Tuesday, August 31, 2010

Membaca, dan kemudian menulis .....


Setiap kali Ramadhan datang, setiap kali ia mengingatkan kita tentang aktiviti membaca, kerana di dalam bulan mulia inilah al-Quran diturunkan Tuhan. Antara mesej utama ia diturunkan ke bumi ialah supaya manusia membaca, membaca dan terus membaca.

"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan ....." Wahyu terawal ini mengingatkan manusia supaya percaya, yakin atau beriman terhadap Tuhan dan membaca atas nama Tuhan. Oleh kerana sumber murni segala maklumat atau ilmu itu adalah daripada-Nya maka keimanan ini jadi sangat penting untuk membolehkan manusia menerobosi alam maklumat dengan benar.

Apabila Ramadhan ini dikaitkan dengan penurunan al-Quran, yang antara mesej pentingnya ialah memerintahkan kita membaca, maka Ramadhan juga menyuntik semangat dan kesedaran membaca yang sungguh signifikan.

Malangnya umat yang al-Quran diturunkan khusus kepada mereka tidak begitu mengutamakan aktiviti membaca. Hakikat ini dapat dibuktikan dengan mudah apabila ramai umat Islam yang masih buta al-Quran, tidak tahu membacanya, tidak belajar membacanya, tidak memahami apa yang dibacanya, tidak membaca sisi-sisi tersirat di dalamnya, tidak mengkajinya, dan akhirnya tidak menghayatinya sebagai pedoman atau petunjuk kepada kehidupan.

Semuanya bermula daripada tidak adanya kesedaran untuk membaca, kesedaran untuk mencari ilmu, sedangkan menuntut ilmu itu adalah satu kewajiban yang mana sebahagiannya adalah fardhu ain manakala yang lainnya adalah fardhu kifayah. Maknanya mencari ilmu adalah kewajiban perseorangan (tanggungjawab individu) dan juga tanggungjawab bersama (fardhu kifayah). Yang pentingnya kita jangan lupa, ia adalah satu kewajiban (fadhu), iaitu satu kemestian, satu perintah. Pada perinsipnya dengan tidak belajar, kita sedang melanggar perintah Tuhan.


Umat Islam yang faham tanggungjawab ilmu ini akan melibatkan diri dalam aktiviti ilmu yang bertunjangkan kepada perintah Tuhan di atas. Maka terlaksanalah tiga aktiviti keilmuan, iaitu belajar (mencari ilmu), mengamalkan ilmu tersebut, dan kemudian mengajarkan kepada orang lain. Inilah aktiviti kehidupan para Rasul hingga kepada para ulamak (yang disifatkan pewaris para nabi) kini.

Menulis adalah aktiviti yang mengakhiri kesedaran berilmu. Menulis adalah usaha menyebarkan ilmu kepada orang lain. Bayangkan seandainya para ulamak dan ilmuan silam tidak menulis, menghasilkan buku dan kitab berjilid-jilid, maka pastilah kita tidak berpeluang menikmati khazanah ilmu mereka. Inilah usaha mulia para ilmuan silam mewariskan ilmu mereka kepada generasi kemudiannya.

Friday, March 26, 2010

Catatan tentang Pesta Buku KLIBF 29.


Dalam kesibukan tugas di samping berada jauh di luar Kuala Lumpur, kesempatan cuti hujung minggu memberi kesempatan kepada saya untuk hadir ke Pesta buku antarabangsa Kuala Lumpur ke-29 di PWTC semalam.

Seperti biasa, kesempatan ini dimanfaatkan untuk window shopping, sedikit belibelah, mendapat info tentang industri, buat jaringan dan selebihnya meningkatkan semangat dan motivasi diri. Kecintaan dan keghairahan terhadap buku adalah suatu yang sangat utama dan inilah suatu hal yang tidak berubah sejak dulu hingga ke waktu ini. Kecintaan itu pastilah bertunjangkan kecintaan terhadap ilmu yang ditunjangi pula kepada kecintaan kepada kebenaran dan di sanalah kepuasan. Dididik dan diasuh dengan bimbingan agama yang sentiasa menekankan bahawa mencari ilmu adalah kewajiban (bukan kerja suka-suka), maka aktiviti melibatkan buku adalah aktiviti ilmu yang bertunjangkan al-Quran yang sentiasa menyemarakkan tabiat membaca, mencari ilmu, berfikir, merenung, mengkaji dan meneliti segala ayat-ayat Tuhan (ayat tersurat dan ayat tersirat). Satu misi suci yang terus dibawa, insyaAllah hingga ke akhir hayat ialah misi membaca, menulis, meneroka dan mencari apa jua ilmu, memanfaatkannya (mengamalnya) dan berkongsi (mengembangkannya) kepada orang lain. Inilah tanggungjawab ilmu seperti yang diajar oleh agama: menuntut ilmu, mengamalkan ilmu dan mengajarkannya.


Pesta buku PBAKL atau KLIBF ini sudah memasuki usia dewasa. Ianya sentiasa berkembang maju setiap tahun dari segala seginya. Menurut maklumat ia menarik jutaan pengunjung akhir-akhir ini. Rekod pada tahun 2008 adalah yang tertinggi di mana 2.2 juta orang mengunjunginya, 2009 agak meurun. Pada tahun ini bilangan gerai meningkat kepada 856 buah meliputi kawasan seluas 12, 666 meter persegi. Bilangan pemamir ialah 208 terdiri daripada 657 peserta tempatan dan 41 agensi tempatan serta 128 syarikat asing dan 3 agensi Kerajaan asing. Angka-angka di atas menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.

