Monday, May 18, 2009

Taiping dan nostalgia penulisan.


Pada tahun 1971 sepatutnya saya berada di tingkatan enam rendah untuk menduduki Sijil Tinggi Pelajaran (STP). Namun saya mengambil keputusan tidak menyambung pelajaran lagi selepas SPM. Saya tidak tahu mengapa tetapi hati kecil saya masih terasa tidak selesa belajar di sekolah lagi. Pengalaman dua tahun di Kolej Islam, saya merasa tidak mendapat kepuasan belajar. Apakah disebabkan oleh sistem pengajian waktu itu atau disebabkan oleh keadaan diri saya sendiri. Konflik dalaman berkecamuk antara minat mencari ilmu dan berhadapan dengan sistem pengajian yang tidak menyeronokkan. Walaupun berada dalam aliran sains di tingkatan 4, namun beberapa subjek sains seperti matematik tambahan menjadi subjek yang sangat tidak menarik. Saya tidak faham dan tidak tahu untuk apa saya perlu belajar dan memahami teori-teori matematik ini.

Suatu yang pasti ketika di tingkatan 4 dan 5, minat terhadap ilmu tetap membara, terutama tentang agama, pemikiran dan falsafah. Minat itu mendorong saya terus menggali ilmu dengan membaca. Sungguhpun kami di aliran sains tidak berpeluang belajar subjek sastra, tetapi saya nekad mengambil subjek itu dalam peperiksaan SPM. Subjek matematik tambahan digantikan dengan sastra. Pelik tetapi benar, saya adalah satu-satunya pelajar sains yang mengambil sastra tanpa belajar. Anehnya saya menjadi pelajar subjek sastra terbaik tahun tersebut dan memenangi hadiah buku.

Minat sastra ini ada kaitan dengan minat mengarang atau menulis. Semasa di Kolej Islam Kelang saya mengasah bakat menulis dengan sunguh-sungguh. Saya menulis rencana di dalam majalah keluaran Persatuan Bahasa an Persuratan Melayu, Alun namanya. Pengarangnya saudara Sabda S (Sujaidi Dasuki). Sabda S adalah seorang penulis dn penyair di mana sajak-sajak beliau sering diterbitkan di akhbar. Beliau kemudiannya menjadi wartawan di Utusan Melayu dan menjadi pengarang majalah agama terbitan Utusan Melayu tahun 70han dan 80han.

Alun adalah majalah stensilan terbitan Badan Bahasa dan Persuratan Melayu. Majalah ini berfungsi untuk menampung karya kami pelajar-pelajar Kolej Islam, dan ia menjadi tempat kami mengasah bakat penulisan. Beberapa orang dari kami kemudiannya berjaya menjadi penulis, antaranya Sujaidi Dasuki (Sabda S), Wan Abu Bakar Dagang (W.Abda, kini al-Marhum), Mustafa Hj Daud (Profesor di UUM).

Sungguhpun Alun hanyalah majalah stensilan yang sangat sederhana fizikalnya, tetapi ia memberikan impak besar ke atas kami, sekurang-kurangnya diri saya kerana ia menyediakan wadah untuk menjelmakan pemikiran dan idea saya. Rencana saya yang disiarkan bertajuk "Faham Kapitalis dan Komunis Dalam Pandangan Islam". Sebenarnya rencana ini adalah berasaskan idea-idea awal daripada tajuk pidato saya ketika masih di darjah enam. Bahan pidato itu disediakan oleh Pakcik Li (Ustaz Ghazali Abdullah)ketika saya mahu menyertai pertandingan pidato (syarahan) di sekolah agama rakyat Al-Falah dulu. Saya belajar dan mendapat bimbingan daripada beliau sebelum nenyertai pertandingan. Beliau memang pandai berpidato. Asas ini membolehkan beliau kemudiannya menjadi aktivis PAS Kawasan dan pernah bertanding dalam pilihanraya. Bahan pidato ini saya simpan dan dibaca dan difahami inti maksudnya. Ketika di sekolah menengah saya semakin memahami apa perbezaannya antara dua fahaman yang begitu dominan di dunia waktu itu iaitu Kapitalisme dan Komunisme. Di samping itu saya mengkajinya pula dari pendekatan Islam.

