Setelah merasa tidak lagi betah untuk kekal di Berita Harian, akhirnya saya membuat keputusan muktamad untuk berhijrah ke tempat lain. Kebetulan ada tawaran jawatan sebagai Penyunting di Universiti Pertanian Malaysia, Serdang. Saya berkira-kira inilah jawatan yang sesuai memandangkan ia adalah berkaitan dengan bidang kewartawanan dan penulisan, iaitu bidang saya.
Ketika menghadiri temuduga, ramai pemohon yang sebahagiannya berpengalaman dalam bidang berkaitan, seperti juga saya. Dengan penuh keyakinan diri saya berusaha meyakinkan lembaga temuduga bahawa saya patut diberi jawatan tersebut. Dengan izin Tuhan, saya berjaya, dan bermulalah satu kerjaya baru di UPM.
Saya diempatkan di Bahagian Perhubungan Awam, Jabatan Canselori UPM. Ketua Bahagian ketika iu bercuti belajar di USA. Hj Yusof Ahmad (almarhum) adalah bekas wartawan Bernama, sedang membuat Master di USA. Ketika diberi tugas sebagai Penyunting, saya perlu menghasilkan beberapa penerbitan. Satu daripadanya adalah Berita Kampus UPM, iaitu surat berita terbit seminggu sekali. Halamannya sekitar 2- 6 muka surat, kertas A4 biasa, dicetak secara offset. Formatnya ringkas tanpa gambar, memuatkan berita-berita semasa di kampus dan iklan-iklan kecil. Selain itu saya juga bertanggungjawab menerbitkan Buletin UNIPERTAMA, iaitu surat berita bulanan yang dicetak. Ia memuatkan bahan berita, rencana, kolum, gambar aktiviti UPM keseluruhannya. Selain dua surat berita tersebut, saya juga menghasilkan Laporan Tahunan UPM. Penerbitan ini dikeluarkan setahun sekali sahaja.
Memandangkan saya ditempatkan di Bahagian Perhubungan Awam, saya turut terlibat dengan kerja-kerja PR (
Public Relation). Antaranya mengikuti perkembangan media, menyediakan siaran akhbar, juga turut membantu mengendalikan aktiviti Universiti seperti acara-cara rasmi. Akhirnya saya tidak lagi khusus mengendalikan penerbitan tetapi turut menjalankan tugasan PR yang lain. Saya merasa sungguh selesa bertugas di sini kerana saya sudah terdedah dengan kerja-kerja penerbitan mahupun kerja-kerja PR. Inilah waktunya saya mempraktikkan teori PR yang dipelajari semasa di universiti dulu.
Untuk penerbitan Suratberita Unipertama, kami mempunyai Lembaga Pengarang yang diketuai oleh seorang ahli akdemik kanan dari PPPL (Pusat Pengembangan Dan Pendidikan lanjutan). Prof Dato' Dr Sulaiman Yassin (mantan VC Universiti Malaysia Trengganu) dan Dato' Dr Fadzilah Kamsah (tokoh motivasi) adalah dua orang yang pernah menjadi Pengerusi Lembaga Pengarang. Saya pula sebagai Setiausaha merangkap Pengarang.
Wujudnya sebuah Lembaga untuk menerbitkan sebuah surat berita begini, bagi saya lebih menyusahkan dan tidak praktikal, kerana terpaksa mengikut protokal dan
redtape. Saya melalui satu pengalaman merimaskan kerana terpaksa memanggil mesyuarat sekurang-kurang sebulan sekali. Untuk mendapatkan satu tarikh di mana semua ahli dapat hadir bukanlah senang. Biasanya mesyuarat akan berjalan tanpa kehadiran penuh. Mesyuarat hanya membuat keputusan, sedangkan akhirnya semua tugasan, saya sendiri yang perlu laksanakan. Oleh kerana Buletin ini adalah keluaran bulanan, biasa terjadi ia lewat diterbitkan kerana sukar mendapat tarikh mesyuarat yang sesuai. Akhirnya lewat. Bagi aktiviti penerbitan, lewat adalah satu perkara yang tidak boleh diterima sama sekali. Lama kelamaan saya mengambil tindakan berani dengan tidak lagi memanggil mesyuarat kerana saya memrasakan fungsi lembaga tidak berkesan, hanya sekadar mesyuarat dan mesyuarat. Saya tidak tahu apakan langkah saya ini disenangi atau tidak oleh rakan-rakan dalam lembaga. Yang penting pada sya, dengan bekerja sendirian saya dapat menjamin terbitanya menepati waktu. Dan yang penting pada setiap keluaran nama semua ahli Lembaga Pengarang terpampang, dan saya pasti semua orang gembira kerana setiap bulan Buletin ini keluar dan dapat dibaca.
Saya mengolah Buletin ini menjadi sebuah akhbar kampus. Muka depan diisi dengan berita penting termasuk ucapan oleh pegawai atasan Univesiti. Saya menulis rencana pengarang dan juga sebuah kolum tetap iaitu 'di luar jendela'. Gambar hitam putih disediakan oleh jurugambar PPPL. Mendapatkan gambar juga agak rumit kerana jrugambar bertugas di jabatan lain. Akhirnya kami di Bahagian Perhubungan Awam berjaya mendapatkan jawatan jurugambar khusus yang bertugas di sini.
Saya menggunakan pendekatan akhbar sepenuhnya untuk menjadikan Buletin ini seabagai suara rasmi yang sederhana dan bersifat komunikatif. Oleh kerana saiznya yang kecil (A4) maka kerja menghiasinya (make-up) dibuat secara sederhana sahaja. Di peringkat awal saya terpaksa belajar grafik dan belajar menggunakan perkakasan grafik kerana terpaksa melakukan kerja-kerja
lay-out sendiri. Saya tidak menghadapi masalah kerana sudah mempunyai asas dan pengalaman sebelumnya. Akhirnya kerja yang rumit jadi senang kerana adanya minat, ilmu dan pengalaman. Sungguhpun membuat kerja secara 'one man show', produk tetap keluar ikut masa.