Syabas kepada penganjur iaitu Majlis Buku Kebangsaan Malaysia dan Majlis Industri Buku Malaysia (MBIC). Keanggotaan MBIC terdiri daripada Persatuan pengeksport dan Pengimport Buku Malaysia (MBEIA), Persatuan Penjual Buku Malaysia (MBA), Persatuan Kontraktor Buku Malaysia,Persatuan Penerbit Buku Malaysia, Persatuan Penerbit dan Pengedar Buku Bumiputra Malaysia dan Majlis Penerbit Buku Ilmiah Malaysia. Tahun ini Pesta Buku bertemakan 'Buku Membina Dunia Esok'.


Buku pilihan saya, harga RM120 masih murah kerana halamannya lebih 1000 mukasurat.

Pesta Buku sebegini memenuhi matlamat semua pihak yang terlibat. Penganjur meletakkan matlamat untuk meningkatkan kesedaran dan komitmen masyarakat untuk menyemarakkan industri buku. Kerajaan juga mengharapkan kesedaran itu akan memudahkan usaha membawa rakyat kepada cita-cita 'minda kelas pertama' dalam pembinaan modal insannya. Pihak-pihak dalam industri seperti penerbit, pengedar dan peruncit mengharapkan peningkatan bisnes mereka. Penulis pula mengharapkan buku mereka dibaca oleh lebih ramai orang, manakala pengunjung pula mengharapkan mereka mendapat lebih banyak buku berkualiti untuk menambah ilmu.

Satu hal yang nyata ialah harga buku semakin hari semakin mahal. Lebih-lebih lagi buku dari luar negara. Peningkatan harga ini adalah lumrah bergantung kepada peningkatan indek harga barangan. Peningkatan harga menghadkan keupayaan pengunjung untuk berbelanja. Mereka perlu mengekang belanjawan untuk buku. Syabas diucapkan kepada beberapa buah penerbit yang masih mampu mempertahankan harga buku mereka pada harga yang munasabah dan relatif murah. Mereka dijangka mampu menjual lebih banyak naskah kerana lebih ramai orang mampu membelinya. Mereka ini mungkin mementingkan isi kandungan atau ilmu di dalamnya, dan mengorbankan sedikit kualiti materialnya. Kepada pengguna yang mementingkan ilmu, kekurangan kualiti material bukan perkara penting kerana sasaran mereka adalah kualiti kandungannya.

Monday, March 22, 2010

Mengimbau industri buku.


Sekarang sedang beralangsung acara penting kepada industri buku negara di mana Pesta Buku sedang beralangsung di Kuala Lumpur. Pesta yang sangat bererti kepada mereka yang berada di dalam industri ini akan dikunjungi ribuan orang peminat buku dari seluruh negara. Malangnya ketika Pesta ini berjalan, cuti sekolah telahpun berakhir. Namun kaki buku tetap juga akan berusaha untuk ke sana.

Pesta Buku untuk siapa? Untuk siapa sahaja dalam industri buku termasuk juga pengguna atau pembaca yang menjadi tiang seri kepada industri buku. Pengguna adalah penentu hayat industri. Merekalah yang menyokong industri dengan membeli hasil atau produk industri. Tanpa mereka semua industri buku atau industri apapun tak akan ke mana-mana. Pengguna juga mendapat peluang untuk memiliki buku-buku baru di pasaran dan lebih penting mereka akan mendapat potongan harga istimewa yang ditawarkan.

Pesta sebegini bukan sekadar pesta untuk menjual tetapi juga penting untuk dijadikan tempat berhimpun mereka dalam industri perbukuan. Di sinilah wujud ruang yang banyak untuk saling berinteraksi (buat networking), wujudkan jaringan kerjasama, bertukar pendapat dan pandangan, berseminar dan juga meningkatkan mutu industri penerbitan. Penerbit dan penjual buku menunggu kesempatan sebegini untuk meningkatkan hasil jualan buku mereka, kerana inilah musimnya pengguna melabur untuk maklumat. Sebahagian pengguna hanya menunggu seahun sekali untuk membeli dan memborong buku kerana mereka mungkin sukar mendapatkan kedai buku berhampiran. Mereka yang tinggal jauh dari pusat kota akan mendapati betapa sulitnya mandapatkan bekalan buku yang mereka minati. Hal ini terjadi kerana di pekan kecil kedai buku bukan sahaja kurang tetapi juga buku-buku yang dijual juga kurang, tidak lengkap.