Tajuk rencana pertama saya ini masih saya kembangkan dalam pemikiran saya sehingga ketika di Universiti (1976). Saya menggunakan bahan yang sama untuk membuat tafsiran kepada ayat Surah Al-Maaun, ketika menyertai pertandingan pidato tafsir al-Quran peringkat universiti dan universiti kolej. Saya menghuraikan penyelesaian ekonomi cara Islam sebagai pilihan kepada kegagalan sistem ekonomi Kapitalis dan Kopmunis. Kebetulan saya menjadi juara di pertandingan tersebut, dan memenangi piala daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Dato' Seri Kamaruddin Mohd Isa. Berita kemenangan itu disiarkan di akhbar keesokan harinya.

Selain menulis untuk majalah Alun dan majalah rasmi Kolej, Sinar, saya mula berani mengirim rencana ke majalah tempatan. Majalah al-Qalam menyiarkan rencana saya pada tahun 1969. Majalah terbitan Singapura itu antara majalah agama yang terdapat waktu itu. Keluarnya rencana ini menjadi titik awal untuk saya terus mengarang atau menulis. Rencana kedua bertajuk: "Sembahyang sangat-sangat diperlukan di zaman moden" disiarkan pula oleh Warta Jabatan Agama Johor.

Tahun 1971 ketika rakan-rakan lain bergelut belajar di tingkatan enam, saya memulakan hidup baru di luar alam persekolahan. Bermula dengan mengajar di sekolah agama rakyat di kampung, Madrasah al-Falah, sekolah lama yang mendidik saya ilmu agama. Tidak sampai setahun mengajar di sana, saya mengambil keputusan berhenti kerana berhasrat untuk belajar Homeopathy di Gunung Semanggol. Malangnya pengajian tidak selesai dan hajat tidak kesampaian kerana kesulitan kewangan.

Sekitar tahun 1971 dan 1972 saya menjalani kehidupan baru tanpa kerja, tanpa belajar. Sungguhpun pengajian Homeopathy terbantut, namun secara tidak formal saya terus mendalami terutama bidang falsafah Homeopathy melalui usaha menampingi guru Homeopathy kami Dr Dali Muin. kebetulan ketika itu beliau menjalankan perkhidmatan rawatannya di Klinik tingkat satu Bangunan Seri Larut. Saya pula waktu bekerja membantu jualan di kedai kain kepunyaan Wanchu Aliah Sheikh Juned (al-Marhum). Di sinilah bermula pelajaran berniaga, belajar daripada asas. Pertama belajar melipat kain. Kain-kain batik dan kain pulaikat bila dibuka perlu dilipat semula sebagaimana asalnya. Sebenarnya bukan mudah melipat semula kain-kain tersebut. Salah urutan lipatannya, kain itu tidak rapi dan kemas sebagaimana asal.

Saya terus belajar sendiri. Sambil itu saya terus menulis rencana. Oleh kerana tiada memiliki mesin taip waktu itu, maka semua rencana saya ditulis tangan. Syukurnya tulisan tangan saya agak baik dan jelas. Menggunakan kertas sedia berbaris, rencana ditulis dan dikirimkan kepada majalah-majalah tempatan. Alhamdulillah kebanyakan rencana saya mendapat tempat.

Sambil menunggu kedai kain, saya menghabiskan masa dengan membaca. Antara buku penting yang saya baca ialah dua jilid buku besar karya Sukarno, Di Bawah Bendera Revolusi. Buku setebal bantal ini saya beli ketika belajar di Kolej Islam Kelang dulu. Saya membelinya di kedai buku Jalan Melayu. Ketika pertama kali membaca buku-buku Indonesia terasa agak janggal dan sulit juga memahami beberapa istilah yang lain sebutan dan maksudnya. Namun setelah dibiasakan, ia boleh difahami seperti kata orang, alah bisa tegal biasa. Buku ini mengandung falsafah perjuangan Sukarno, Presiden pertama Indonesia, yang mengupas pelbagai aspek politik dan perjuangan kemerdekaannya.

