S. Al-'Alaq ayat 1-5.
Itulah ayat terawal diturunkan Tuhan kepada Nabi Muhammad SAW. Ayat yang sangat besar maknanya kehidupan manusia kerana ia menyentuh hal-hal ilmu, hal-hal ketuhanan dan hal-hal manusia.
Perintah membaca bukanlah satu urusan kecil, sebaliknya membaca adalah satu urusan besar, urusan penting. Membaca pastilah satu amal atau aktiviti penting dalam kehidupan ini, maka Tuhan memerintahkan kita membaca. Membaca adalah satu aktiviti keilmuan dan ianya adalah aktiviti yang sangat relevan dengan penciptaan manusia itu sendiri.
Uniknya manusia ialah pada ciri-cirinya sebagai makhluk ilmu. Sewaktu Adam AS diciptakan, dia diajarkan Tuhan dengan ilmu yang menjadikan dia makhluk istimewa untuk nanti memajukan ilmu. Makhluk lain tidak diberi keistimewaan tersebut. Adam AS diturunkan ke bumi untuk menjadi khalifah atau wakil Tuhan menguruskan alam ini. Tuhan mengajarkan Adam AS ilmu tentang alam untuk membolehkan dia berfungsi sebagai khalifah di sini. Kemudian Tuhan menurunkan pula mashaf dan kitab-kitab kepada para rasul-Nya sebagai satu cara Tuhan mengajar manusia tentang ilmu-ilmu terutama ilmu mengenai perkara ketuhanan dan perkara ghaib.
(Planet adalah ayat-ayat (tanda-tanda) besar yang perlu dibaca)Bimbingan Tuhan melalui wahyu yang diturunkan itu adalah untuk memastikan manusia dapat menjalani hidup di bumi dengan sejahtera, selamat, aman dan bahagia. Kenapa agama terakhir, Islam itu diberi nama sedemikian, adalah selari dengan matlamat salam iaitu kesejahteraan, keselamatan, keamanan dan kebahagiaan di atas. Al-Quran adalah kitab terakhir diturunkan, dan ia adalah kitab yang sempurna dan lengkap.
Untuk urusan kehidupan dunia al-Quran memberikan bimbingannya. Di samping itu manusia disaran menggunakan seluruh indra ilmu yang ada pada diri mereka untuk mengembangkan maklumat atau pengetahuan tentang pelbagai hal kehidupan ini. Lima pancaindra dan akal serta hati merupakan indra ilmu. Manusia bolehlah memajukan keupayaan indra ilmu tersebut agar ilmu manusia semakin bertambah setiap hari.
Apabila Tuhan memerintahkan kita membaca, bermakna Tuhan memerintahkan kita menggunakan sepenuhnya potensi indra-indra ilmu itu untuk menambahkan pengetahuan yang sedia ada. Apabila diperintah
membaca dengan menyebut nama Tuhan, maknanya kita diperintah mencari ilmu dengan cara sentiasa menyebut nama Tuhan, meminta atau berdoa kepada-Nya, mencari ilmu-ilmu yang bermanfaat dan diridhai-Nya, berjihad di bidang ilmu kerana-Nya dan menjadikan perjuangan menuntut, mengamal dan mengajar ilmu adalah berasaskan keredhaan-Nya.
Membaca dalam pengertian yang luas dan holistik pastilah merujuk kepada aktiviti mencari ilmu menggunakan kaedah membaca (membaca teks), mengkaji, menyelidik, mengujikaji (membaca alam iaitu ayat yang tiada dalam teks).
(matahari, bulan, fajar, malam adalah ayat-ayat Tuhan yang perlu difikirkan)Bersempena dengan sambutan Nuzul al-Quran ini marilah kita bertafakkur, berfikir dan bermuhasabah: apakah kita sudah benar-benar melaksanakan perintah membaca sebagaimana yang dikehendaki oleh semangat Iqra' itu. Apakah kita sudah benar-benar membaca al-Quran mengikut pengertian tadabbur, iaitu memahami dan mengerti makna ayat-ayat al-Quran yang dibaca. Sesudah itu apakah kita telah mengamalkan seluruh isi al-Quran, dan sudahkah kita berusaha menyampaikan apa yang kita fahami itu, untuk dikongsikan dengan orang lain. Dalam konteks ilmu, terdapat tiga proses, iaitu mencari ilmu, mengamalkan ilmu tersebut, dan menyampaikan (mengajar) ilmu tersebut kepada orang lain. Inilah proses ilmu yang dianjurkan oleh Islam.
Marilah kita bertanyakan diri masing-masing: apakah kita suka membaca? berapa buah buku/kitab dibaca dalam sebulan? berapa halaman ilmu yang kita tambah setiap hari? berapa majlis ilmu kita hadiri dalam sebulan? Berapa buah buku yang kita beli? Berapa anggaran perbelanjaan untuk bahan bacaan di rumah? Apakah ada perpustakaan mini di rumah?
Jawaban kepada soalan-soalan di atas akan memberikan kita tanda aras sikap kita terhadap amalan membaca. Nilailah sendiri. Kiranya tanda aras itu rendah maka itulah hakikatnya diri kita, masih belum memenuhi tuntutan al-Quran supaya kita membaca.
Seandainya kita menilai pencapaian umat Islam di bidang sains hari ini, kita akan dapati kita berada jauh di belakang. Saintis bukan Islam nampaknya benar-benar mengamalkan perintah membaca kerana mereka begitu tekun dan serius menjalankan penyelidikan tentang pelbagai bidang sains. Mereka yang rajin mengkaji alam dan fenomenanya, sedangkan umat Islam tidak mahu melakukannya. Padahal ayat-ayat Mutasyabihat di dalam al-Quran merangsang kita berbuat demikian.
No comments:
Post a Comment