Indusrtri buku negara melalui bebera zaman naik dan turun. Suatu waktu dahulu beberapa peniaga buku (ramai dari seberang - Indonesia) datang berdagang menjual buku. Pastilah buku-buku Indonesia yang banyak diniagakan waktu itu. Mereka ini akhirnya berjaya menguasai industri buku apabila mereka menjadi penjual (buka toko buku), juga menjadi penerbit dan pengedarnya. Satu nama besar sekitar 60an dan 70an dahulu ialah Pustaka Antara yang dimiliki oleh Tuan Hj Aziz Ahmad. Ingat lagikah betapa besar kedai bukunya di Jalan Taunku Abdul Rahman. Saya perlu menghabiskan masa lebih sejam untuk window shopping di kedainya yang berlantai tiga (kalau tidak silap ingatan). Selain beliau, Pustaka Melayu Baru terletak megah di Wisma Yakin, Jalan Melayu. Di Melaka Pustaka Abas Bandung mengusahakan kedai buku dan juga menerbit buku. Mereka semuanya dari Indonesia. Peranan mereka dalam membangunkan industri buku negara sangat penting waktu itu. Kita dapat membaca buku-buku popular karya Hamka kerana usaha mereka. Di utara di Pulau Pinang, Sinaran Brother wujud sebagai penjual dan juga penerbit. Di Taiping Pustaka Al Zainiah turut menjual dan menerbit buku terutama kitab-kitab dan buku agama. Mereka juga memiliki percetakan sendiri. Di Kelantan dua buah penerbit yang terkenal iaitu Pustaka Dia dan Pustaka Aman Press adalah nama-nama penting dalam industri buku.

Sebahagian penerbit-penerbit tersebut sudah tiada lagi ataupun tidak seaktif masa dulu. Melihat kepada buku-buku yang diterbitkan, kita mendapati beberapa buah penerbit baru sedang naik. Karya Bistari Karangkraf, PTS, Creative Entreprise, Darul Fikir, Telaga Biru, Utusan Publicarion & Distributors, Fajar Bakti, Thinkers Library, Pustaka Abdul Majid, Al-Hidayah, An-Nuqman dan banyak lagi penerbit lain, adalah barisan penerbit semasa yang begitu aktif. Kita melihat beberapa buah penerbit sudah mampu membeli bangunan dan gudang sendiri. Itu adalah antara bukti kejayaan mereka. Sebahagian mereka begitu aktif menenggelamkan DBP yang dulunya menjadi hero dalam industri penerbitan. Kumpulan Karangkraf adalah contoh penerbit yang berjaya. Sejak bermula lebih 30 tahun lalu, ia terus bergerak maju menguasai bidang penerbitan majalah dan juga buku. Mereka memiliki jumlah majalah yang paling banyak diterbitkan sebulan, dua minggu dan seminggu sekali. Kejayaan ini adalah warisan kejayaan Hj Yaakob, seorang peniaga buku di Kota Bharu, Kelantan. Anak-anak beliau terus fokus di bidang perbukuan dan akhirnya berjaya.

Selain penerbit, kedai-kedai buku juga berkembang pesat akhir-akhir ini. Beberapa kedai buku gergasi berangkaian seperti MPH, Popular, Kinokuniya, Border, Pustaka Mukmin, Minerva, Darul Fikir, Saba Media, Times dan lain-lain berkembang maju terutama di Kuala Lumpur. Kedai buku masih lagi dikuasai oleh peniaga-peniaga India yang menguasai jaringan pengedaran dan runcit. Mereka begitu gigih memajukan perniagaan buku. Orang Melayu walaupun majoriti pembeli, masih tidak begitu berani berniaga di bidang ini. Kedai-kedai buku seperti Pustaka Antara sudah tiada lagi.
Suatu waktu dahulu DBP ada rangkaian pengedarnya terdiri daripada usahawan Bumiputra. Kini tidak diketahui nasib mereka. Kekurangan orang Melayu dalam sektor peruncitan buku perlukan perhatian. Industri berorientasikan maklumat ini masih lagi lumayan sekiranya diusahakan secara profesional. Banyak penerbit-penerbit buku teks dan buku bacaan tambahan untuk sekolah membuat duit dengan menerokai pasaran di sekolah. Namun sektor ini mungkin tercemar oleh aktiviti kurang sihat, dalam saingan mendapatkan pasaran di sekolah. Mereka ini penerbit 'senyap' tapi buat duit.

Monday, December 21, 2009

Alam memberi ilham


Bumi adalah tempat kita dilahirkan dan tempat kita akan disemadikan nanti. Bumi dipanggil ibu kita (mother earth) kerana kita diciptakan dari tanah, dan di bumi kita menjalani kehidupan yang sementara ini. Allah SWT menyebut lebih 400 kali perkataan bumi dalam al-Quran, menyentuh tentang perbagai konteks. Demikianlah pentingnya bumi kepada kehidupan manusia.

Sebagai anak kampung, kami dibesarkan dalam lingkungan alam yang begitu rapat dengan kehidupan. Alam kampung masih segar menghijau di mana kampung kami dilingkungi bukit bukau dan gunung ganang. Waktu kecil kami terpaksa memanjat bukit bukau membantu orang tua mencari rezeki, di samping ke sawah padi. Lingkungan alam membesarkan kami dalam kesedaran terhadap kewujudannya. Puncak Gunung Bubu misalnya sentiasa menjadi inspirasi saya sejak kecil, kerana puncaknya yang tinggi sering dapat dipandang dari lingkungan kampung. Anak sungai dan anak air atau parit kecil menjadi tempat bermain, tempat memancing dan menangkap anak seluang dan siput sungai. Sejak kecil kami mengenali mergastua di persekitaran, kenal mana suara burung, mana suara kera, ungka dan siamang, mana suara enggang, mana suara pipit di sawah. Ia adalah satu kehidupan alami yang sukar dinikmati oleh anak-anak zaman ini lebih-lebih lagi anak-anak yang membesar di bandar.