Apabila ada waktu terluang saya akan ke tingkat satu ke klinik Dr Dali untuk mencari buku-buku Homeopathy dan membacanya. Di situ terdapat sebuah almari penuh buku dan majalah Homeopathy milik Dr Burhanuddin al-Helmi yang dijaga oleh Dr Dali. Saya diberi izin untuk membacanya, dan saya secara sukarela akan mengemas dan mengatur semula buku-buku tersebut. Minat saya terhadap bahan bacaan membolehkan saya berjam-jam membaca di situ, kemudian mengemaskan semula perpustakaan mini itu. Saya mendapati banyak sungguh buku-buku Homeopathy milik Dr Burhanuddin ini. Dr Dali diberi tanggungjawab menjaganya disebabkan beliau adalah murid beliau yang diberi amanah untuk mengembangkan ilmu Homeopathy ketika Dr Burhanuddin ditahan dan dalam keadaan tidak sihat. Kebetulan pula Dr Dali Muin adalah adik ipar Dr Burhanuddin sendiri.

Ketika di Taiping waktu itu, melalui Dr Dali saya diketemukan dengan ramai rakan dan kenalan yang turut memberikan impak positif kepada perkembangan pemikiran dan sakhsiah saya. Sebagai tokoh politik (PAS), Dr Dali Muin sering menceritakan pengalaman beliau dalam perjuangan politik terutama ketika di Singapura. Belau menyebut nama beberapa tokoh poltitik Melayu (Sebahagiannya pejuang-pejuang kemerdekaan terkenal). Oleh kerana hubungan rapatnya dengan Dr Burhanuddin al-Helmi, semangat perjuangan Dr Dali juga begitu tebal. Saya sangat terpengaruh dengan kisah-kisah perjuangan tersebut. Banyak juga ilmu sejarah perjungan yang diturunkan oleh Dr Dali. Beliau sering mengulang-ngulangi pantun Dr Burhanuddin tentang nasib bangsa Melayu, iaitu pantun "Kalau roboh kota Melaka, papan di Jawa saya tegakkan, ...". Dr Dali benar-benar berusaha mewarisi perjuangan Dr Burnahuddin. Dalam politik beliau kelihatan kurang berjaya, namun semangat perjuangannya masih membara. Saya dapat merasai ketika bersama beliau. Semangat kebangsaan beliau masih tinggi. Di bidang perubatan Hiomeopathy, usaha Dr Dali Muin untuk meneruskan perjuangan Dr Burhanuddin agak jelas. Beliau kemudiannya mewarisi kepimpinan dalam Persatuan Homeopathy Malaysia dan turut menjalankan kursus-kursus Homeopathy. Daripada usaha beliau kini trdapat ramai pengamal Homeopathy sepenuh masa dan separuh masa yang dulunya belajar daripada beliau. Jasa beliau dalam mengembangkan ilmu Homeopathy dan memajukan Pesatuan Homeopathy Malaysia begitu besar. Semoga Allah merahmati ruhnya, amin.

Melalui Dr Dali saya berkenalan dengan beberapa orang pemberita/wartawan akhbar yang menjadi wakil akhbar mereka bagi kawasan Taiping. Seorang daripadanya ialah saudara Yusof Bakar. Beliau pemberita daerah akhbar Utusan Melayu. kemudian mengenali pula saudara Shahabuddin Hassan, pemberita Utusan Melayu juga. Seorang lagi pemberita sambilan Bernama. Namanya Othman Hamzah dan saya memanggilnya Pak Man. Saya begitu rapat dengan Pak Man, dan kami sering minum bersama. Pak Man ini menjalankan perniagaan membaiki radio di depan kedai kain tempat saya bertugas. Pak Man ini kemudian hari menjadi orang terkenal. Ketika akhir 80han dan awal 90han, beliau menjadi hero 'skim cepat kaya'. Seluruh negara mengenalinya sebagai tauke skim cepat kaya Pak Man Telo. Beliau dilaporkan akhbar memungut puluhan juta wang yang dilabur ke dalam skim anjurannya. Saya merasa seronok berkawan dengan mereka ini kerana saya sendiri sudah mula mencipta nama di bidang penulisan rencana. Waktu ini rencana-rencana saya lebih kepada rencana agama dan sosial. Ia disiarkan dalam beberapa majalah. Antaranya majalah Al-Islah, diterbitkan di Pulau Pinang, milik Tuan hj Yusuf Rawa (bekas Presiden PAS). Di samping itu rencana saya diterbitkan juga dalam majalah Dian, Kota Bharu, Kelantan; majalah Mastika, Utusan Qiblat dan Al-Islam, terbitan Utusan Melayu.

