Di tahun-tahun 90an, hati saya sudah tidak begitu kuat lagi terpaut kepada kerjaya tetap di UPM. Bukan kerana tiada masa depan kerana sebagai seorang yang optimis, saya tahu bagaimana membentuk masa depan yang lebih baik. Walaupun tiada peruntukan jawatan yang lebih baik bagi saya, namun dengan usaha dan ikhtiar saya dapat juga meningkat ke Jawatan Penyunting Kanan, satu peningkatan kerjaya.
Apa yang mendorong untuk mencari sesuatu yang lain ialah minat lama yang sedia terpendam, iaitu untuk hidup berdikari. Sejak keluar Universiti dulu lagi, impian untuk berdikari sudah terbetik di hati. Namaun terpaksa akur kepada keadaan kerana tanggungjawab keluarga yang perlu ditunaikan. Ketika itu saya perlukann jaminan p-endapatan kerana perlu menanggung isteri, anak, ibu, adik-adik. Ahhirnya impian itu tidak terlaksana. Hanya ada usaha sampingan membuat apa sahaja perniagaan yang tidak mengganggu kerjaya tetap. Pernah buat pemasaran produk pengguna secara
trading dengan bantuan adik, namun masalah pengurusan dan keidakcekapan membantut usaha. Diajak terlibat dengan beberapa aktiviti jualan langsung, namun tiada satu pun yang diusahakan dengan bersungguh. Pernah terbit buku, kononnya nak jadi penerbit; tetapi ia bukanlah kerja mudah. Pernah membantu arwah abang Nan buat
production, tapi tak ke mana-mana. Sedikit sebanyak, banyak juga wang yang dilabur hilang. Itu tak termasuk ditipu kawan lagi. Itulah asam garam berniaga.
Menghampiri usia 40 tahun, impian itu kembali membara. Rasa sudah tidak betah lagi bekerja. Akhirnya berusaha membuat sesuatu yang lebih jelas. Ambil cuti tanpa gaji dua tiga bulan, nak bukn kedai jual kereta, kononnya. Rupanya projek dengan seorang rakan tak kemana-mana. Terkena lagi. Akhirnya kembali bertugas semula. Kegagalan projek tersebut, membuka peluang baru kepada kami. Berulang alik ke Genting Highland petang-petang selepas waktu pejabat, membuat pemeriksaan kesihatan pekerja asing di sana, memberi sedikit pendapatan tambahan. Pada awal tahun 1993, kami membeli sebuah klinik di Taman Melewar, KL daripada tuanpunyanya seorang doktor Burma. Kami beroperasi dari jam 5.30 hingga 10 malam. Sehabis waktu kerja, kami bergegas ke sana setiap petang untuk menguruskan klinik baru. Di peringkat awal, tanpa pekerja pembantu, kami suami isteri mengendalikan klinik, bermula dari kerja mengemas, membersih dan menyediakan stok ubat. Beberapa bulan di Klinik Julia Taman Melewar, kami mula beusaha membuka Pusat Perubatan Julia di Kajang. Ketika ini sudah tiada pilihan melainkan isteri saya terpaksa melepaskan jawatannya sebagai doktor di UPM dan menumpu sepenuh masa di Klinik. Beliau berhenti setelah cukup berkhidmat 10 tahun dengan Kerajaan (kontrak dsempurnakan).
Tahin 1994 saya menamatkan kerjaya di UPM selama 16 tahun lebih untuk bersara pilihan. Permohonan saya diluluskan dan akhirnya saya memulakan hidup baru berdikari. Perniagaan baru saya adalah perniagaan yang biasa iaitu jualan langsung. Menyertai sebuah syarikat jualan langsung Ines Marketing, menjual hiasan emas sadur. Menjadi stokis kemudiannya dengan pelaburan besar juga. Di sini pendedahan kepada perniagaan MLM bermula secara serius, penuh masa. Menjadi pengedar dan menjadi Stokis, belajar menjual, menaja dan mengurus perniagaan. Kemudian menyertai syarikat kedua, Actaforce, menjual produk kesihatan dan produk pengguna lain. Juga menjadi Stokis.
Tidak lama bersama syarikat-syarikat ini apabila hati tergerak untuk pergi lebih jaun, melahirkan syarikat sendiri. Bermulalah usaha membangunkan syarikat sendiri Hikmah Bistari (M) Sdn. Bhd. Ia sebuah syarikat sedia wujud yang dibeli daripada Setiausaha Syarikat. Namanya kurang komersil untuk pemsaran. Akhirnya saya mencipta jenama H-Bee sebagai jenama untuk produk kami. Jenama ini ada tuahnya juga.
Sejak mula berdikari, berniaga sendiri mulai tahun 1994 hingga 1997 berulah nampak kejayaan usaha kami. Syukur usaha keras berbuah juga akhirnya setelah melalui pahit maung berniaga dan cabarannya.
Di waktu inilah saya menghasilkan buku
Membina Impian, sebuah buku motivasi atau pembangunan diri yang diterbitkan oleh PTS Milenia. Syukur sudah dua kali cetak, maknanya ia mendapat sambutan pembaca. Ia adalah buku keempat saya daripada lima buah yang diterbitkan.
Buku ini mengupas teori pembangunan minda dan juga memuatkan rakaman pengalaman sendiri membina impian, daripada makan gaji menjadi usahawan. Ia bukan sekadar teori malahan juga memuatkan strategi yang dilaksanakan, oleh saya sendiri. Saya menaruh harapan besar agar
Membina Impian dapat menjadi panduan dan pedoman kepada generasi pembaca muda, untuk merobah pemikiran dan sikap mereka menjadi lebih positif lagi.
(gambar buku Membina Impian cetakan kedua, wajah kulit baru)
No comments:
Post a Comment