Waktu bersekolah, alam sering menjadi objek dominan lukisan kami. Alam sekeliling, pohon-pohon, rerumputan, gunung ganang, sungai, matahari, bulan dan awan adalah bahagian alam yang sering dilakar dan dilukis. Kesannya sehingga kini, saya masih sangat menyintai lukisan-lukisan beraliran realisme dan nature, terutama lukisan cat air dan dakwat Cina. Burung dan ikan masih menjadi dua jenis mergastua yang sangat diminati, kerana kedua-duanya mempunyai nilai intrinsik dan mempunyai elemen terapi yang alami.

Ketika bersekolah menengah alam kampung sudah ditinggalkan. Kesibukan belajar dan persekitaran bandar telah memisahkan saya dari kehidupan waktu kecil yang dikelilingi alam hijau. Ketika belajar di Maktab Perguruan di Pulau Pinang, saya begitu teruja dengan keindahan laut di persekitaran Pulau Pinang. Waktu cuti hujung minggu saya sering menunggang motosikal keliling pulau melihat keindahan laut lepas di samping menikmati keindahan alam sekitar di sana. Keindahan pantai Padang Kota, Tanjung Bunga, Batu Feringgi, Teluk Bahang ketika itu begitu mempesonakan dan masih segar terbayang di ingatan. Malangnya kini air di kawasan tersebut sudah tidak sebersih dahulu akibat pencemaran yang melampau. Setelah bekerja, ketika cuti sekolah saya menunggang mooswikal menziarahi rakan-rakan maktab yang bertugas di pantai timur. Di sana saya sangat tertarik dengan keindahan pantai tanahair sperti pantai Teluk Cempedak, Sungai Karang di Pahang; Kijal, Kemasik, Rantau Abang, Batu Buruk di Trengganu; Pantai Cahaya Bulan, Bacok di Kelantan.

Ketika berkhidmat di Berita Harian, awal tahun 1979, saya berkesempatan mendekati aktivis-aktivis pencinta alam di mana mereka memperjuangkan beberapa isu alam sekitar waktu itu, antaranya penebangan hutan tropika, pengondolan bukit bukau sekitar bandaraya Kuala Lumpur dan petaka alam yang terjadi. Sejak itu hati saya begitu terpikat pada isu alam sekitar. Saya mula menulis rencana mengenai pelbagai aspek alam sekitar. Pada tahun 1982 saya menerbitkan buku GEJALA, sebuah koleksi rencana-rencana mengenai alam sekitar.

Ketika bertugas di Bahagian Perhubungan Awam UPM, saya berkesempatan mengikuti perkembangan aktiviti penyelidikan yang dijalankan oleh staf Universiti. Saya turut menulis tentang projek ternakan lebah madu di Johor yang sangat menarik minat saya. Tiga siri rencana tentangnya pernah disiarkan di Berita Harian waktu itu selain disiarkan dalam Unipertama, suratberita rasmi UPM, yang saya sendiri kendalikan. Saya juga pernah mengikuti aktiviti penyelidikan perikanan dan sains samudra ke Pulau Redang. Akhirnya saya mula didedahkan kepada pengetahuan tentang alam marin yang kaya dengan hidupannya.

Setelah bersara awal dan memulakan perniagaan sendiri pada tahun 1994, saya terdedah pula pada alam herba, satu bidang baru yang terpaksa saya dalami kerana ia menjadi perniagaan kami. Perniagaan ini membawa saya pergi jauh ke dunia herba, belajar memahami tentang tumbuh-tumbuhan herba yang menjadi sumber ubatan. Oleh kerana sebelum ini saya pernah belajar asas Homeopathy, maka ia membantu memudahkan saya memasuki bidang perubatan alternatif baru ini - terapi herba. Saya banyak berkongsi ilmu dengan isteri yang merupakan pengamal perubatan moden. Saya mendalami aspek perubatan moden daripadanya dan berkongsi pengalaman klinikalnya ketika menggunakan terapi herba.

Minat mendalami pengetahuan tentang herba, tentang rempah ratus yang menjadi asas jamu, membawa saya ke Indonesia di mana saya dapati di sana banyak sumber maklumat. Banyak buku-buku tentang herba, tanaman herba dan perawatan herba dibeli dan menjadi himpunan penting untuk rujukan. Di samping itu turut mengikuti kursus VCO di Malang dan belajar tentang pertanian organik di Bali. Saya juga turut menyertai Yayasan Padmajaya sebagai pelajar Reiki Tumo. Pelbagai kursus dari peringkat asas hingga ke Master diikuti di pelbagai kota seperti Jakarta, Bandung, dan Surabaya.


Minat untuk lebih memahami alam terus berkembang seiring perkembangan kerjaya baru, sebagai pengusaha produk kesihatan. Di sinilah saya mengenali Lingzhi, herba asal negeri China yang cukup berpotensi. Juga mengenali pelbagai jenis herba tradisional China dan India, memahami aspek ethnobotany, memahmi teknologi pemprosesan dan urusan pendaftaran produk dengan pihak berkuasa. Ketika mengkudu atau Noni begitu popular dulu, saya turut bereksperimen merumus formula minuman kesihatan berasaskan mengkudu, kemudian menanam dan memproses Roselle pula.