Dua tahun di Taiping (1971-72) merupakan dekad waktu yang begitu subur bagi penulisan saya. Keseronokan menatap tulisan yang disiarkan di majalah tempatan, menjadi pendorong dan pembakar semangat untuk terus menulis, dan menulis. Walaupun hasil royalti tidaklah seberapa, namun kepuasan menulis menjadi dorongan utama. Bergaul dengan beberapa orang pemberita/wartawan akhbar di Taiping ketika itu juga turut menyemai keazaman untuk menulis dan menjadi wartawan suatu hari nanti.

Sungguhpun tiada kerja tetap, hanya menjadi pembantu kedai kain, tetapi keseronokan persekitaran menyebabkan terubat juga kesusahan hidup waktu itu. Melalui Dr Dali saya dipekenalkan dengan beberapa orang aktivis politik dan budaya. Saya diajak menyertai Persatuan Kebudayaan Sinaran Sukma, Larut Matang dan juga Persatuan Sejarah Larut Matang. Saya tidak ingat samada saya mendaftar secara rasmi atau tidak, tetapi saya turut aktif bersama orang kuat persatuan waktu itu Cikgu Nan (Adnan Yusof) dan Cikgu Hawari (Hawari Che Teh). Mereka (semua al-Marhum) begitu aktif dalam kegiatan sosial dan politik. Mereka adalah tokoh-tokoh PAS kawasan. Saya turut rapat dengan Fadzlan Yahya, yang kemudiannya begitu aktif dalam politik DAP. Pernah menjadi ADUN Pasir Berdamar beberapa penggal di bawah DAP. Bersama beliau, Cikgu Nan dan Cikgu Hawari, kami menerbitkan Majalah Susila, terbitan Sinaran Sukma: Pertubuhan Kebudayaan Melayu di Taiping. Saya dilantik menjadi Pengurus penerbitan kerana mereka mengetahui saya pernah bekerja di percetakan. Mereka bertiga menjadi ahli Lembaga Pengarang. Majalah ini mendapat nombor pendaftara KDN (KDN 9256). Majalah 28 halaman ini berjaya diterbitkan pada tahun 1976 (ketika itu saya sudah di UKM). Ia mnengandungi rencana tulisa lembaga pengarang, beberapa buah rencana sumbangan dan selebihnya adalah iklan. Penerbitannya tergendala dan bertahun-tahun kemudian baru dapat diterbitkan. Muka hadapan majalah tersebut memuatkan gambar Perdana Menteri waktu itu, Tun Hussein Onn. Gambarnya adalah lukisan ciptaan saya sendiri. Hiasan halaman kulit juga karya saya, dicetak hitam putih sahaja. Majalah ini memuatkan kata-kata aluan Menteri Kedudayaan waktu itu, Dato Ali Hj Ahmad.

Majalah ini dapat diterbitkan sekali. Itulah yang pertama dan itulah yang terakhir. Saya sendiri hampir terlupa kepadanya ketika saya menerima naskah yang dikirimkan kepada saya ketika saya belajar di Universiti (1976). Saya tak terfikir ia akan tercetak dan dipasarkan. Pengalaman menguruskan penerbitan majalah Susila memberi banyak pengalaman bekerja, terutama menguruskan percetakannya. Ia menambah satu pengalaman baru kepada hidup saya, yang mana ia sangat berguna kemudian hari. Ketika saya menjawat jawatan Editor Kanan di UPM (Universiri Pertanian Malaysia) selama 16 tahun, pengalaman awal ini rupa-rupanya banyak manfaatnya. Sungguhpun waktu mengurus majalah ini saya tiada pengalaman, dan tidak mendapat apa-apa manfaat kewangan pun, tetapi saya melakukannya dengan penuh minat dan kesungguhan. Hingga hari ini manfaat kepuasan masih terasa manisnya.