Saya membuat kebanyakan keputusan tentang penerbitan ini. Dari jumlah yang kecil sekitar 1000 naskah, saya membesarkan edarannya menjadi 10 000 naskah tanpa meningkatkan kos. Oleh kerana mempunyai pengalaman dalam bidang percetakan, saya mempunyai banyak maklumat tentangnya. Saya beerusaha mendapatkan kos percetakan yang tidak melebih bajet, tetapi dapat menigkatkan jumlah naskah. Apa yang saya lakukan ialah dengan mengorbankan kualiti kertas kerana apa yang lebih penting ialah bahan. Dengan menggunakan kertas simili, akhirnya Buletin Unipertama dapat dicetak 10 000 naskah, berbanding dengan 1000 naskah sahaja sebelumnya.
Keputusan itu dapat diterima kerana justifikasi saya mudah, fungsi surat berita ialah untuk menyampaikan mesej kepada publik. Lebih ramai orang dapat membacanya lebih luaslah penyebaran mesej kita. Akhirnya lebih ramai pegawai dan kakitangan di UPM dapat memiliki dan membaca Unipertama. Saya tahu ramai juga kalangan Pensyarah yang menyenangi Buletin ini. Ada yang rajin mengirimkan hasil tulisan mereka untuk disiarkan di dalamnya. Di samping itu terdapat juga Pensyarah yang mahukan publisiti kepada akiviti atau projek penyelidikan mereka. Saya pernah mengikuti projek-projek yang menarik dan membuat liputan luas. Ini tentulah mengembirakan mereka. Ada juga projek-projek yang saya trulis di akhbar-akhbar tempatan. Contohnya beberapa siri rencana tentang pemeliharan lebah di Johor diberi liputan besar oleh akhbar.
Sebagai pengamal media dan pengamal PR, saya faham tugas utama saya ialah membantu organisasi meningkatkan imejnya di mata masyarakat terutama kalangan publiknya. Secara peribadi saya juga mempunyai hubungan dengan rakan-rakan di akhbar. Dengan wujudnya hubungan tersebut banyak membantu untuk mendapatkan publisiti bagi organisasi kita. Selain itu anrara kerja-kerja yang saya turut lakukan ialah keluar memberikan penerangan terutama tentang prospek kerjaya dan pengajian di kalangan murid-murid sekolah menengah d seluruh negaqra.
Selama 16 tahun berkhidmat di UPM, saya merasa puas kerana dapat menghayati cita-cita untuk terus menulis. Selain menulis dalam penerbitan organisasi, saya terus menyumbangkan rencana kepada akhbar-akhbar dan majalah. Saya tidak menyangka bahawa antara orang yang sering mengikuti idea dan tulisan saya adalah Rustam A Sani (almarhum). Beliau sering memuji tulisan saya. Beliau mungkin senang dengn sebahagian rencana saya yang mengandungi kritikan sosial dan pemikiran-pemikiran kriktikal.
Menulis dan menghasilkan penerbian bukanlah taru kerja yang serupa walaupun keduanya ada kaitannya. Kepada saya kedua-duanya sudah mendarah daging. Menulis, mengedit, menterjemah, membina konsep penerbitan, sehingga percetakan merupakan rutin kerja saya. Sebab itu saya merasa cukup puas bekerja, tanpa mengira balik lewat.
Bertugas di bidang penerbitan waktu itu (tahun 80an hingga 90an), agak rumit kerana teknologi ICT belum secanggih sekarang. Banyak kerja perlu dilakukan secara manual. Naskah masih perlu ditaip dengan mesin taip. Oleh kerana ada jawatan jurutaip, maka merekalah yang menaip naskah-naskah tersebut. Ia banyak mengambil masa kerana naskah yang siap ditaip perlu disemak semula dan dibaiki kemudiannya. Rekabentuk grafik juga dilakukan secara manual, ,menggunakan peralatan dan perlu menampal dan sebagainya. Waktu itu kemudahan komputer masih sangat terbatas. Kerja penerbitan menjadi sangat lama kerana terpaksa melalui pelbagai proses.
Hari ini, teknologi ICT telah menjadikan semua kerja-kerja itu dilakukan seorang diri menggunakan komputer peribadi atau laptop sahaja. Dari kerja menulis, mengedit, menyusun atur, rekagrafik hingga selesai kerja pre-press dapat dilakukan dalam masa yang singkat. Inilah satu kemajuan yang sungguh mengagumkan.
Desktop Publishing, ialah istilah yang menepati kemajuan komputer hari ini. Pantas, menijimatkan masa, menjimatkan kos, dan boleh dilakukan seorang diri. Saya mengalami sendiri apa yang saya sebutkan ini. Hari ini saya dapat menghasilkan buku lengkap dengan gambar dan grafiknya dengan sebuah laptop secara sendirian. Naskah buku itu hanya menanti untuk dicetak sahaja. Betapa pantasnya kerja menulis dan menerbitkan sekarang ini. Sebagai seorang yang pernah melalui waktu-waktu di mana kerja penerbitan begitu rumit, mengambil tempoh masa yang panjang dan melibatkan ramai orang, maka situasi sekarang saya merasakan satu rahmat besar. Dengan kemudahan komuter bimbit saya boleh menlis, mengedit, membuat rekabentuk dan grafik di mana sahaja, di dalam perjalanan, di hotel dan di mana sahaja. Inilah suatu kemudahan yang tidak pernah termimpi dahulunya.
No comments:
Post a Comment