Sebagai penulis, kehidupan yang rapat dengan alam memberikan inspirasi segar tentang bahan-bahan yang banyak untuk ditulis bagi dikongsikan dengan pembaca. Tentulah tulisan tentang herba dan manfaat kesihatannya sangat-sangat diperlukan oleh pembaca terutama mereka yang mahukan kesihatan. Oleh itu menulis tentang aspek ini seolah-olah menjadi satu tuntutan pula. Buku-buku Kelebihan dan Manfaat VCO, Terapi VCO, Bicara Kesihatan bersama Dr Julidar, Lingzhi: herba ajaib, Dari Haid Ke Menopaus adalah beberapa buah buku yang terhasil dari penelitian tentang herba dan terapi herba.

Wednesday, December 16, 2009

Tentang Hijrah dan menulis.


Saat ini saya sedang mengumpul bahan untuk menulis buku tentang Hijrah. Tajuknya belum disempurnakan lagi, biarpun rangkanya sudah ada. Lagipun tajuk buku akan disempurnakan setelah semuanya siap nanti. Yang penting kerangka isi dan bahan-bahan telah ada. Begitu juga dengan konsep isinya.

Akhir-akhir ini kelancaran proses menulis tersekat-sekat sedikit. Lihatlah blog ini pun sudah beberapa bulan tidak dikemaskinikan dengan bahan baru. Sungguhpun begitu tahun ini sudah tiga buah manuskrip buku baru disiapkan, kebanyakannya berkaitan bidang kesihatan, iaitu Bicara Kesihatan oleh Dr Julidar, Lingzhi: herba ajaib, Haid dan Menopaus. Sementara itu buku tentang teknologi EM sudah menjangkau 80 halaman.

Saya sendiri sedar antara faktor yang memperlahankan proses menulis adalah kesan daripada lambakan manuskkrip yang belum dapat diterbitkan lagi. Belasan manuskrip menanti untuk diterbitkan. Kadangkala memilih penerbit juga menjadi masalah. Perlu dipilih penerbit yang sesuai dan yang mahu menerbitkannya. Mengajukan manuskrip kepada penerbit yang tidak mahu menerbitkannya tiada guna juga. Begitu juga menyerahkan kepada penerbit yang tidak sesuai juga tidak bagus.

Akhir-aklhir ini saya merasakan tarikan kepada industri perbukuan semakin kuat. Terasa mahu kembali ke industri dan fokus kepadanya. Namun begitu ada kalanya terfikir pula upaya yang semakin menurun. Keupayaan tentulah dalam banyak hal. Kalau ingin menubuhkan penerbitan sendiri, modal, pengurusan, pasaran perlu diselesaikan dahulu. Apabila terlibat dengan industri, pastilah banyak masa sudah diagihkan kepadanya, mungkin waktu untuk menulis akan berkurangan.

Waktu ini waktu untuk membuat penilaian. Sebagai penulis, menghasilkan beberapa buah buku bukanlah suatu yang boleh dibanggakan. Di usia ini kepuasan diri bukan lagi aspek yang menggerakkan keupayaan menulis. Menulis kini sudah menjadi sasaran besar, sasaran perjuangan. Menulis kini bukan lagi sekadar untuk jadi penulis, tetapi lebih dari itu.


AlhamdulilLah, dalam kesibukan menguruskan perniagaan keluarga, menulis tetap terus dilakukan, boleh dilakukan. Malahan urusan perniagaan dan projek-projek yang sedang berjalan, seoalah-olah begitu kompromi dengan aktiviti menulis. Seoalah-olah wujud sinergi antara keduanya. Bila ada projek baru, contohnya projek untuk melestarikan alam, telah menyediakan ruang menulis tentang hal-hal alami dan persekitaran. Projek biotek dan pertanian alami misalnya, telah memberikan ruang untuk menulis tentang biotek dan agrotek. Ini terjadi secara alami, satu keserasian dan sinergi yang sangat bagus.

Hal ini menjadikan saya tidak risau tentang kesibukan berniaga dan menjalankan projek, kerana ia sentiasa menyuburkan ilmu dan pengalaman, dan memperbanyakkan sumber bahan untuk ditulis. Sebelum ini misalnya, buku Membina Impian dilahirkan ketika awal-awal berniaga. Bahan buku ini adalah fakta yang saya sendiri manfaatkan untuk membina impian saya sendiri. AlhamdulilLah apa yang ditulis itulah yang digunapakai untuk meraih kejayaan sekarang ini. Demikian juga dengan buku-buku mengenai kesihatan yang bakal terbit itu. Semuanya ada kaitan dengan perbiagaan produk kesihatan yang kami usahakan. Buku VCO adalah hasil kajian dan penyelidikan literatur dan lapangan ketika memasarkan produk VCO di pasaran. Berguru dan mencari sumber di Indonesia beberapa tahun dulu, sebelum buku ini dihasilkan. Susulannya sebuah lagi buku berkaitanya iaitu Terapi VCO masih belum dapat diterbitkan.

Sebelum ini sebuah buku tentang Reiki iaitu salah satu rawatan alternatif telah lama disiapkan. Ia ditulis setelah saya melengkapkan pelbagai kursus sehingga ke peringkat Master Praktisioner di Indonesia. Oleh kerana Reiki belum begitu dikenali dan diamalkan di sini, saya menyimpan manuskrip ini untuk suatu ketika yang sesuai diterbitkan.