Semasa di Taiping saya berkesempatan bekerja di percetakan, iaitu Percetakan Rakyat di Jalan Asam Kumbang. Percetakan ini kepunyaan Tuan Hj Mat Saman Kati, seorang ulama terkenal di Perak. Beliau ketika itu tinggal di Kemunting. Beliau membelinya daripada tuanpunya asal iaitu Pakcik Ahmad. Pakcik Ahmad ini seorang bekas pejuang nasionalis sezaman dengan Dr Burhanuddin al-Helmi (semuanya sudah al-Marhum). Orangnya kecil tetapi semangatnya besar. Orangnya sentiasa kemas, berpakaian rapi, tegas dan kelihatan garang. Percetakan Rakyat ini ada kaitannya dengan perjuangan Pakcik Ahmad. Pengalaman bekerja di sini saya garapkan dalam posting lalu (Buku nyata buku maya).

Bekerja di sini tiada gaji tetap. Pendapatan sekadar dapat makan. Biasanya tengahari makan roti canai dan air sejuk sahaja. Ada ketikanya tidur pun di kedai percetakan, atas timbunan kertas sahaja. Inilah pengalaman suka duka waktu itu. Pengalaman ini waktu itu tidak pun terasa getirnya, mungkin kerana masih ada ghairah untuk menghadapi hidup berdikari, atau disebabkan oleh semangat muda yang tidak pernah mahu mengalah.

Ketika bekerja di sini, saya ketemu dengan seorang lagi insan yang rapat dalam hidup saya. Saya memanggilnya abang Nan (sudah al-Marhum). Abang Nan ini nama penuhnya Adnan Othman. Beliau seorang yang sangat peramah, sentiasa berpakaian kemas dan rapi. Pernah bekerja di Filem Negara. Beliau seorang yang arif tentang fotografi. Tidak silap ingatan saya, beliaulah orangnya yang memperkenalkan saya kepada Alias, anak Hj Mat Saman Kati, pemilik Percetakan Rakyat. Keluarga abang Nan ini tinggal di Kemunting. Saya sering mengikutnya pulang ke rumah keluarganya. Saya menjadi rapat dengan mereka. Kami pernah menyewa rumah di Kg Pinang, Kemunting bersama seorang lagi rakan. Kami bertiga tinggal di situ sementara waktu. Rumah itu adalah rumah tinggal tidak dihuni. Kedudukannya di atas bukit, agak tinggi daripada rumah-rumah lain di sekitarnya. Tuan rumah ini adalah Cikgu Maimun. Kami panggil kak Maimun. Beliau adalah isteri Othman Hamzah, yang kemudiannya terkenal sebagai Pak Man Telo, penganjur skim cepat kaya itu. Rumah ini lama terbiar kerana orang di sekeliling menyebutnya "keras". Waktu kami tinggal di sini tiada apa-apa pun gangguan. Setelah kami keluar, orang lain mula tinggal di sini semula. Kerana itu agaknya sewa rumah agak murah.

Bersama abang Nan ini saya turut membantunya menubuhkan kedai gambar Melayu pertama di Taiping, di atas Bangunan Seri Larut. Saya lupa namanya. Waktu itu studio ini menggunakan teknik hitam putih. Lengkap dengan peralatan fotografi, lempu dan bilik mencuci filemnya. Sungguhpun saya membantu abang Nan, tetapi saya tidak begitu mengambil peluang untuk belajar seni fotografi ini. Tidak tahu mengapa. Rakan saya, Saadun memang bekerja dengan abang Nan. Dia banyak belajar tentang studio ini.