Menjelang ketibaan awal Muharram tahun Hijrah 1431 beberapa hari lagi, saya berkira-kira untuk merumuskan keazaman dan gagasan baru tentang penulisan ini. Saya perlu memastikan tahun-tahun mendatang ini akan diisi dengan aktiviti menulis yang lebih rancak dan lebih produktif. Ini kerana usia sudah semakin banyak yang hilang biarpun ilmu dan pengalaman semakin bertambah. Pertambahan pengalaman sentiasa mengingatkan diri untuk dikongsikan bersama dengan orang lain agar ia lebih bermanfaat. Dan caranya tiada lain melainkan menulis dan menulis.

Ketika ini anak-anak sudah menyelesaikan pengajian mereka di bidang masing-masing. Semuanya, kecuali si Munir yang masih belajar. Kemahuan saya begitu kuat untuk mendorong anak-anak mewarisi bidang penulisan ini. AlhamdulilLah si Munir sudah mula mengikut jejak ini setelah didorong dan dibimbing. Beliau rajin menulis melalui dua blognya Cahaya Yang Menerangi dan Cahaya Ilmu. Saya kini mengharapkan Muzaffar yang baru menamatkan pengajiannya di bidang kesihatan gigi, akan mula mengikut jejak kami. Saya mendorongnya untuk menulis tentang hal-hal kesihatan gigi yang masih sangat kurang diusahakan. Masyarakat dahagakan ilmu dan pengetahuan. Oleh itu menulis adalah salah satu cara kita berkongsi ilmu dengan orang ramai.

(Teratai lambang Reiki, dan mikrob adalah lambang biotek. Dua bidang yang sedang diteliti kini).

Monday, September 14, 2009

Mesej al-Qadr


Kini waktunya kita sedang melewati detik-detik terpenting dalam kehidupan seorang Mukmin, iaitu detik Lailatul Qadr (malam Qadr). Kita sedang berusaha sedaya upaya untuk bersengkang mata di waktu malam terutama malam-malam sepuluh terakhir Ramadhan, demi mencari Lailatul Qadr. Tanpa mencarinya, tanpa menantinya, tanpa peduli kepadanya, Lailatul Qadr pasti datang, kerana ia adalah satu hukum, satu ketetapan, satu takdir Tuhan. Ia tetap datang biarpun kita tidak tahu bila waktunya. Pastilah ada hikmahnya apabila Nabi SAW terlupa hari Lalilatul Qadr itu. Allah SWT telah mentakdirkan sedemikian.

Mengapa Lailatul Qadr adalah detik-detik terpenting dalam kehidupan (khususnya kehidupan Mukmin)? Hal ini dijelaskan sendiri oleh ayat tentang Lailatul Qadr, di mana disebut bahawa malam Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan. Seribu bulan adalah bersamaan 83 tahun lebih. Bermakna detik Lailatul Qadr adalah jauh melebihi waktu 83 tahun. Kelebihan sebenar hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya. Apa yang pasti kita dijanjikan bahawa Lailatul Qadr adalah melebihi seribu bulan.

Dari perkiraan matematik kita boleh menghitung nilai usia kita. Tidak ramai orang yang diberi kesempatan untuk hidup melebihi 83 tahun. Maknanya anugerah Lailatul Qadr adalah satu anugerah yang tiada nilai taranya. Katakanlah kita hanya berpeluang memperolehi kebajikan lailatul Qadr selama lima kali seumur hidup, maka bermakna kita sudah memperolehi kebajikan melebihi 415 tahun tahun umur kehidupan kita. MasyaAllah, betapa lumayannya kebajikan yang dianugerahkan, betapa Pengasihnya Tuhan, betapa luasnya Rahmat Tuhan, betapa Pemurahnya Dia.

Detik Lailatul Qadr hanya datang bagi satu tempoh singkat iaitu satu malam sahaja dalam setahun. Ia datang dan pergi. Namun di sebaliknya Lailatul Qadr meninggalkan kepada kita suatu yang sangat berharga kiranya kita tahu menghargainya. Apabila Tuhan berfirman (maksudnya): Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam Qadr, maknanya Allah telah menetapkan bahawa al-Quran itu sebagai satu anugerah yang sangat mahal, sangat bernilai, sangat agung kepada kita. Ia diturunkan di dalam lingkungan detik terpenting (Lailatul Qadr) dalam kehidupan. Mengiringi turunnya kitab suci itu adalah para malaikat dan Ruh (Jibril) yang turun ke bumi menjalankan perintah Tuhan (mengatur segala urusan).

Biarpun Lalilatul Qadr datang dan pergi, namun di sepanjang detik-detik lain kehidupan kita, keberkatan Lailatul Qadr tetap bersemadi di hati selama kita sedar bahawa al-Quran sentiasa ada di sisi kita. Al-Quran ditakdirkan sebagai ssesuatu yang terpenting kepada kehidupan kita, ia adalah ruh kehidupan kita, ia adalah jembatan yang menghubungi kita kepada Tuhan Rabbul Jalil. Kita memahami bahawa Ramadhan adalah bulan paling mulia, dan di dalam bulan mulia itu Lailatul Qadr adalah detik-detik paling mulia, manakala kemuliaan detik Lailatul Qadr itu terletak pada al-Quran.


Syukurlah kerana kita masih memiliki al-Quran sebagai petunjuk (S. al-Baqarah: 2 dan 185), dipenuhi penjelasan-penjelaan tentang petunjuk itu (S. al-Baqarah 185), maka nilai al-Quran kepada kita terletak pada keupayaan kita mendapatkan sebanyak-banyak petunjuk daripadanya. Petunjuk atau hidayah biasanya dianggap satu anugerah Allah SWT. Sungguhpun begitu kita disarankan supaya berusaha mencarinya, memintanya kepada Tuhan, sebagaimana kita minta dalam tiap rakaat setiap kali solat (tunjuki kami ke jalan lurus). Oleh kerana sudah dinyatakan dengan jelas bahawa al-Quran itu adalah Petunjuk, maka dapatkannya pada al-Quran.

Apabila kita diperintahkan membaca (Iqra') maka marilah kita membaca al-Quran itu. Membaca adalah jendela ilmu, dengan membaca kita sedang membuka jendela tempat masuknya ilmu. Inilah mesej awal yang dibawa oleh al-Quran. Maknanya inilah Petunjuk penting kepada kita.

Malangnya petunjuk tentang membaca ini kita remehkan. Kita tidak membaca, kita malas membaca, kita letakkan membaca sebagai perkara-perkara kedua, ketiga dan bukan perkara prima (utama). Inilah silapnya kita, inilah kesilapan yang masih kita lakukan sehingga kita menjadi umat yang ketinggalan di dunia ini. Inilah juga faktor yang menyebabkan kita terhina dan dihinakan oleh orang lain. Inilah juga yang menyebabkan kita mundur, miskin, terjajah dan tidak menjadi 'umat pilihan'.

Apabila kita tidak meletakkan membaca sebagai keutamaan, maka kita tidak akan berilmu, tidak akan berpengetahuan, tidak akan bermaklumat, tidak akan menjadi masyarakat madani, masyarakat K (knowledge) seperti kata orang sekarang. Pada tahap membaca secara zahirpun kita tidak lakukan, apa lagi untuk membaca pada tahap tinggi (berfikir, mengkaji, menyelidik, menafsir secara akademis). Sedangkan membaca adalah prasyarat untuk maju di dunia ini. Tidakkah kita sedar bahawa negara-negara yang maju dibina oleh rakyatnya yang rajin membaca, yang gila membaca, yang meletakkan buku/kitab/internet sebagai sarana ilmu yang dihargai.

Marilah kita berhijrah, berhijrah secara minda, berhijrah secara amali. Marilah kita berhijrah kepada tabiat membina, iaitu tabiat membaca. Membaca masih belum menjadi tabiat kita selagi kita tidak bermula dengan kesedaran tentang pentingnya membaca. Sebagai orang beriman, kita sudahpun faham bahawa kita diperintahkan (diwajibkan) membaca. Itulah saripati penting al-Quran yang terangkum dalam perkataan Iqra'. Kita sepatutnya sudah sedia sedar hakikat ini kerana setiap hari kita membaca al-Quran.


(fenomena alam yang kita kurang baca)

Marilah kita ubah sikap dengan berubah pada tahap minda terlebih dahulu. Latihkan minda kita dengan membiasakan diri mendekati aktiviti ilmu, misalnya menghadiri majlis ilmu, mendampingi buku/kitab (hari ini internet). Dampingi orang-orang berilmu, wujudkan suasana keilmuan di rumah dengan membelikan buku sebagai hadiah dan pemberian kepada anak-anak, sediakan sudut bacaan atau perpustakaan mini di sudut rumah, sediakan sedikit peruntukan kewangan untuk bahan bacaan, berbincang dan berkomunikasi dengan ahli keluarga melalui perbincangan keilmuan, dan banyak lagi cara yang kita boleh lakukan untuk merangsang sikap minda positif.

Buatkan indeks pencapaian membaca (KPI) peribadi. Pengukuran boleh diasaskan kepada berapa halaman buku/majalah dibaca dalam sehari, seminggu atau sebulan. Berapa buah buku dibaca dalam seminggu, sebulan atau setahun. Berapa jam kita melayari halaman-halaman ilmu di internet. Apakah jenis buku/mjalah yang dibaca, adakah ianya berbahan ilmu atau sekadar bahan hiburan. Apakah maklumat terbaru yang kita dapat setiap hari, setiap minggiu atau setiap bulan.

Sunday, September 13, 2009

Bacalah, akhirnya kita akan percaya.


Ketika melintasi Surah Aj-Jathiah, kita akan ketemu dengan beberapa ayat yang menjelaskan tentang kebesaran Tuhan yang terdapat pada alam yang diciptakan ini. Tanda-tanda sebagai bukti kekuasaan Tuhan ini disebut oleh al-Quran sebagai ayat (dalam bahsa asalnya). Apabila al-Quran mnyebut perkataan ayat, ia akan merujuk kepada keterangan atau ayat-ayat al-Quran itu sendiri; manakala dalam konteks lain, ia merujuk kepada tanda-tanda kekuasaan Tuhan yang terdapat pada alam.

Banyak ayat-ayat yang menyentuh tentang alam yang digandingkan dengan perkataan ayat. Ini membawa pengertian bahawa alam ini adalah ayat-ayat Tuhan yang perlu dibaca juga. Oleh kerana ayat-ayat ini (ayat kauniah) sangat besar, maka membacanya tentulah memerlukan pendekatan yang lebih luas. Membacanya memerlukan alat-alatan bantu seperti makmal, teleskop, mikroskop dan lain-lain. Maknanya ia perlukan kajian, penyelidikan, penerokaan lapangan dan sebagainya.