Saya berpisah dengan abang Nan pada thun 1973 ketika saya memasuki Maktab Perguruan Sri Pinang di Pulau Pinang. Jarang sekali kami bertemu sesudah itu. Namun Tuhan menemukan kembali kami di Kuala Lumpur sekitar tahun 80han. Ketika saya tinggal di Kg Baru, beliau tinggal di Jalan Ampang, belakang Padang Kumba Kuda (kini KLCC). Dia tinggal bersama adiknya Din Osman di rumah Kerajaan di situ. Oleh kerana dekat kami sering bertemu. Ada waktu saya ke rumahnya dan ada kalanya dia ke rumah saya. Pertemuan kembali mengikat kami dengan berbagai projek. Sebagai seorang yang pernah bekerja di Filem Negara, beliau mempunyai kenalan ramai di KL. Beliau pernah mengajak saya bersama untuk menerbitkan drama. Kami menemui Mansur Puteh untuk mendapatkan skrip daripadanya. Beliau seorang pengkritik filem dan aktivitis filem. Saya sering mengambil dan menghantar pulang Mansur yang ketika itu tinggal di Taman Tun Dr Ismail. Dengan kecacatannya, Mansur sukar bergerak dan memerlukan bantuan. Namun projek besar kami tak ke mana-mana.

Walaupun saya sudah bekerja tetap tetapi selepas pejabat dari petang ke malam saya akan bersama abang Nan. Beliau seorang yang kreatif, ada macam-macam idea bisnes dan projek. Salah satu projek besarnya ialah menubuhkan sebuah kedai gambar. Inilah bidang dan kepakarannya. Beliau berusaha keras menubuhkan Kapten Colour Lab (KCL), sebuah kedai gambar Bumiputra. Bermula di Keramat dan akhirnya beroperasi di Pertama Kompleks. Saya turut membantu beliau menguruskan penubuhan KCL ini. Saya masih ingat saya turut memberi idea mencipta logonya. Kedai gambar ini beroperasi dengan jayanya di situ. Malangnya abang Nan kehilangan Kapten Colour Lab yang diasasnya kerana ia adalah milik seorang bekas tentera (bekas Kapten). Akhirnya saya tahu bahawa beliau mungkin tidak mempunyai apa-apa kepentingan dalam perniagaan ini. Hanya tinggal jasa dan kenangan belaka.

Abang Nan berkelana lagi. Melaluinya saya turut menyertai adiknya Din Othman untuk memajukan penerbitan majalahnya Liga Bolasepak. Waktu itu penerbitan majalah ini berjalan lancar. Sharkawi Jrim menjadi Editornya. Saya turut diajak melabur dalam projek taipsetting, dan mengeluarkan beberapa ribu ringgit. Malangnya projek itu tidak menjadi dan hubungan dengan Din Osman menjadi sour. Din Osman ketika itu bekerja di RTM sebagai Pengarah Muzik. Beliau seorang penggubah lagu terkenal satu waktu dahulu.

Pada penghujung 80han abang Nan meninggal setelah koma beberapa hari di Hospital Universiti. Saya sempat menziarahinya ketika di hospital dan ketika meninggal. Saya banyak belajar daripada abang Nan. Walaupun usahanya kebanyakannya gagal, namun pada saya, saya dapat pelajaran dan pengalaman yang tiada nilainya. Kreativiti dan keazamannya berusaha walaupun dia dalam kesempitan kewangan memberi banyak pengajaran kepada saya. Hidupnya tidaklah berjaya sangat namun pada saya beliau seorang abang yang rapat, dan saya puas kerana dapat membantunya sedikit sebanyak.



Gambar atas, majalah usang Alun. Bawah: majalah Susila, terbitan Persatuan Sinaran Sukma, Taiping.

1 comment:

  1. Salam. Semoga Allah memudahkan usaha saya untuk bertemu dan mendapatkan bimbingan tuan @ mentor merealisasikan penerbitan program Jelajah Buku dan Nostalgia - 101 Inspirasi : Taiping Bandar Warisan. Saya berangan-angan untuk mendapatkan sokongan / tajaan pihak berkenaan untuk membiayai R&D program tersebut @ Hotel Wakaf di Taiping berhadapan dengan masjid lama /pusara Dr Burhanudin dan Tuan Guru Dato' Haji Mat Saman Kati. Selain bangunan Sri Larut, kini dalam proses pra operasi ialah bangunan hotel milik koperasi guru yang diharapkan menjadi momentum dan inspirasi untuk saya meneruskan usaha mengadaptasi buku Jejak Merdeka dan buku tuan.

    ReplyDelete