Marilah kita ikuti maksud ayat-ayat yang dipaparkan dalam Surah Al-Jathiah itu:

Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) untuk orang-orang yang beriman. Dan pada penciptaan kamu dan pada binatang yang melata yang bertebaran di muka bumi terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) untuk kaum yang meyakini. Dan pada pergantian malam dan siang dan hujan yang diturunkan Allah dari langit lalu dihidupkannya dengan air hujan itu bumi sesudah matinya, dan pada perkisaran angin terdapat pula tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berakal. Itulah ayat-ayat Allah yang Kami bacakan kepadamu dengan sebenarnya. Maka dengan perkataan manakah lagi mereka akan beriman sesudah (kalam) ALlah dan keterangan-keterangan-Nya. (maksud al-Quran 45:3-6).


(Air menampilkan dirinya dalam wajah kristal yang cantik)

Langit, bumi, manusia, binatang, malam, siang, hujan dan angin serta fenomenanya disebut sebagai ayat-ayat yang menggambarkan keagungan Tuhan Maha Pencipta. Apakah kita yang setiap hari melihatnya, merasakan kewujudannya, mendapatkan manfaat daripadanya, tidak sedar, tidak insaf akan hakikat ini? Apakah manusia masih mahu mengingkarinya, masih menafikannya, atau masih mahu berhujjah lagi? Itulah bukti kewujudan Tuhan, kebesaran Tuhan dan keagungan-Nya. Hanya dengan beriman, hanya dengan berfikir secara saintifik, hanya dengan mengkaji dan menyelidiki secara saintifik, barulah manusia menemui kebenaran ayat-ayat ini.

Tanpa membaca, mengkaji, menyelidiki manusia tidak akan bertemu tentang fakta, ilmu atau maklumat tentang langit. Mata kasar kita hanya mampu melihat kerdipan bintang-bintang di malam hari. Itupun ketika langit tiada mendung. Namun begitu, seorang saintis (astronomi) akan dapat melihat lebih jelas lagi planet-planet di jagatraya ini, kerana mereka mempunyai maklumat dan mempunyai peralatan teleskopik yang kuasa kantanya berganda-ganda. Mereka inilah yang akan menyaksikan betapa agungnya ciptaan bintang-bintang atau planet di angkasa (langit). Keajaiban langit menjadi rahsia kepada kita yang jahil (tiada ilmu tentangnya), tetapi keajaiban itu membuka pelbagai ilmu kepada para saintis yang mengkajinya.

Begitu juga dengan bumi. Kita melihat bumi sebagai hamparan kerana kita melihat bumi pada posisi kita di bumi. Gambaran bumi adalah bulat (tidak mendatar) apabila ia dilihat dari luar angkasa. Di bumi kita melihat matahari bergerak dari timur ke barat. Di luar angkasa, bukan matahari yang beredar tetapi bumi yang berputar mengelilingi matahari. Keajaiban alam cakrawala hanya dapat dinikmati oleh mereka yang mengkajinya. Syukurlah berkat kajian pakar-pakar sains astronomi, kita sudah menyingkap banyak rahsia cakrawala.


Diri manusia sendiri adalah ayat Tuhan yang sangat hebat ciptaannya. Kita hanya melihat diri fizikal sahaja tetapi tidak dapat melihat diri di dalam yang tediri daripada pelbagai organ yang berfungsi secara sinergi menggerakkan kehidupan kita. Di dalam tubuh ada jantung, hati, paru-paru, otak, saraf, hempedu, pankreas, buah pinggang, usus dan lain-lain. Kita tidak pernah melihatnya kerana ia berada di dalam tubuh yang dibalut oleh daging, yang dibalut pula oleh kulit.

Keajaiaban ciptaan manusia hanya disaksikan oleh orang yang mempunyai ilmu tentangnya seperti ahli biologi, doktor dan saintis yang mengkaji tentang diri manusia. Merekalah orang yang benar-benar membaca ayat Tuhan ini. Sebab itu merekalah orang yang dapat merasakan kebesaran dan keagungan Tuhan kerana setiap hari mereka melihat bagaimana organ-organ ini bekerja dan berfungsi dengan penuh keajaiban. Jantung misalnya, saiznya sederhana kecil, tetapi mempunyai keuatan luar biasa, bekerja terus menerus tanpa henti walaupun tuannya sedang tidur. Jaringan saraf yang berjuta-juta mewujudkan jaringan komunikasi baik secara fisiologi mahupun secara anatomi, berfungsi dengan sangat rapi dan efektif.

Sungguhpun jurutera dan pakar elektronik mampu mencipta gajet canggih seperti komputer, namun mereka tidak mampu menghasilkan satu sistem seumpama sistem anatomi dan fisiologi otak manusia itu. Di sinilah baru kita dapat menemui titik kesedaran bahawa ciptaan Tuhan sangat hebat, sangat agung, penuh dengan kebijaksanaan, penuh dengan kekuatan luar biasa. Sebahagiannya tidak terfikir oleh akal, maka kita hanya perlu beriman, perlu percaya dan yakin sahaja.